Rawat Mata Letih Setelah Penat Bekerja
mata letih

5 Cara Merawat Mata Letih Setelah Seharian Bekerja!

Seharian berhempas-pulas bekerja, menghadap telefon dan komputer riba, mulalah terasa mata letih. Ayuh GLAM kongsikan tip merawat masalah mata letih ini. 

Percayalah, semua pernah merasakan masalah wajah sembap, tidak bermaya dan mata letih ini. Apatah lagi, masyarakat era hari ini. Baik lelaki mahupun wanita, masing-masing dengan amalan gaya hidup sibuk, sehingga tiada masa untuk diri sendiri. Apabila tiada masa untuk diri sendiri, mulalah waktu tidur tidak menentu, badan menjadi tidak selesa dan mood langsung berubah serta-merta.

Namun, tahukah anda bahagian wajah yang mana yang paling ketara terlihat jika anda tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat? Jawapannya, mata! Mata kita dikawal oleh enam otot yang berfungsi menggerakan mata. Jika otot-otot mata tidak berfungsi dengan betul, maka ia akan memberi kesan kepada mata anda. Mata letih ini bukanlah satu penyakit, ia hanyalah sekadar simptom yang harus anda ambil tahu. Mata letih berpunca dari ketegangan mata, jadi jika anda mengalami masalah ini, ia adalah sebenarnya tanda isyarat untuk anda mula memberikannya  perhatian lebih.

See also
Alami Gigi Putih Berseri Dengan Colgate Optic White FlexLight LED Kit

mata letih

Gambar: freepik

Jadi, selain daripada amalan tidur yang cukup, bagi anda yang mahu mengelakkan masalah mata letih ini, ayuh GLAM bantu! Kami senaraikan 5 cara merawatnya. Buat yang workaholic, ini tip untuk anda!

Ini 5 Cara Merawat Mata Letih

#1 Kerap Kelip Mata

Jika mata jarang berkelip, ia akan menjadi kering. Terutama sekali apabila sudah terlalu lama menghadap skrin komputer anda, pastinya mata terlalu fokus sehingga tidak sedar, kerdipan mata tidak menutup sepenihnya. Jangan pandang remeh, kerana hal ini juga mampu memberi kesan kepada kesihatan mata. Kelipan mata sebenarnya membantu mengekalkan kesegaran mata. Jadi, tip GLAM, selalu ingatkan diri untuk kerap mengelipkan mata. Pastikan anda menutup rapat selama 3 hingga 4 saat, kemudian buka pada kiraan yang sama. Lakukan sebanyak 7 hingga 8 kali setiap kali mata terasa letih.

#2 Tekanan Hangat Pada Mata

Pastikan anda ambil masa untuk berehat seketika daripada berterusan bekerja. Sambil anda merehatkan mata, apa kata anda tuam bahagian tersebut dengan kain bersuhu hangat selama beberapa minit. Ia bertujuan untuk melegakan tegang urat mata serta membantu mengembalikan peredaran darah yang lancar.

See also
Adele Akhirnya Temui Cinta Sejati?

#3 Senaman Ringan Untuk Mata

Selain melakukan amalan kerdipan mata, apa kata anda cuba senaman mudah ini. Ia membantu bukan sahaja menguatkan otot-otot malah meningkatkan keupayaan melihat. Teknik senaman ini dipanggil ‘Angka Lapan’. Caranya adalah dengan membayangkan angka lapan gergasi pada jarak 3 meter di hadapan anda. Bayangkan angka lapan tersebut di dalam posisi melintang. Secara perlahan-lahan, bawa mata anda mengikut lingkaran angka lapan tersebut menggunakan pergerakan mata tanpa menggerakkan kepala. Lakukan selama 3 hingga 5 minit berulang kali dan bertentangan arah.

mata letih

Gambar: freepik

#4 Kurangkan Menghadap Skrin

Dengan dunia hari ini yang mana rata-ratanya jika tidak menghadap skrin komputer riba, mereka ini akan menghabiskan masa berjam-jam menghadap skrin telefon pintar mereka. Tahukah anda, obsesi seperti ini mampu merosakkan mata dalam jangka masa yang lama? Jadi, terhadkanlah amalan ini. Kurangkan screen time anda terutama sekali sebelum tidur. Ini kerana sinaran biru yang terdapat pada skrin ini mampu mengganggu tidur anda. Bukan anak-anak sahaja perlu kurangkan screen time ya!

See also
Endometriosis & Kesihatan Mental - Jangan Menderita Dalam Kesunyian!

#5 Ubah Gaya Hidup Untuk Elak Mata Letih

Amalan tidur yang cukup. Orang dewasa seharusnya tidur selama 6 hingga 7 jam sehari. Tidurlah sebelum jam 11 malam untuk melindungi bukan sahaja mata akan tetapi bahagian tubuh yang lain. Tidak cukup dengan itu, minumlah air masak yang banyak. Ia akan membuatkan seluruh tubuh termasuk mata kekal terhidrat dan dalam pada masa yang sama mengelakkan mata terus-terusan menjadi kering dan penat.