GLAM Deko Tips – 9 Item Kamar Mandi Perlu Diganti
Kamar mandi – lembap dan sejuk, mempercepatkan pertumbuhan bakteria dan kulat di sekitarnya seperti permukaan dinding, sinki dan cermin. Apatah lagi item atau aksesori mandian yang digunakan saban waktu paling kurang tiga kali sehari. Harus diganti sekerap mungkin. Paling lama berada di dalam kamar mandi tidak melebihi masa sebulan!
- Span/ Berus Mandian
Kita menggunakannya buat menanggalkan sel-sel kulit mati dan molekul-molekul peluh yang berada di permukaan kulit. Maka, sel-sel ini ada yang terperangkap di celah-celah liang span. Ditambah pula, persekitaran lembap kamar mandi, menyebabkan span mandian mudah dihinggapi kulat dan bakteria. Tukar setiap 3 minggu sekali!
2. Berus Gigi
Saya percaya ada yang menggunakan berus gigi sama sampai bulu berusnya sudah kembang dan tidak berfungsi dengan baik lagi. Ini juga antara destinasi pembiakan bakteria membiak pesat. Tukar setiap 3 bulan!
3. Tuala Muka & Tangan
Kebiasaannya, kita menukar setiap fabrik kegunaan kamar mandi paling cepat seminggu sekali. Tetapi tuala muka dan tangan menyimpan lebih banyak sel kulit mati dan bakteria. Seeloknya diganti setiap hari! Sekaligus memelihara kulit muka kita untuk kekal bersih dan sihat.
4. Span & Berus Solekan
Ada yang memakai span dan berus solekan sehingga lusuh bertahun-tahun lamanya. Span dan berus solekan perlu ditukar setiap 6 bulan. Paling tidak, cuci setiap minggu. Rendam dengan air suam bersama sabun bayi. Tekan-tekan permukaan span dan berus sehingga tertanggal segala lebihan serbuk bedak. Jemur di panas matahari sehingga kering.
5. Tuala Mandi
Sebaiknya tuala mandi ditukar setiap dua hingga tiga kali dalam seminggu.
6. Pelapik Kaki
Ini juga agen perumah bakteria kerana sentiasa dalam keadaan lembap dan kotor. Jika rumah mempunyai ramai penghuni, tukar alas kaki seminggu sekali. Boleh juga jemur di ampaian setiap kali alas kaki terlalu basah lencun. Pilih jenis kain bermolekul menyerap air kuat.
7. Pencuci Muka
Ramai tidak sedar, sabun juga mempunyai tarikh luput! Ganti pencuci muka setahun sekali.
8. Tirai Kamar Mandi
Kesan percikan air pada permukaan tirai menghidupkan kulat dan kulapuk. Basuh tirai menggunakan mesin basuh setiap 3 bulan. Lagipula, tak sakit ke mata melihat tompokan hitam di sekitar permukaan tirai. Berbau pula!
9. Dulang Sabun
Pasti banyak sisa-sisa sabun di sekitarnya. Ambil sedikit masa untuk mencuci dulang atau alas sabun mandi berbentuk buku.
Gambar : Google