Dari Meja Pengarah Kreatif: Masa Hadapan Yang Cerah - Glam Malaysia
glam jan feb 2023

Dari Meja Pengarah Kreatif: Masa Hadapan Yang Cerah

Saya cukup sukakan imej kulit majalah GLAM pembuka tahun 2023. Vivy Yusof, satu ikon wanita yang GLAM sanjungi digubah indah oleh Johan Kassim, Khir Khalid, Naz dan Chee Wei. Jarang sungguh dapat melihat Vivy dalam solekan yang lebih dramatik. Makanya, saya memberi kebebasan buat pasukan kreatif ini mencuba sebaiknya agar Vivy tampil lain buat GLAM. Bukankah ini sebenarnya fantasi di GLAM? Menghidupkan alter ego dalam diri setiap wanita.

Riuh menyaksikan sesi penggambaran Vivy, apatah lagi semua di studio masih berasa bangga dengan kejayaan yang dimiliki olehnya. Tahun 2022 adalah milik Vivy Yusof. Business of Fashion menyenaraikan dia sebagai salah seorang BoF 500 dan pada penghujung tahun pula Vivy melancarkan buku The First Decade, hasil nukilannya sebagai tanda merayakan 1 dekad sebagai usahawanita. GLAM bangga menjadi sebahagian jalan kisahnya. Dialah simbol wanita muda yang cekal dalam memacu kerjaya agar kekal unggul.

Saya sempat menghabiskan bukunya sebelum masuk 2023. Apa yang terpahat dalam otak adalah nasihat yang diberikan oleh Diane von Furstenberg kepada Vivy yakni; Make sure you control the narrative. Kadang kala kita lupa tentang diri dan memberi orang lain kebebasan untuk menjadi penulis skrip utama kehidupan kita. Maka, jangan beri orang lain untuk kawal jalan hidup kita. Jangan sesekali takut untuk mengikut jalan lain, walaupun ia bukan satu pilihan yang popular. Kamu adalah kapten diri sendiri, kamu tahu siapa diri kamu dan kamu tidak boleh menipu menjadi orang lain.

See also
Azam Baru Tahun 2019 Barisan Selebriti Malaysia

Selain Vivy, edisi kali ini turut menjemput the famous Zulkifli Sisters – Nurul & Amira buat ruangan Profil. Mimpikita yang dahulunya jenama kecil, kini sudah menginjak lebih dewasa. Butik mereka yang tersergam di Bangsar tidak pernah putus menerima pelanggan. Menyaksikan jenama ini berkembang maju atas usaha adik beradik ini sejak 15 tahun yang lepas, Mimpikita mampu mewujudkan satu komuniti mereka. The cult of Mimpikita; mereka adalah wanita moden, bijaksana dan suka berfesyen.

‘Mimpikita bukan lagi mimpi’ oleh Marini Mat Zain mengumpulkan kisah bagaimana jenama Mimpikita bangun berdiri sehingga sekarang. Saya pasti, jenama ini akan terus mekar dalam mewangikan arena fesyen lokal. Sifat kecekalan milik tiga beradik ini (Syahira Zulkifli adalah adik bongsu mereka) memacau jenama dengan semangat kekeluargaan wajar menjadi contoh buat mereka yang mahu mula berjalan dalam arena perniagaan.

Ambil perkongsian wanita-wanita ini sebagai pembakar semangat buat 2023. Enjoy the issue.