Destinasi - Ruang Lokal The LINC KL - Glam Malaysia

Destinasi – Ruang Lokal The LINC KL

Satu lagi ruang komersial di tengah ibu kota yang baru dibuka November tahun lalu – memperkasakan jenama dan hasil kerja anak tempatan dari industri interior, fesyen, gastronomi, landskap hijau dan ruang seni.

 

APA?

The LINC KL, destinasi komersil terbaru berlibur dan bersantai untuk semua yang dibina tersembunyi di balik kesibukan segi tiga emas Kuala Lumpur. Pengunjung boleh membeli-belah barangan dapur, bersantai di kafe menikmati dos kafein kegemaran dalam suasana reka ruang unik dan menarik pandangan mata.

YANG ISTIMEWA

Ruang komersil dua tingkat ini memayungi ruang sewaan seluas 130, 000 kaki persegi. Memperkasakan hasil kerja dan jenama tempatan, pengunjung dapat melihat dan membeli produk-produk lokal seperti barangan interior; pinggan mangkuk, kemasan lembut, aksesori perhiasan dan tidak ketinggalan tentunya barangan fesyen seperti kemeja batik. Ben’s Independent Grocer, restoran Ben’s, butik fesyen, British India dan Bendang Artisan antara ruang komersil yang boleh pengunjung singgah. Bagi peminat gastronomi, boleh cuba nikmati menu di Bean Brothers, Bo & Banker atau De.Wan 1958 oleh Datuk Chef Wan. Menariknya, reka bentuk bangunan The LINC KL mengintegrasikan pokok-pokok tua semula jadi sedia ada dalam reka bentuk keseluruhan pusat beli-belah ini. Mahu menggalakkan kecintaan pada kesenian dan pengalaman kepelbagaian budaya; kerja-kerja seni daripada seniman negara, Amarul Abdullah yang menghasilkan lukisan akrilik The Owl dan lukisan mural daripada  Lim Anuar, Charles Chee dan Stephanie Ng menghiasi dinding-dinding sekitar.  Melangkah ke aras atas, pengunjung boleh mengatur langkah di tangga pelangi dan melihat gantungan lampu kreatif hasil kerja, Luna Lana.

See also
Panduan Menjaga Kertas Dinding

DI MANA?

Bagi yang gemarkan flea market, boleh memeriahkan Sunday Market, setiap hari Ahad bermula dari 11 pagi hingga 6 petang di ruang tengah, aras G. The LINC KL, berlokasi di 360, Jalan Tun Razak (persimpangan Jalan Ampang dan Jalan Tun Razak). www.thelinckl.com.my