Emily Ratajkowski Dituduh Mendapatkan Suntikan Bibir Ketika Hamil
Model dan pelakon, Emily Ratajkowski yang mengumumkan berita kehamilan Oktober lalu kini berhadapan dengan spekulasi mengenai bibirnya yang kelihatan lebih mungil daripada kebiasaan.
Jumaat lalu, Emily meluangkan masa memberi penjelasan mengenai khabar angin yang bertebaran di Instagram Story miliknya.
“Kepada anda yang mengatakan, ‘anda perlu berhenti ambil suntikan bibir’: Saya tidak pernah mendapatkan suntikan bibir (namun saya tidak menghakimi mereka yang melakukannya – ia tampak hebat!) dan anda tidak boleh mendapatkannya ketika sedang hamil!” jelasnya.
Dia menambah, wajah dan bibirnya mungkin kelihatan sedikit bengkak disebabkan perubahan yang berlaku pada tubuhnya sewaktu kehamilan.
Seperti yang dinyatakan Emily di Instagram Story, memang benar kebanyakan doktor tidak menggalakkan bakal ibu mendapatkan rawatan suntikan bibir.
Apabila Kylie Jenner hamil anak pertamanya Stormi pada 2017, ia mencetuskan spekulasi sama. Peminat tertanya-tanya adakah dia akan meneruskan suntikan bibir atau prosedur kosmetik lain.
Ketika itu pakar bedah plastik, Dr. Alan Matarasso dan pakar sakit puan, Dr. Sheryl Ross menjelaskan bahawa mereka tidak mengesyorkan penggunaan Juvéderm, jenama filler bibir popular atau bahan suntikan lain yang tidak mempunyai kajian menyeluruh kerana ia mungkin memberi kesan terhadap bayi dalam kandungan.
Kesan sampingan Juvéderm terhadap kehamilan dan penyusuan masih belum dikaji setakat ini, menurut laman web jenama tersebut.
Dr. Ross juga menambah, perubahan hormon ketika hamil boleh menampakkan bibir lebih mungil dan bertindak sebagai filler semula jadi.
Sewaktu mengumumkan kehamilan anak pertamanya bersama suami, Sebastian Bear-McClard ketika menjadi penghias kulit majalah digital Vogue, Emily mengakui berasa janggal dengan perubahan bentuk badannya dalam masa singkat.
“Sangat pelik apabila tubuh anda berubah secara drastik dalam masa beberapa bulan sahaja. Namun saya menghargai apa yang tubuh saya mampu lakukan, dan bagi saya ia sesuatu yang indah. Saya akan meraikannya,” ujarnya.
Foto: Getty Images