GLAM Profil: Shukri Shari, Pengarah Kreatif Locka
GLAM mendekati Shukri Shari, Pengarah Kreatif Locka, dalam mengusahakan jenama fesyen khusus buat wanita.
pengarah kreatif AIZAT AIDID arahan seni AMIIRUL ARIFIN teks HANNA B. gambar BIBO ASWAN solekan & dandanan FENDY AFANDI
Pengarah Kreatif Locka, Shukri Shari, 34, atau lebih mesra disapa Shuk ini antara pelopor bisnes yang mengkhususkan pakaian wanita. Tujuh tahun menerajui perniagaan Locka, Shukri seakan sudah mengerti apa yang disukai oleh peminat Locka dalam persalinan harian mereka. Jejaka ini mendapat pendedahan kerjaya fesyen awal apabila bekerja retail di Guess jenama dibawah naungan FJ Benjamin. Kemudian dia beralih ke Melium Group dan bekerja di butik Farah Khan. Kariernya bertukar di awan biru apabila menjadi cabin crew Air Asia.
“Locka mula terdetik di fikiran saya apabila pesawat kami rosak di Guangzhou, China. Jadi kami semua apa lagi, jalan-jalan la di sekitar kota. Daripada situ mata saya ralit membelek jenis-jenis fabrik di sana. Then I said, to myself, I really need to work on something with these beautiful fabrics. Jadi saya mulakan dengan lancarkan tudung serta jubah and the rest is history,” ujar Shukri yang mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Vokasional ini.
Shukri ternyata bijak dalam meramal apa yang dikehendaki wanita dalam berfesyen kerana setiap rekaan Locka sentiasa mendapat sambutan hangat. “Sejujurnya saya betul-betul ikut apa yang peminat Locka gemari. Bukan bersandarkan selera fesyen saya. Saya akan ambil waktu untuk mempelajari akaun Instagram klien-klien tentang apa yang mereka pakai, warna apa yang mereka suka, dari situ saya akan keluarkan rekaan saya. Peminat Locka suka fabrik bercorak jadi saya memang tekankan betul-betul pada cetakan. Ia umpama hadiah buat peminat Locka sebenarnya kerana saya mahu mereka selesa dan yakin dengan rekaan saya.” Ujar Shukri yang juga akui di awal pembabitannya mengemudi jenama Locka dia banyak mendapat sokongan dari teman-teman pempengaruh seperti Atita Haris, Annas Easkey menolong mempromosikan produknya.
Shukri hari ini boleh tersenyum atas pencapaiannya kerana dia sudah meraih satu kejayaan demi kejayaan. Kini Locka sudah mempunyai butik pertama di One Utama yang dibuka pada 2019. Dan koleksi Locka juga boleh didapati di Four Seasons dan Setia City Mall, Shah Alam, selain boleh dibeli di online yang sering menjadi tumpuan pelanggan dari Malaysia, Singapura dan Australia.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan rezeki Locka walaupun banyak dugaan saya dan pasukan saya lalui. Jika dikenang kembali, paling berat pada waktu pandemik. Bayangkan saya baru keluarkan jumlah wang yang besar untuk buka butik pertama saya, tiba-tiba lockdown! Sewa butik yang tinggi itu juga harus terus dibayar, dan 30 pekerja di bawah Locka juga perlu diberi gaji. Sejujurnya, tekanan pada waktu itu hampir buat saya give up dengan Locka. Tetapi mengenangkan 30 pekerja saya yang ada keluarga untuk beri makan saya gagahkan juga. Alhamdulillah saya tidak memotong gaji mereka juga tidak ada pekerja yang dibuang. Syukur ada simpanan daripada untung Locka sebelum ini buat menampung di saat kecemasan seperti lockdown. Waktu itu saya perlu cari wang lebih, membeli fabrik baru yang sejuk untuk keluarkan koleksi wanita selesa bekerja dari rumah. Fabrik yang terdahulu dilaburkan saya bekukan dulu, kerana tidak sesuai . Waktu itu rata- ratanya semua WFH (work from home).”
Shukri menyifatkan DNA Locka adalah helaian yang selesa, ironless, dress pantai, flare skirt, print bunga besar-besar ia sesuai dengan wanita kerjaya yang perlukan masa yang pantas untuk bersiap tetapi masih tampil elegan dan chic ke pejabat umpamanya.
“Locka to me it’s like an accidental profession, as I have never pictured myself as a fashion designer. Siapa sangka minimum quantity order Locka setiap bulan hampir 3000 helai. Saya gembira kerana wanita di Malaysia memilih Locka untuk membaluti tubuh mereka. Harapan saya untuk Locka agar terus sustain dalam dunia perniagaan ini dan terus mengeluarkan produk modest wear yang dikenali di seantero dunia.” Ujar Shukri yang merupakan anak bongsu dan mempunyai kembar yang seiras dengannya.
Pautan Berkaitan: GLAM Profil: Ridzuan Alias, Pereka Fesyen Teruntum Putih