Stail Pasangan Hollywood Terbaik Di Emmy Awards 2023
Emmy Awards ke-75 yang berlangsung pada 16 Januari di Peacock Theater, Los Angeles meriah dengan kehadiran para selebriti dan jemputan ternama.
Anugerah berprestij ini memberi penghormatan kepada produksi dan persembahan terbaik dalam televisyen sepanjang tahun 2023. Acara paling mencuri perhatian tentunya kemunculan ikonik bintang Hollywood di karpet merah.
Emmy Awards tahun ini menyaksikan selebriti hadir dalam persalinan memukau mata daripada pereka ternama. Selena Gomez, Jenna Ortega dan Jessica Chastain kelihatan anggun dalam gaun feminin menawan. Barisan selebriti lelaki yang tampil segak termasuk Jeremy Allen White, Brett Goldstein dan Colman Domingo.
Lihat pula gaya pasangan yang mencuri perhatian di Emmy Awards 2023
Padanan persalinan karpet merah Kourtney Kardashian dan Travis Barker hampir sempurna. Kedua-duanya sepakat untuk tampil dalam sut serba hitam. Selain cermin mata, Kourtney melengkapkan gayanya dengan sarung tangan kulit manakala Travis memilih tali leher kupu-kupu.
Jason Ralph dan Rachel Brosnahan memilih gaya chic bersahaja di karpet merah Emmy Awards. Pelakon dan penerbit teater itu menggayakan sut hitam dan kemeja putih tidak dibutang bersama rantai emas. Isterinya, aktres The Blacklist anggun dalam gaun berstruktur burgundy daripada Versace.
Sam Richardson dan Nicole Boyd menampilkan kelainan pada trend hitam putih yang mendominasi karpet merah. Aktor dan pelawak itu memadankan jaket berstruktur kuning air bersama celana hitam daripada Grayscale. Pasangannya menyarung gaun hitam klasik dengan coutout seksi di bahagian bahu dan dada.
Issa Rae dan Louis Diame memilih tema glamor di karpet merah Emmy Awards. Gaun aktres Barbie itu yang direka oleh Pamella Roland dilitupi sepenuhnya dengan perincian bulu. Suaminya yang juga usahawan menggandingkan jaket tuksedo baldu merah pulasan bersama celana dan tali leher kupu-kupu rona hitam.
Joseph Lee dan Diana Ryu sepakat menggayakan persalinan monokrom. Aktor Beef itu segak dalam sut serba kelabu bersama kemeja berkolar mandarin daripada Zegna. Isterinya yang merupakan pengasas Namu Home Goods memilih gaun tanpa bahu rona hitam bersama sepatu sedondon.
Foto: Gilbert Flores/Getty Images