Zul Ariffin & 9 Hero Malaya Paling Popular 2024 Pilihan GLAM
Hero Malaya, mereka adalah individu yang memainkan watak penting untuk menjayakan satu karya dan menambat hati penonton. Mereka popular dengan keunikan yang tersendiri.
Negara kita seringkali digemparkan oleh lakonan lakonan hero malaya yang sering memberi impak di dalam industri perfileman Malaysia. Tidak kira usia muda atau tua, hero hero malaya ini akan sentiasa menjadi bualan dan kegemaran wanita di Malaysia. GLAM akan berkongsi 10 Hero Malaya paling popular 2024 pilihan kami.
#1 Zul Ariffin
Dikenali sebagai wataknya di dalam filem J Revolusi, pelakon Zul Ariffin mula giat dalam industri lakonan Malaysia pada tahun 2008 menerusi drama bersiri Awan Dania. Nama hero malaya ini mula menjadi perhatian ramai pada tahun 2014 menerusi drama bersiri bersama Ayda Jebat, Rindu Awak 200%. Lakonannya dalam filem terbaru Sheriff: Narko Integriti membawa pengaruh yang besar di Malaysia.
#2 Beto Kusyairy
Dilahirkan dan dibesarkan di Kuala Lumpur, Beto mula menjadi buah hati rakyat Malaysia menerusi wataknya di dalam rancangan Istanbul Aku Datang, memainkan peranan seorang lelaki yang gentleman. Hero malaya ini sekali lagi menambat hati rakyat Malaysia dengan lakonannya di dalam filem hit, Imaginur, pada tahun 2023.
#3 Bront Palarae
Hero Malaya campuran Malaysia-Thailand ini mula mencipta nama dengan lebih giat sejak tahun 2007 dengan filem Anak Halal gandingan bersama Maya Karin, Farid Kamil dan Fasha Sandha. Bront yang seringkali juga membintangi filem antarabangsa sentiasa memberi impak yang besar dalam setiap lakonannya. Mahupun sudah mencapai usia 23 tahun di dalam industri lakonan, Bront masih mampu menambat hati penonton dengan lakonan hebatnya.
#4 Aaron Aziz
Tampil dengan filem terbarunya Sheriff: Narko Integriti, Aaron Aziz memegang watak antagonis sebagai Toni Ifrit, menarik kembali perhatian ramai. Anak kelahiran Singapura ini telah berada di dalam industri selama 23 tahun. Antara wataknya yang pernah popular ialah Zarief Daniel dalam filem “Suamiku, Encik Perfect 10” yang berjaya menambat hati wanita dengan watak Mr Perfect nya. Paling penting, hero malaya ini turut giat dan lantang dalam menyebarkan sokongannya terhadap isu-isu berat yang melanda dunia menerusi akaun Instagram nya.
#5 Adi Putra
Namanya semakin meningkat naik pada tahun ini dengan wataknya sebagai Syed Mirza dalam drama sensasi, Lelaki Itu. Adi Putra yang sudah berada di dalam industri selama 22 tahun itu tidak pernah gagal dalam menyampaikan apa jua karakter dan watak yang diberikan kepadanya. Watak Syed Mirza membangkitkan amarah penonton dan ternyata lakonannya itu berjaya menambat hati penonton setia drama tersebut. Namun, secara realitinya, hero Malaya ini amatlah penyayang dan paling penting, amat mengutamakan keluarganya.
#6 Syafiq Kyle
Memegang watak sebagai Inspektor Nazri dalam filem terbarunya, Sheriff: Narko Integriti, Syafiq Kyle , adalah merupakan bekas peserta Hero Remaja 2011/2012. Sudah banyak yang dilalui oleh pelakon ini dan bukan itu sahaja, Syafiq Kyle pernah menjadi kegilaan ramai menerusi wataknya, Ustaz Adam, di dalam drama bersiri Nur. Hero malaya berusia 31 tahun ini sehingga kini masih menjadi antara hero idaman gadis di Malaysia!
#7 Remy Ishak
Remy Ishak meraih popularitinya pada tahun 2009 dengan drama bersiri Nur Kasih bersama Tiz Zaqyah. Anak kelahiran Melaka ini mempunyai karisma dan aura yang sangat hebat dan mampu mencuri hati penonton yang menonton setiap filem lakonannya. Hero malaya ini juga pernah memiliki pencapaian yang hebat, antaranya seperti memenangi Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia-31 menerusi filem Sangkar.
#8 Hero Malaya Popular: Fattah Amin
Bermula sebagai kru, Fattah Amin yang merupakan finalis Hero Remaja 2011/2012 akhirnya berjaya memulakan karier filemnya pada tahun 2014, di dalam filem Manisnya Cinta Di Cappadoccia yang turut dibintangi isterinya, Fazura. Hero malaya ini juga berjaya menambat hati orang ramai dengan wataknya sebagai Awang dalam filem Mat Kilau dan Pendekar Awang pada tahun 2024. Fattah dan isterinya, Fazura juga sangat berani menyuarakan sokongan mereka isu-isu semasa di laman akaun Instagram milik mereka.
#9 Shukri Yahaya
Dikenali ramai kerana drama popularnya, 7 Hari Mencintaiku, Shukri Yahaya memulakan kariernya pada tahun 2011 menerusi filem Jiwa Taiko. Selain itu, watak suami yang curang lakonan Shukri di dalam drama bersiri Layang-Layang Perkahwinan juga antara yang meningkatkan lagi namanya dan mendapat respon positif daripada peminat dan penonton drama Melayu.
#10 Shaheizy Sam
Dilahirkan di dalam keluarga yang aktif terhadap dunia seni membuatkan Shaheizy tidak ketinggalan mengikut jejak langkah ibu dan kakaknya. Membintangi drama bersiri yang masih ditayangkan bersama Emma Maembong, Takdir Itu Milik Aku membuktikan lagi betapa hebat impak pelakon ini dan skil lakonannya memang tidak dapat dinafikan lagi. Antara yang masih diingatan sudah tentu lakonan popular Shaheizy Sam menerusi watak lucunya, Adnan di dalam filem Adnan Sempit.