Kota Samba Rio de Janeiro - Glam Malaysia

Kota Samba Rio de Janeiro

Oleh: Amira Azman
 
Disebut sahaja namanya, pasti ada isi buruk berlegar di kotak fikiran. Manakan tidak, tontonan filem antarabangsa sudah cukup mempengaruhi minda ini tentang negaranya. Kes jenayah, dadah apa lagi pelacuran, semuanya punya rekod tinggi jika dikaji. Namun, di sebalik gambaran realiti kehidupan di sana, masih ada yang mahu mengamati negara samba ini. Malah, pihak kerajaannya sendiri telahpun mengeluarkan pelbagai corak usaha untuk membanteras kes jenayah ini. Alih jauh pemikiran itu, mari kita selongkar sisi keindahan kota, Rio De Janeiro, kota kedua terbesar di Brazil ini yang semakin menjadi bualan ramai selepas diumumkan sebagai tuan rumah untuk sukan Olimpik 2016.
 

kabel

berlibur dengan menaiki kereta kabel di gunung sugar loaf


 
Hotel dan Makan!

Bandar kedua terbesar di Brazil ini adalah antara lokasi yang paling ramai menerima kunjungan pelancong sehingga dinobatkan sebagai antara bandar terbaik dunia oleh 2013 Travellers’ Choice Destination Awards oleh TripAdvisor. Kembara perjalanan anda ke sini bakal membawa ke deretan hotel dan vila. Tempah penginapan anda di Belmond Copacabana Palace, dimana hotel mewah yang tentu membuatkan anda berasa teruja ketika pertama kali menjejakkan kaki ke hotel ini. Dibuka sejak tahun 1923, hotel ini telah dikenali sebagai antara yang terbaik oleh pengunjung. Lokasinya yang berhadapan pantai Copacabana pasti membuatkan anda terpana dengan keindahan pantai bualan ramai ini sambil bersidai dikala menikmati panorama indah menjelang senja.
 

malam

panorama indah bandar Rio de Janeiro tatkala malam melabuhkan tirainya


 
Jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke Casa de Feijoada yang menyajikan hidangan popular tempatannya, Feijoada. Merupakan sajian aneka daging yang direbus bersama kacang hitam pasti membuka selera sesiapa sahaja yang datang. Kafe yang dibuka pada tahun 1985 ini cukup selesa berilhamkan ala tropika serta berdindingkan buluh amat sesuai bagi pengunjung yang datang bersama keluarga. Selain daripada hidangan signature mereka, pilihan pemanis mulut yang lazat antaranya Doce de Abobora, manisan buah labu perlu anda cuba ketika berada di sini.
 
Muzik, Pantai dan Monumen

See also
GLAM Deko Ruang - Perabot Kulit

Walaupun anda berada di Rio, tidak semua masa yang ada anda akan luangkan di stadium bola, ambil peluang untuk menyelongkar sepenuhnya bandar ini. Pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan di samping menanti debaran perlawanan piala dunia. Jangan lepaskan peluang untuk meneroka alam semulajadi di Hutan hujan Amazon, menjemur diri di pantai tumpuan dunia, bersama menikmati kemeriahan karnival serta pelbagai lagi. Selain itu, bandar Rio punyai tarikan tersendiri di mana di sinilah Christ the Redeemer yang berlokasi di puncak gunung Corcovado terletak. Ia merupakan arca terbesar di dunia! Anda boleh menggunakan kemudahan kereta api untuk sampai ke puncak gunung. Sarungkan bikini dan jangan lepaskan peluang untuk bermandi-manda sambil bermain sukan laut di pantai Copacabana dan Ipanema.
 

pantai

bermandikan sinaran cahaya matahari di pantai copacabana


 
Muzik dan tarian bagaikan hidup di jiwa setiap masyarakat tempatan yang digelar Cariocas. Bossa nova, tarian samba dan muzik Jazz, semuanya bermula di kejiranan Rio di sekitar tahun 1950-an. Jika anda peminat tegar irama bossa nova ini sudah pasti ada tahu alunan lagu indah Bim-Bom, lagu pertama bossa nova yang telah dicipta oleh pemuzik disegani kelahiran Brazil, Joao Gilberto.
 
colosseum

stadium maracana, Rio de Janeiro


 
Jika anda mahukan lebih dari Rio, apa kata anda selongkar sisi lain negara ini. Jengah ke kota Brasilia, ibu negara Brazil ini, membawa anda suatu lokasi di mana monumen terkenal Legiao da Boa Vontade Temple atau lebih dikenali sebagai Temple of Peace ini berada. Monumen piramid setinggi 21 meter dan mempunyai tujuh sisi. Mempunyai 12 buah bilik yang menggabungkan elemen seperti kerohanian, budaya, seni, ekologi serta kebatinan dibina bagi pengunjung yang mahu bermeditasi.
 
karnival

karnival samba yang dirai saban tahun


 
Karnival setiap tahun!

See also
Lifestyle Guru: Chef Thareq Taylor

Pastinya lebih meriah karnival yang disambut tahun ini di sekitar Brazil. Kemeriahan dan keseronokan yang tiada batasnya menjadikan Rio sebagai Carnival Capital of the World kerana kehebatannya diperakui seluruh dunia. Pertunjukan kereta berhias, muzik dan tarian jalanan bagai menghidupkan hamparan malam anda ketika di sini. Karnival yang cukup terkenal di adakan pada setiap tahun semenjak tahun 1823 ini telah menjadi salah satu aktiviti perayaan tahunan rakyat tempatan ini. Menerima kunjungan yang ramai hampir 500,000 orang setiap tahun menyaksikan persembahan dari sekolah samba serata Brazil serta kemeriahan kostum yang disarungkan mereka ini amat menghiburkan. Persembahan The Samba Parade antara yang harus anda saksikan!