Pengarah Kreatif Baharu Moschino, Davide Renne Meninggal Dunia - Glam Malaysia
Pengarah Kreatif Baharu Moschino, Davide Renne Meninggal Dunia

Pengarah Kreatif Baharu Moschino, Davide Renne Meninggal Dunia

Rumah fesyen Itali, Moschino mengejutkan dunia apabila mengesahkan berita pemergian Davide Renne pada usia 46 tahun.

Mendiang baru sembilan hari berkhidmat sebagai pengarah kreatif jenama itu. Punca kematian Davide Renne tidak didedahkan, bagaimanapun syarikat induk Moschino, Aeffe memaklumkan ia disebabkan ‘penyakit mengejut’.

“Tiada perkataan mampu menggambarkan keperitan yang kami rasai ketika ini. Davide menyertai kami hanya beberapa hari lalu, dan penyakit mengejut meragut nyawanya secara tiba-tiba. Kami masih rasa tidak percaya dengan apa yang berlaku,” kata Massimo Ferretti, pengerusi Aeffe.

Menurut laporan The New York Times, dia meninggal dunia disebabkan serangan jantung.

Davide Renne, Pereka Berbakat Besar

Mendiang dilahirkan di Fallonica, Tuscany pada Julai 1977. Selepas tamat pengajian di University of Florence dan sekolah fesyen Polinoda, dia bekerja dengan pereka Itali Alessandro Dell’Acqua sebelum menyertai Gucci pada 2004.

Pelantikan Davide Renne sebagai pengarah kreatif baharu Moschino diumumkan pada 16 Oktober lalu, menggantikan Jeremy Scott yang berundur pada Mac 2023. Dia memulakan tugasnya secara rasmi pada 1 November dan meninggal dunia pada 10 November di Milan.

Moschino, Davide Renne

Foto: Ilmessaggero

Koleksi pertamanya dijangka dipentaskan di Minggu Fesyen Milan pada Februari 2024. Sebelum ini dia merupakan ketua pereka pakaian wanita di Gucci dan mempunyai dua dekad pengalaman bekerja dengan jenama itu.

See also
Ed Sheeran & Adele Tolak Permintaan Raja Charles III

Beberapa tokoh berpengaruh dalam industri fesyen memberi penghormatan terakhir kepadanya di media sosial. Harris Reed, pengarah kreatif Nina Ricci menggambarkan Davide Renne sebagai ‘a true angel’ manakala model dan penyanyi Karen Elson menulis, “Hati saya hancur. Berehatlah dengan tenang Davide.”

Mentornya, Alessandro Dell’Acqua berkongsi kesedihannya menerusi satu perkongsian di Instagram. “Selamat tinggal Davide! Kamu akan sentiasa berada dalam hati saya.”

 

Foto: Alessio Balzoni

Baca: Pereka Fesyen “Sensual Obsessive”, Emanuel Ungaro Meninggal Dunia