Siti Kamariah Ahmad Subki, All-Rounder Demi Pertiwi

All-Rounder Demi Pertiwi

Siti Kamariah masih mengekalkan budaya dan tradisi lama namun tetap bergerak seiring dengan peredaran zaman.

Pemilik nama penuh Siti Kamariah Ahmad Subki, seorang wanita all-rounder dan kini menggalas tanggungjawab sebagai Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah dalam memelihara dan mempromosikan warisan budaya negara terutama dalam tekstil. Menerusi Anugerah Benang Emas Hasanah (HGTA), bakat-bakat artis tempatan mendapat pengiktirafan sekaligus mempromosikan tekstil tradisional Malaysia di peringkat antarabangsa. Yayasan ini melaksanakan program pemeliharaan teknik tekstil tradisional dan latihan bagi meningkatkan kemahiran penggiat seni. Dengan mengintegrasikan inovasi dan memperkukuhkan relevansi tekstil Malaysia, ia menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial masyarakat serta memelihara identiti budaya negara.

Seni dan Budaya Bermula Dalam Diri

Dibesarkan dalam keluarga Melayu di Perak yang kaya dengan seni budaya, rumahnya banyak dihiasi dengan kain tekap benang emas. “Saya ingat lagi di mana di rumah saya ada banyak kain tekap benang emas daripada langsir, cadar katil, sarung bantal dan sebagainya sebab itu adalah hadiah perkahwinan buat kedua ibu bapa saya”. Menurutnya, ibunya seorang bekas penari dabus iaitu satu bentuk tarian srikandi di mana penari-penari praktis silat dan menggunakan senjata-senjata tradisi. Berkongsi tentang kain tekap benang emas, kain berhias ini adalah satu bentuk penghormatan kepada wanita. Ia adalah satu bentuk mahkota dan perhiasan buat wanita melayu nusantara. Seni telepuk juga menggunakan emas kerana itu adalah satu bentuk perhiasan seperti pemakaian kalung emas pada zaman moden. Tambah Siti Kamariah, tekstil juga adalah satu bentuk komunikasi tentang penceritaan seorang wanita dan menunjukkan status seseorang dalam masyarakat.

Masih tersemat kata-kata kedua ibu bapa tentang seni dan budaya iaitu “budaya tidak lapuk ditelan zaman.” Dengan memakai busana Melayu setiap hari, Siti Kamariah berusaha memastikan warisan ini terus hidup dalam diri serta dalam setiap nafas, setiap perkataan dan budi pekerti. Seni bukan sekadar menghidupkan budaya, tetapi juga perlu diselami dan diamalkan. Dengan cara ini, setiap individu dapat menjadi inspirasi kepada orang lain, kerana seni dan budaya harus bermula dari dalam diri seseorang.

See also
LUSH Malaysia Anjur Program Penuh Makna Bersama Club Med Bintan

Berkongsi tentang pencapaian yang membanggakan, Siti Kamariah tidak pernah melihat momen dalam hidup sebagai satu titik kejayaan. Bagi Siti Kamariah, setiap tindakan dilakukan kerana prinsip yang dipegang dan untuk memberi manfaat kepada pertiwi. “Kejayaan bukanlah milik individu, tetapi milik negara.” Dalam konteks Tanah Melayu, Malaysia di mata dunia, setiap sumbangan dianggap sebagai satu benang yang mengikat jalinan usaha pelbagai untuk membentuk negara yang lebih baik.

Cabaran dalam hidup selalu dilihat sebagai katalis untuk maju ke hadapan. “I love a good challenge,” katanya, kerana setiap cabaran adalah peluang untuk mara ke peringkat seterusnya. Yakin bahawa “Tuhan tidak menguji kita lebih daripada kemampuan kita” (Surah Al Baqarah ayat 286) memberikan Siti Kamariah kekuatan untuk menghadapi setiap ujian, dan melihat cabaran sebagai satu penghargaan dan peluang untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Inspirasi terbesar Siti Kamariah datang daripada tokoh-tokoh hebat seperti Pendeta Za’ba dan Profesor Diraja Ungku Aziz. Mereka adalah contoh pemikir yang berusaha menyelesaikan masalah masyarakat dan memberi sumbangan kepada negara. “Setiap cabang ilmu itu diperlukan untuk kita menjadi seorang penyumbang atau insan yang bermanfaat kepada negara bangsa,” ujar Siti Kamariah. Tidak mengehadkan diri dengan hanya satu bidang, Siti Kamariah berpendapat sesuatu pekerjaan tidak mengenal erti penat sekiranya seseorang mempunyai cinta yang mendalam dan mengetahui hala tuju serta erti hidup mereka.

Beri Manfaat Kepada Negara Bangsa

Dalam peranan kepimpinan, Siti Kamariah percaya bahawa kepimpinan adalah tentang mencipta impak. Dia bertekad untuk memberi sebanyak mungkin impak kepada masyarakat, dengan matlamat untuk melipatgandakan pencapaian kepada lebih ramai orang. Dengan komitmen untuk terus memperkukuhkan Yayasan Hasanah, Siti Kamariah ingin memastikan generasi akan datang mendapat manfaat daripada usaha yang telah dilakukan. “Saya mahu menggandakan capaian kami kepada seramai mungkin penerima manfaat iaitu sebanyak 34 juta populasi di Malaysia. Begitu juga dengan generasi yang belum lahir dan generasi akan datang,” jelasnya.

See also
Gaya Hidup Hijau Amalan Kerabat Diraja Britain

Bagi anak-anak muda yang terinspirasi untuk meninggalkan impak yang baik, beliau berpesan bahawa kenali diri sendiri dan ikhlas dalam tujuan untuk berkhidmat kepada orang lain. Kemudian, sosok-sosok yang dianggapnya mulia atau dipanggil role model akan hadir dan memberi panduan yang diperlukan. Menurutnya, setiap pertemuan dengan insan-insan mulia tersebut dianggap sebagai anugerah yang membantu dirinya mencapai tujuan hidupnya.

Pegangan dan prinsip hidup Siti Kamariah berteraskan Hadis Riwayat Thabrani, daripada Jabir bin Abdullah RA, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain” malah sejajar dengan peranan Yayasan Hasanah sebagai Penghubung (Convenor), Rakan Kerjasama (Collaborator) dan Pemangkin Perubahan (Catalyst for Change) dalam membantu masyarakat, menciptakan kesan positif yang berkekalan dan legasi yang bermakna.

Keunikan Yayasan Hasanah

Yayasan Hasanah menawarkan lebih dari sekadar geran kewangan untuk inisiatif berdaya maju. Dengan matlamat untuk memacu ekosistem transformasi, yayasan ini berkolaborasi dengan pelbagai pemegang berkepentingan untuk menyemai semangat advokasi dan membina keupayaan dalam bidang tumpuan mereka. Pemeliharaan budaya adalah antara fokus utama Yayasan Hasanah, memastikan warisan budaya Malaysia yang kaya dihormati, dilindungi, dan diraikan melalui inisiatif seni, projek pemeliharaan warisan, dan pendidikan. Dengan penekanan kepada impak dan kelestarian, Yayasan Hasanah memberi tumpuan kepada projek-projek jangka panjang, membantu dalam mereka bentuk dan melaksanakan model penilaian yang berkesan demi mencapai visi bersama.

Yayasan Hasanah memainkan peranan penting dalam mengekalkan minat masyarakat terhadap tekstil Malaysia. Melalui Anugerah Benang Emas Hasanah (HGTA), yayasan ini mempromosikan warisan tekstil negara dengan mengiktiraf bakat artis tempatan. Selain itu, mereka juga menekankan pemeliharaan teknik tradisional dan menyediakan sokongan dalam kebolehpasaran, termasuk latihan dalam pengurusan perniagaan dan pemasaran untuk artis.

See also
Hatta Dolmat Berinovasi Dengan Kain Perca

Pelbagai aspek menarik tentang tekstil Malaysia yang mungkin tidak diketahui ramai. Antaranya, banyak seni tekstil tradisional seperti songket dan batik kini berisiko pupus kerana kekurangan generasi pelapis yang terlatih. Teknik pembuatan tekstil tradisional sering kali tidak didokumentasikan secara rasmi dan disampaikan melalui tradisi lisan, menjadikan guru-guru ini sebagai penjaga rahsia seni tersebut. Motif dalam tekstil juga kaya dengan simbolisme yang mencerminkan sejarah dan budaya tempatan.

Yayasan Hasanah berusaha untuk membawa tekstil Malaysia ke peringkat global melalui pelbagai inisiatif. Dengan HGTA sebagai platform antarabangsa, yayasan ini mengetengahkan karya-karya tekstil tempatan kepada khalayak global. “Peranan saya sebagai Pengarah Urusan melibatkan promosi diplomasi budaya dan bekerja dengan pemegang berkepentingan utama untuk meningkatkan identiti budaya Malaysia di peringkat nasional dan global.” Mereka juga menyokong penyertaan artis dalam pameran antarabangsa dan menjalin kerjasama dengan institusi budaya global untuk meningkatkan pengiktirafan terhadap warisan budaya Malaysia.

Dalam usaha membawa orang ramai lebih menghargai tekstil negara, Yayasan Hasanah melaksanakan pelbagai inisiatif. Selain HGTA, program IKAT (Immersive Knowledge and Textile) 2.0 menawarkan pengalaman interaktif melalui pameran dan bengkel. Yayasan ini juga fokus kepada penyelidikan dan pembangunan untuk membantu artisan dalam memasarkan produk mereka, menjadikan seni tekstil lebih relevan dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Dalam lima tahun akan datang, Yayasan Hasanah berhasrat untuk memperkukuhkan impak dalam membawa perubahan sosial dan alam sekitar di Malaysia. Dengan penekanan pada projek jangka panjang dan penglibatan masyarakat, yayasan ini akan terus memelihara warisan budaya melalui program seperti HGTA dan IKAT. Mereka juga berkomitmen untuk membina ekosistem transformasi yang menyokong kesejahteraan sosial, termasuk dalam pendidikan dan pemuliharaan alam sekitar, melalui kolaborasi dengan pelbagai pemegang berkepentingan.

Artikel Berkaitan: Bukan Sekadar Fesyen, Ini Rahsia Kejayaan Jenama Calaqisya!