Retorik: Oh My Modesty! - oleh Natasha Hudson

Retorik: Oh My Modesty!

GLAM-4Gambar: Arkib GLAM

 
Assalamualaikum, segala puji bagi Allah dan para pembaca kolum ini. Pertama sekali ingin saya meluahkan dengan rasa rendah diri, terima kasih kepada pihak majalah GLAM kerana sudi menjemput saya menulis dan memberi pandangan saya kali ini.
 
Pada kelapangan ini, mahu saya mengupas maksud keserdehanaan atau modesty dalam berpakaian dalam erti kata sebenar. Bagi saya, penampilan seseorang itu adalah gabungan antara cara berpakaian yang sopan bersama tatacara serta pembawakan diri yang rapi. Ini juga melibatkan adab dan gerak geri seorang individu itu. Keserdehanaan dalam berpakaian adalah representasi akhlak kepada imej seorang wanita muslim. Ingin saya gabungkan semua itu sebagai nilai-nilai wajib di dalam kehidupan seorang muslimah.
 
Namun begitu, sebagai seorang yang beragama Islam, definisi berhijab itu lebih besar maknanya. Hijab imej dan hijab diri, haruslah selari. Maksud saya, niat dalam hati perlu betul, ibadah pula wajib dijaga. Saya tahu pada zaman ini, peredaran masa merubah fesyen. Suatu ketika dahulu saya juga suka sangat bergaya. Tetapi atas nama kerjaya, kesannya terpancar pada pergaulan serta gaya hidup. Dunia material mengaburi mata sehinggakan kita terlewa lantas terlupa akan maksud sebenar keserdehanaan. What is the actual direction of pure modesty? Terus terang saya katakan, jauh dalam benak hati, the real me lebih senang menyarungkan pakaian selesa dalam masa sama yang kurang menjolok mata.
 
I had to find myself. Dan kunjugan ke Tanah Suci untuk melakukan Umrah telah mengubah diri saya. Sesuatu yang tidak dirancang. Tetapi Alhamdulillah, saya akhirnya ‘bertemu’ dengan siapa diri saya sebenarnya. Setiap soalan saya terjawab. Secara jujurnya, hijrah saya tidak mudah tapi naluri yang terdetik dalam hati sudah nekad.
 
Hari ini semakin ramai wanita yang mulai berhijab. Sebagai wanita, tentu sekali kita ada kemahuan tersendiri baik pada seni rekaan baju atau warna. Secara peribadi, saya tidak rasa memakai warna terang itu salah namun haruslah bijak menggayakannya. Kita semua tahu, warna terang mencipta daya tarikan. Jadi apa kata kita kurangkan sedikit kekuatan warna atau mengadunkan ia bersama warna gelap. I always say, be comfortable in your skin!
 
Tanya diri sendiri, apakah niat kita sewaktu bergaya? Sekadar mahu menunjuk-nunjuk, mengikut trend ataupun fikiran kita hanya bercelaru? Saya selalu bertanyakan soalan itu pada diri sendiri bila hendak bergaya. In the end, definisi berhijab bagi saya adalah kerana Allah S.W.T. Saya pakai apa yang saya rasa selesa dan suami suka. Pilihan yang betul membuatkan saya lebih yakin bila ingin ke mana-mana.
 
Hijab separuh jalan-ketat, lengan pendek, solekan melampau dan membiarkan rambut terlihat, saya amat tidak setuju. Bagi saya, individu sebegini mungkin masih keliru. Maaf jika ada yang terguris dengan pernyataan saya namun kita semua kena tahu arah tuju sebenar kita. Janganlah mempermainkan imej berhijab hingga dipandang remeh oleh masyarakat.
 
Kadang-kala bila saya menjadi saksi kepada kejadian sebegini, saya terasa malu sendiri. Rasulullah S.A.W menegaskan yang sifat malu itu adalah sebahagian dari cabang-cabang iman. Rasa seperti ingin menyelimutkan diri but then again semua orang akan melalui proses dan perjalanan sendiri. Saya bukan manusia sempurna, namun saya mengambil inisiatif untuk belajar dan memperbaiki diri sendiri. Alangkah bagusnya kalau saya boleh putar masa and erase anything indecent in the past. Because we have only one person to answer to for your deeds. Bukan pada keluarga, kawan-kawan atau pereka fesyen. Tetapi kepada Pencipta kita.
 
Hari ini, fesyen hijab terus diperdebatkan ramai. Tidak salah mengikut trend tetapi ambillah trend yang manis dipandang. Apatah lagi, mereka terlupa yang mulut dan hati juga ada hijabnya. Lebih bagus bila semuanya selari. Banyak fashionista dan personaliti muslimah di luar dan dalam negara yang boleh diambil contoh. Antaranya seperti Amenakin (United Kingdom), Dian Pelangi dan Indah Nada (Indonesia), Datin Norjuma, Amischaheera, Yasmin Mogahed, Myriam Francois Cerrah, Mizz Nina serta ramai lagi.
 
Saya juga mempunyai jenama saya sendiri iaitu Dreamcloud di mana saya cuba menjadikannya sumber inspirasi buat pengikut saya untuk berfesyen secara sopan. Sekali lagi saya mencuba untuk tidak mengikut sesiapa tetapi keselesaan sebagai trademark jelas dilihat dalam setiap rekaan.
 
Lindungilah kehormatan kita dan kecantikan zahir batin. Ia satu perintah dari Ya Rabb dan bukannya suatu pilihan. Ia digambarkan jelas dalam surah An Nur ayat 31 dan surah Al Ahzab ayat 55 dan 59. Pilihan di tangan anda untuk memperbaiki diri menuju ke destinasi akhir.
 
Oleh: Natasha Hudson
 
Dipetik dari GLAM April 2014
 
 

See also
Amber Heard Digugur Dari Aquaman 2, Peminat Sudah Temui Pengganti