#Recap: Tiga Jenama Dari Asia Tenggara Bersinar Di Minggu Fesyen Dubai 2024 - Glam Malaysia

#Recap: Tiga Jenama Dari Asia Tenggara Bersinar Di Minggu Fesyen Dubai 2024

GLAM mengimbas kembali kehebatan Minggu Fesyen Dubai dengan tiga kecemerlangan jenama dari Asia Tenggara yang menyinari pentas peragaan di Minggu Fesyen Dubai 2024. Rizman Ruzaini, Alia Bastamam dan Buttonscarves nyata berjaya mencipta nama di persada dunia!

Minggu Fesyen Dubai 2024 disertai oleh jenama-jenama dari Asia Tenggara seperti Rizman Ruzaini, Alia Bastamam dan Buttonscarves yang cukup membanggakan. Setiap label terbukti hebat dalam mempamerkan DNA masing-masing walau memperagakan seiring dengan jenama antarabangsa lain di peringkat global. Hal ini lantas membuka jalan yang lebih luas, di mana lebih ramai penggemar dan penggiat fesyen, media serta jenama luar untuk mengenali keberadaan mereka di dalam industri fesyen. Jom ikuti GLAM mengimbas semula akan koleksi tiga jenama ini di Minggu Fesyen Dubai.

#Recap: Sorotan Jenama Rizman Ruzaini, Alia Bastamam & Buttonscarves di Minggu Fesyen Dubai 2024.

Rizman Ruzaini

Ini bukan kali pertama buat jenama Rizman Ruzaini mempersembahkan koleksi mereka di Minggu Fesyen Dubai, dan kali ini mereka telah memilih untuk membuka tirai dengan koleksinya yang bernama ‘Mustika’. Diilhamkan daripada watak filem ‘Perempuan Melayu Terakhir’ pada tahun 1999, lantas ia diolah menjadi pertunjukan fesyen yang cukup memukau pandangan. Koleksi ini menyuntik elemen tradisi dan kontemporari yang mana turut mengetengahkan busana kebaya menjadi watak utama dalam koleksi. Selain itu, perincian yang menawan seperti sulaman, batik dan siluet rumit, menyerlahkan lagi ketukangan yang teliti. Aura gaya wanita moden pula terpancar apabila fabrik bermaterial denim digunakan pada helaian busana. Koleksi SS25 Rizman Ruzaini ternyata menginjek karakter yang anggun lagi mempersona.

See also
6 Koleksi Anggun Dan Mewah Sempena Raya Aidilfitri 2023

Alia Bastamam

Mengambil alih pentas peragaan pada hari keempat Minggu Fesyen Dubai, label pakaian wanita Alia Bastamam membuat debut buat jenamanya dengan mempersembahkan koleksi ‘ODYSSEY’. Ia merupakan kesinambungan daripada kisah wanita Alia Bastamam yang memulakan perjalanan dalam penemuan diri ketika masa lalu pada koleksi “ACT I: Past” dan koleksi masa kini “ACT II: Present”. Koleksi ini nyata memberi keterserlahan nuansa feminin dan elegan dengan identiti Alia Bastamam yang jelas terpancar. Lebih mengagumkan, apabila selebriti atau ikon fesyen Malaysia, Scha Alyahya diterbangkan khas untuk menutupi koleksi debut Alia Bastamam.

Buttonscarves

Jenama dari Jakarta, Indonesia yang turut popular di Malaysia, Buttonscarves turut membuat debutnya di Minggu Fesyen Dubai 2024. Mengangkat tema ‘Lucent Dusk’ sebagai nama koleksi, Buttonscarves menghadirkan himpunan pakaian dengan keanggunan yang ringkas. Palet warna neutral dan rona putih menjadi sorotan utama yang terpancar di dalam koleksi ini. Penggunaan fabrik mewah seperti satin, jacquard, tweed, kapas, dan organza menjadi pilihan dengan butiran corak timbul dan manik yang nyata memberi daya tarikan. Sentuhan kreatif dan inovatif Buttonscarves juga mempersembahkan aksesori seperti beg ikoniknya, Beg Nina, Mindy Beg, dan Beg Beverly yang menambahkan elemen menarik pada persembahan. Debut pertunjukkan fesyen Buttonscarves dihadiri oleh ramai tetamu eksklusif seperti Duta Besar Republik Indonesia dan deretan selebriti terkenal seperti Alyssa Daguise, Putri Marino, Laura Basuki, Mira Filzah serta sokongan daripada pereka Rizman Ruzaini.

See also
Stay At Home, But Make It Fashion!

Artikel Berkaitan: Selebriti Di Barisan Hadapan Pentas Minggu Fesyen Paris 2024