Beyonce Wanita Kulit Hitam Pertama Ungguli Carta Country Billboard
Beyonce melakar sejarah sebagai wanita kulit hitam pertama menjuarai carta Hot Country Songs Billboard selepas Texas Hold ‘Em mengungguli tangga pertama.
Texas Hold ‘Em dikeluarkan serentak dengan lagu 16 Carriages selepas Beyonce membuat pengumuman mengejut mengenai pelancaran album terbarunya di Super Bowl.
Bagaimanapun itu bukan satu-satunya pencapaian Beyonce. Dia turut mencipta rekod sebagai penyanyi wanita solo kedua menjuarai carta tersebut. Mengikut jejak langkah Taylor Swift yang meraih kejayaan itu pada 2021 menerusi rakaman semula Love Story dan All Too Well.
Foto: Instagram
Ibu kepada tiga cahaya mata itu juga menjadi wanita pertama mengungguli kedua-dua carta Hot Country Songs dan Hot R&B/Hip-Hip Songs sejak ia diperkenalkan pada 1958. Hanya empat penyanyi yang pernah memegang rekod itu iaitu Justin Bieber, Billy Ray Cyrus, Ray Charles dan Morgan Wallen.
Beyonce Mendominasi Carta Billboard
Lagu Texas Hold ‘Em dilancarkan pada 11 Februari manakala carta Billboard itu dikeluarkan pada 15 Februari. Bermakna ia mengambil masa hanya empat hari untuk mencipta rekod.
Pada masa itu Texas Hold ‘Em telah distrim sebanyak 19.2 juta kali dan dimuat turun 39,000 kali di Amerika Syarikat, menurut syarikat data hiburan Luminate. Ia bermula di tangga kedua dalam carta Hot 100. Lagu 16 Carriages pula bermula pada kedudukan ke-38 dalam carta Hot 100 dan ke-9 dalam carta Hot Country Songs.
Kedua-dua lagu ini akan ditampilkan dalam album kedua daripada trilogi Renaissance yang akan menemui peminat pada 29 Mac.