Korner Mak Datin: Kawan Jauhkan Diri Sebab Datin Tak Mewah Lagi

Korner Mak Datin: Kawan Jauhkan Diri Sebab Datin Tak Mewah Lagi

DatinX___2-page-001
 
*Seperti diceritakan kepada Marini Mat Zain
 
Hari ini Datin Sela menyarung gaun kasual shift bercetak yang sepadan dengan sepatu tinggi ankle strap daripada jenama Gucci. Solekannya ringkas digayakan dengan rambut yang siap didandan rapi di salun. Setelah mengenakan beberapa aksesori, dia mencapai tas tangan Fendi baru dibeli.
 
Hari ini Datin Sela mengajak teman-teman minum petang di Pavilion. Begitulah rutin dia setiap kali membeli barang baru. Mahu menunjuk-nunjuk dengan sekalian teman-teman. Sanggup dia dari Bangsar mengambil Zahra di Puchong dan melewati jalan Sungai Besi ke ibu kota. Nora pula memang berkereta boleh pergi sendiri ke Pavilion.
 
Zahra dan Nora masing-masing bukan dari golongan elit mahupun sosialit, jauh sekali artis. Mereka hanya dua wanita biasa yang kebetulan berkenalan dengan Datin Sela. Datin pula lebih betah bergaul dengan orang di bawah taraf kemewahannya kerana suka menerima puji-pujian. Apabila berkawan sesama pangkat Datin, pasti ada persaingan. Hendak menunjuk-nunjuk pun tak boleh. Apa dibeli Datin. mampu dibeli mereka juga.
 
Bukan apa, Datin Sela lebih suka disanjung mereka yang kurang berkemampuan. Selain itu mereka berdua ini menurut kata. Apa Datin Sela cakap Zahra dan Nora akur sahaja. Masakan tidak segala perbelanjaan mereka setiap kali keluar pasti ditanggung Datin Sela.
 
“Eh, kali ini biar saya bayar,” ujar Nora mengeluarkan dompet. “Tak usahlah. Duit saya tak habis pun kalau bayar bil ni,” bangkang Datin Sela dengan angkuh sekali.
 
Nora pandang Zahra, Zahra pandang Nora. Banyak kali mereka menangkap sifat bongkak Datin. Tetapi dilayankan sahaja kerana fikirkan kawan. Banyak kali juga peluang diberikan. Seandainya Zahra berjauh hati dengan kata-kata Datin Sela, Nora akan tenangkan dan memujuk. Begitu juga sebaliknya… Kalau benci atau marah sekalipun, mereka biasanya pekakkan saja telinga. Tidak luak pun kerana yang penting, Datin Sela sentiasa ‘memberi’ apa yang mereka minta. Fasal makan free di tempat mewah, jangan cakap lagi, semuanya dibereskan oleh Datin Sela. Jadi, ikutkan saja, tidak perlu membantah atau berkecil hati. Malah, ‘diapi-apikan’ lagi setiap kata-kata Datin Sela. Kononnya, sokong kawan, tapi niat sebenarnya, entahlah…siapa yang tahu!
 
I ada kisah terbaru Datin Ros. Dia cemburu I buka butik kat Bangsar. Dia cakap barang-barang I semua tak berkualiti tapi jual mahal,” cerita Datin Sela. “Tak baik jaja cerita orang macam tu,” sokong Nora. “Itu kira dah berniat menutup periuk nasi orang,” tambah Zahra pula.
 
Sukalah Datin Sela dapat sokongan padu teman-temannya itu. Kemudian Datin Sela sengaja mengangkat tas tangan Fendi ketika hendak membayar bil kepada pelayan. Nora yang mula-mula perasan tetapi Zahra yang menegur terlebih dahulu.
 
“Cantikkkkkk… Ini jenama apa?” soalnya polos. Nora yang kenal dan tahu fasal jenama, menendang lembut kaki Zahra. Dia tahu, Datin Sela memang suka bila orang puji barang miliknya. Melangitlah jawapannya. Biarpun tidak sanggup dengar, ya kan saja. “Fendi. Datuk baru bawa balik dari Paris semalam. Sayang nak pakai tapi buat apa ada beg tangan puluhan ribu hanya untuk disimpan. Lagipun, Datuk beli dua, tiga. Ada Prada, ada LV. Cantik kan?”
Melongo dua temannya itu mendengar perkataan puluhan ribu itu, pulak tu bukan satu.. dua, tiga. Amboi kedengaran berlagak tetapi semua disimpan dalam hati sahaja. Mungkin sudah rezeki Datin Sela hidup dalam kemewahan. Setiap bulan pasti ada barang baru hendak ditunjuk. Mereka tumpang gembira dengan kebahagiaan Datin.
 
Kadang-kadang mereka dapat habuan daripada kemurahan hati Datin tetapi sekadar barang-barang lama miliknya. Lama pun tak apa tetapi keseluruhannya barangan berjenama. Bukan mereka meminta-minta tetapi sudah diberi, ambil sahaja. Cuma yang tidak tahan, setiap kali mereka pakai barang-barang pemberiannya, pasti akan disebut-sebut.
Kemudian Datin Sela suka hidup mewah berlebih-lebihan terutama depan kawan-kawan. Kalau diajak membeli-belah, dia akan beli apa sahaja dan pastinya barangan mahal-mahal. Makan ditempat mahal dan bercuti pun di lokasi mewah. Ada juga Zahra dan Nora cuba mengajak Datin Sela mengikut cara mereka tetapi dilirik jijik sahaja. Kalau dibawa ke restoran murah, takkan disentuh makanan itu langsung.
 
“Berlagaknya dia. Aku dah mula menyampah ni,” ujar Nora suatu hari. “Bukan kita yang minta, dah dia nak bawa kita makan tempat-tempat mewah, beri beg dan pakaian berjenama. Seronok apa! Kita layan sajalah,” bidas Zahra yang sedikit mata duitan.
 
Datin Sela tidak sedar sama sekali dirinya lama-kelamaan dipergunakan teman-teman. Ada yang sering minta pinjam, duitlah, beg tanganlah, bajulah…ah..macam-macam lagi. Tapi, bila time bayar atau pulangkan barang, memang liat. Datin Sela hendak minta malu, bimbang kawan-kawan ingat dia terlalu berkira, biarpun dalam hati merungut-rungut. Salah sendiri juga kerana terlalu memewahkan teman-teman. Apa hendak dibuat, itu sahaja pun sahabat yang dia ada kerana orang lain dia buat gaduh. Diapun ada satu perangai, pantang melihat kemewahan orang lain.
 
Sebab itu Datin Ros sering jadi musuh utama. Bukan sekadar Datin Ros tetapi Datin Marissa juga yang suatu masa dahulu begitu rapat dengannya. Malah Datin Marissa dahulu adalah rakan kongsi butiknya. Tetapi manalah Datin Marissa mampu tahan dengan sikap bangga diri Datin Sela. Semua kejayaan adalah miliknya seorang. Kalau ada kepincangan diri Datin Marissa akan dipersalahkan. Lalu mereka pecah perkongsian beberapa tahun sudah.
Kalau dahulu Datin Marissa yang menguruskan segala rekaan dan material, sampaikan butik Elegan mendapat perhatian media meluas. Sayangnya usahasama itu berakhir begitu sahaja. Datin Sela yang tak sedar diri mulai tamak. Dia fikir dia mampu menguruskan sendiri. Malah dirasakan idea asal menubuhkan butik ini datang darinya. Lalu Datin Marissa mengalah tanpa kata.
 
Apabila ada khabar angin mengatakan aksesori dijual di butiknya murahan, dia melenting. Katanya sengaja Datin Marissa yang mengada-adakan cerita mahu menjatuhkannya. Padahal Datin Ros memang menemui material dipakai Datin Sela untuk aksesori murah sahaja. Sememangnya golongan atasan dan sosialit tidak pernah sukakan Datin Sela.
Hakikatnya Datin Sela punya seorang pembantu yang kini mengambil alih tugas-tugas dahulunya digalas Datin Marissa. Akhbar, lelaki jurusan fesyen ini diberi kepercayaan mereka dan memilih material. Datin Sela percayakan Akhbar seratus peratus. Dia takkan pernah terfikir Akhbar akan mempergunakan dirinya untuk mengaut keuntungan lebih besar buat diri sendiri.
 
Selama ini pun dia sering mengeluarkan cek dengan jumlahnya bukan sedikit untuk membeli semua material. Hasilnya juga dia sangat puas hati. Padahal Datin Sela memang buta fesyen. Setelah mendapat untung besar, Akhbar akhirnya berhenti kerja dan membuka rumah fesyen sendiri. Tinggallah Datin Sela sendirian cuba menyelamatkan butiknya itu.
Setelah butik tidak mendapat sambutan, dia cuba menjualnya di laman web pula. Tetapi nama telah tercemar. Ternyata benar material digunakan Akhbar memang murahan dan Datin Sela terpaksa menurunkan harga hampir sekali ganda. Perniagaan suami pun kebetulan jatuh lalu dia tidak lagi mampu menunjuk-nunjuk kemewahan diri. Kiranya malang Datin Sela berganda-ganda.
 
Teman disangkanya menurut kata juga melarikan diri. Ternyata Zahra dan Nora sudah tawar hati mahu bersahabat dengan Datin Sela. Apanya tidak mereka dipaksa membeli barang-barang di butik Datin. Kalau tidak dia akan mengungkit seluruh jasa pernah diberikan. Memang Zahra dan Nora sebagai sahabat tidak berkira sesekali membeli barangan di butik itu. Malah mereka turut membantu menjualnya.
 
Sayangnya apabila material seumpamanya digunakan, pelanggan mulai tidak puas hati. Lalu kejian terpalit pada Zahra dan Nora juga. Keadaan itu tidak disenangi dua temannya itu. Lebih-lebih lagi Datin Sela tak pernah jujur mahu berterus-terang barangannya itu adalah barang murahan. Datin pun tak pernah berkongsi dirinya ditipu Akhbar.
“Datin, kalau memang Datin dah tahu kenapa tak cakap dengan kami? Mana boleh barang ini dijual mahal lagi. Sekarang mereka mahu dipulangkan wang. Manalah kami ada duit sebanyak itu?” ujar Nora membentak. “Tetapi rekaan itu asli.”
 
“Soalnya Datin, material digunakan tak berkualiti. Dua kali pakai aksesori sudah berterabur. Kalau saya pun marah,” tambah Nora. Mereka bukan sahabat yang lupa daratan tetapi masing-masing tidak tahan dengan perangai ego Datin Sela. Selain itu Datin masih mahu berlagak mewah tetapi setiap kali Nora dan Zahra yang perlu mengeluarkan wang. Mana tahan! Kalau mahu ke tempat biasa tak apa, tetapi masih teringin ke kafe mewah.
 
Lama-kelamaan dua sahabat Datin Sela itu menghilangkan diri. Suami juga tidak lagi mampu menampung kemewahannya. Lalu butik perlu ditutup kerana modal pusingan juga sudah tiada. Sebelum ini pun Datin Sela tak pernah beringat, telah menggunakan hampir semua keuntungan butiknya. Setiap kali wang belian diberikan, dia akan berbelanja demi menunjuk-nunjuk kemewahan diri.
 
Sementelah dia ditipu pula pereka paling diharapkannya. Apalah malang Datin Sela kerana dia takkan mampu meminta bantuan teman-teman Datin lain kerana mereka sudah dijadikan musuh. Suatu saat Zahra dan Nora juga menjauhkan diri kerana tidak tertahan lagi dengan perangai Datin Sela.
 
Beberapa bulan berselang, Datin Sela sekadar tinggal di rumah kerana dijauhi teman-teman. Telefon bimbitnya tidak lagi berbunyi. Dari rumah banglo kini mereka sekeluarga berpindah ke rumah teres kelas rendah. Mereka menjalani kehidupan serba sederhana.
 
Butik telah ditutup dan barang-barangnya dijual lelong. Anak sulung Datin Sela membantu menjual segala tas tangan mewah Datin di laman web. Itu pun setelah Datuk Bakar memberi syarahan panjang kepada Datin Sela. Kesedaran mula timbul di jiwa Datin Sela.
 
Dia mula mencari Datin Marissa untuk memohon maaf. Walaupun Datin Marissa memaafkan Datin Sela tetapi hubungan mesra tak mungkin kembali terjalin seperti dahulu. Datin Marissa kini sudah sukses dengan butiknya sendiri. Lebih maju dari butiknya terdahulu bersama Datin Sela.
 
Menyesal pun tidak berguna lagi. Datin Sela sedar kelemahan dirinya. Kejayaan butiknya dahulu adalah kerana pengurusan bijak Datin Marissa. Hanya dia yang terlalu ego hendak mengaku. Terlalu besar diri dan bongkak. Orang tamak, selalunya akan bertambah rugi.
 
Datin Ros pula langsung tidak mempedulikan Datin Sela walaupun seribu kemaafan dipohon. Benci benar Datin Ros dengan Datin Sela. Dia takkan mampu melupakan kata-kata kejian dilemparkan Datin Sela terhadap dirinya suatu ketika dahulu.
 
Nora dan Zahra juga dijejak Datin Sela kerana mahu memohon maaf di atas semua kesilapan silam. Mereka juga memaafkan Datin Sela tetapi enggan lagi mengekori Datin ke mana-mana. Perasaan serik masih menebal dalam diri.
Begitulah nasib seorang Datin yang terlalu bongkak dengan kemewahan diri. Terlalu egois sehingga mencalar perasaan sahabat sendiri. Kehidupan Datin Sela hanya bersama suami dan anak-anak. Dia dengan rendah diri mahu membina semula kehidupan yang punah. Mujurlah keluarga masih setia di sisi menyokong Datin Sela. Suami masih dapat memaafkan sifat boros Datin Sela. Anak-anak yang dahulunya terabai dengan si ibu masih mampu menyokong perniagaan barunya.
 
Datin Sela kini secara kecil-kecilan membuka butik pakaian muslimah di laman web. Harganya juga berpatutan dan sasaran pelanggan juga orang kebanyakan. Datin Sela tidak lagi memandang rendah kepada semua orang. Dia menjadi serik dan belajar dari kesilapan. Dalam hati Datin Sela berharap hubungannya dengan teman-teman akan pulih seperti sedia kala.
 
 

See also
Senarai 'Mean Girls' Popular Di Hollywood