Sejarah Tercipta! Nama Siti Nurhaliza Bakal Diabadikan Di Walk of Fame Adelaide - Glam Malaysia

Sejarah Tercipta! Nama Siti Nurhaliza Bakal Diabadikan Di Walk of Fame Adelaide

Baru beberapa minggu lalu disenaraikan sebagai 100 Selebriti Asia Pasifik Paling Berpengaruh, semalam Datuk Seri Siti Nurhaliza mengumumkan satu lagi berita baik di Instagram miliknya – namanya bakal diabadikan di Walk Of Fame di Sungai Torrens, Adelaide, Australia.

“Alhamdulillah, terima kasih semua yang menyokong saya tanpa jemu, peminat-peminat saya yang selalu ada dalam susah dan senang. Ini untuk anda yang bersama-sama saya selama ini. Nanti kalau ke Adelaide lagi, bolehlah saya ambil gambar dengan Walk Of Fame sendiri, tak sangka sebenarnya,” tulisnya.

Tiga bintang antarabangsa dipilih setiap tahun untuk dibadikan dalam Walk Of Fame ini di mana pengiktirafan ini diberikan kepada mereka yang pernah melakar sejarah di pentas Adelaide Festival Centre. Tiga kategori tersebut adalah Undian Terbuka, Pilihan Pengkritik dan Pilihan Adelaide Festival Centre (AFCT).

Datuk Seri Siti Nurhaliza yang memenangi kategori Undian Terbuka pernah membuat persembahan di Adelaide Festival Centre, OzAsia Festival pada tahun lalu. Mengikut laporan antarabangsa, penyanyi yang mendapat jolokan ‘Celine Dion Asia Tenggara’ itu telah memenangi hampir 300 anugerah dalam dan luar negara dan berjaya memenangi hati penonton yang hadir di festival tersebut.

See also
Kediaman Keeping Up With The Kardashians Kini Untuk Dijual

Dua lagi nama bintang antarabangsa yang bakal diabadikan di Walk Of Fame tersebut adalah penari, Frances Rings dan pemuzik, William Barton. Untuk edisi 2019 ini, sebanyak 11 nama telah dicalonkan berdasarkan pencapaian dalam kategori masing-masing.

Tahniah daripada Glam!

Foto: Sitisentralworld.weebly.com

Baca: Usaha Hamil Kali Kedua, Siti Nurhaliza Selamat Jalani Pembedahan