Datin X: Berhijab Kerana Lelaki

Datin X: Berhijab Kerana Lelaki

Datin X

Kadang-kala Datin X tersenyum sendiri memikirkan gelagat sesetengah manusia ni. Hari Jumaat pergi masjid sarung jubah, masuk Sabtu pakai bikini sebab nak sunbath. Malam minggu dia tunggang terbalik berparti, subuh hari, di atas kain sejadah ditangkapnya gambar selfie. Caption paling tak tahan, ‘Menanti azan subuh’. Apakah itu? Dah buang tabiat? Banyak betul manusia dengan split personality sekarang ni ya? Datin X cuba untuk tidak buruk sangka. Sudah cukup baguslah bila hati tergerak memasang niat. Itu mungkin suatu permulaan kepada sesuatu yang lebih baik. Betul tak?
 
Datin X pasti, ramai yang memang seikhlas hati mahu menjadi manusia yang lebih baik. Sekarang ini pun, seorang demi seorang teman Datin X sudah berubah bertudung litup. Alhamdulillah. Tapi rasanya ada tak orang berhijab sebab terikut-ikutkan trend artis? Iyalah kan, hati orang kita tak tahu. Makin dililit kepala, makin menarik katanya. Dan tak kurang juga ramainya wanita yang memakai tudung kerana diarah pasangan masing-masing. Sama juga seperti cerita Datin X bulan ini yang ingin dikongsi. Fasal seorang wanita, anak hartawan terkemuka. Dia berhijab atas arahan suami. Walau suami sendiri pun di luar sana masih terkinja-kinja seperti belum puas menikmati usia muda.
 
Hani datang dari keluarga yang berfikiran agak kebaratan. Mana taknya… mereka adik-beradik semuanya masuk boarding school di England sejak usia 10 tahun lagi. Walau cakap Melayu macam nak tergeliat lidah, tapi percayalah, lidah mereka tetap kampung. Di rumah, Hani sekeluarga makan nasi macam orang kebanyakan walau pun diakhiri dengan red wine sebagai pemanis mulut. Eh, macam makan stik pulak!
 
Nak sentuh soal pakaian, selera fesyen Hani tak payah nak cakaplah. Apa saja yang popular atas runway, dia akan beli. Walau pun baju-T harganya RM20 ribu, kalau ia trendy, dia akan beli juga. Begitulah mudahnya gaya hidup Hani bila wang ringgit bukan lagi objek.
 
Setelah beberapa kali putus cinta di usia lewat 30-an, Hani pun sudah tidak kuasa lagi nak berparti. Mengah katanya. Sekarang ini dia hanya fikir mahu settle down saja. Kahwin, beranak and just live a quiet normal life. Nak jadi cerita, takdir menemukan Hani dengan seorang lelaki yang berbeza karakternya dari lelaki-lelaki lain yang pernah ditemuinya sebelum ini. Nampak warak, cakap pasal agama berapi-api. Tipikal lelaki Melayu. Baru keluar dating sekali dua, terus bercinta. Kekasihnya itu menyuruhnya untuk tidak lagi keluar rumah berpakaian seksi, melarang dia meneguk arak serta tegas menentukan dengan siapa dia boleh berkawan. Hani rasa senang hati. Mungkin buat pertama kalinya dia berasakan hidupnya dibatasi, tidak seperti dulu, teramat bebas sebab ibu bapanya tidak pernah ambil peduli.
 
Ibu bapa Hani seperti berat hati bila Hani menyuarakan mahu berkahwin dengan kekasih marhainnya itu. Tapi setelah sekian lama mendesak, ibu bapa Hani menyerah kalah. Macam mana lagi nak buat kalau sudah anak sendiri berpatah arang, berkerat rotan. Maka kahwinlah mereka dalam keadaan serba tak kena walau keluarga pengantin perempuan bermasam muka. Meskipun hubungan kekeluargaan berubah dingin, Hani tetap diberi wang poket bulanan yang banyak memandangkan lelaki pilihan anak mereka tiada pekerjaan tetap. Senang cerita, bermenantukan pengganggur. Gaya saja lebih!
 
Sebaik hubungan keduanya bertukar halal, suami Hani mula menyuruhnya menutup aurat sepenuhnya. Kerana cinta, Hani turutkan saja. Perubahan drastik Hani menimbulkan tanda tanya dikalangan keluarganya sendiri, mengenangkan Hani yang dulu, juzuk pertama Al Quran pun belum tentu dia dapat lepas lagi. Lama-kelamaan Hani mula dengan memakai tudung biasa, sebelum hijabnya makin labuh. Dalam diam, suami Hani sendiri agak terkejut dengan tranformasinya. Tapi tidak terkata apa dan hanya mampu melihat. Bila aurat terjaga, hati Hani mula tergerak mahu mendalami agama dengan lebih mendalam. Hajatnya sungguh suci tapi caranya memakan diri. Tanpa sebarang bimbingan suami, Hani khabarnya sudah pandai-pandai sendiri terbang kerap ke Indonesia kerana mengikuti kelas-kelas agama yang agak disangsikan oleh sesetengah pihak.
 
Datin X diberitahu, kelas yang diikuti Hani bukannya kumpulan mengaji biasa seperti di masjid atau di pusat-pusat pengajian yang diiktiraf. Hani menyertai kumpulan yang ajarannya ektrem, yang mana tidak sesuai buat ‘orang baru’ sepertinya yang boleh dianggap cetek agama. Di saat Hani sedang obses dengan kumpulan yang tiada siapa tahu akan kesahihan ajarannya, sang suami pula sepertikan terus buat-buat bodoh, cuba berlagak seperti tidak memahami apa yang berlaku. Kalau sudah solat Jumaat pun jarang sekali, tak hairanlah jika dia sendiri jadi kecut bila melihat isterinya menjadi terlebih warak.
 
Amat menyedihkan apabila sebagai suami, paling tidak, dia periksalah apa aktiviti isterinya. Manalah tahu, takut-takut tersasar ke jalan bertentangan pula. Sekarang ini pun Datin X dapat tahu yang Hani sudah mula mendakwahkan teman-teman baiknya. Itu bagus sekali tapi tak payahlah tunding jari siapa masuk Jannah dan siapa yang tidak. Datin X juga dapat rasa yang ibu bapa Hani tidak tahu yang duit belanja yang mereka beri digunakan untuk menampung perbelanjaan pergi balik dan tempat tinggal Hani di Indonesia. Dalam hal ini, hanya suami Hani saja yang mampu membimbing isterinya. Jangankan kerana pentingkan diri sendiri, isteri menjadi sesat. Wahai lelaki, silalah beringat. Dosa dan pahala seorang isteri, kesemua tanggungannya di atas bahu mu!
 
*Dipetik dari GLAM Februari 2014
 
 

See also
Korner Mak Datin: Puan Sri Sorok Cucu Kerana Lahir Tidak Berbapa