COCO CRUSH: Koleksi Ikonik CHANEL Yang Merai Kebebasan
COCO CRUSH

Perhiasan Ikonik CHANEL Kini Hidup Semula Dalam COCO CRUSH

Apabila menyebut tentang COCO CRUSH, ia bukan sekadar koleksi perhiasan mewah, tetapi sebuah simbol gaya hidup. CHANEL berjaya menterjemahkan semangat bebas Gabrielle Chanel ke dalam rekaan yang moden, feminin dan berkarakter. Hasilnya ialah koleksi yang memberi lebih daripada sekadar kilauan emas ia menawarkan kebebasan untuk setiap wanita menceritakan kisah dirinya sendiri.

Inspirasi koleksi ini bermula seawal 1906, ketika Gabrielle Chanel menemui motif quilting pada selimut kuda dan jaket pekerja di ladang milik kekasihnya, Etienne Balsan. Siapa sangka corak ringkas itu akhirnya menjadi sebahagian daripada DNA CHANEL? Fast forward ke tahun 2015, motif quilted tersebut diangkat dalam bentuk paling mewah iaitu diukir pada emas, lalu lahirlah COCO CRUSH.

Sejak kemunculan pertamanya, koleksi ini terus berkembang. Dari emas BEIGE GOLD yang halus di kulit, hingga tambahan batu rubi dan pavé berlian yang penuh inovasi, COCO CRUSH mengekalkan keunikannya sebagai perhiasan versatil yang boleh dipadankan mengikut gaya dan mood pemakainya.

See also
Semegah Haruman Le Lion De Chanel

COCO CRUSH

BEIGE GOLD untuk COCO CRUSH: Warna ikonik yang tidak pernah lapuk

Bagi Coco Chanel, beige bukan warna biasa. Ia melambangkan kekuatan, perlindungan, dan juga pencapaian awalnya dalam fesyen. Dalam COCO CRUSH, emas BEIGE GOLD 18 karat membawa warisan itu ke peringkat baru. Warnanya lembut, hangat, dan menyerlahkan seri kulit dengan cara yang sangat elegan. Ia adalah pilihan bagi mereka yang mencari perhiasan abadi tanpa kompromi pada kualiti.

Sentuhan rubi dan berlian dalam COCO CRUSH

COCO CRUSH koleksi CHANEL

Tahun ini, CHANEL menambah naratif segar dalam COCO CRUSH dengan memperkenalkan rubi merah. Warna berani ini menghiasi loket, gelang, dan perincian huruf C.O.C.O., memberi interpretasi baru yang penuh permainan simbolik. Pada masa yang sama, teknik pavé terkini yang menyaluti garis menyerong quilted dengan taburan berlian menambahkan kilauan yang tampak semula jadi, seolah-olah cahaya jatuh tepat pada tempatnya.

COCO CRUSH

Some Encounters You Wear Forever

 

Bagi Gabrielle Chanel, setiap pertemuan adalah permainan di mana takdir dan nasib bertembung. Dan di situlah bermulanya kisah COCO CRUSH sebuah koleksi yang bercerita tentang pertemuan-pertemuan abadi. Ukiran bersilang yang kemas pada permukaan melengkung setiap rekaan menjadi simbol hubungan dan pertemuan yang kekal selamanya.

See also
'Femininities' Untuk Kempen Miu Miu Musim Luruh/Sejuk 2025

Kempen terbaharu koleksi ini menampilkan Jennie, penyanyi Korea Selatan dan duta CHANEL, bersama model lain di atas kerusi berputar. Diiringi lagu eksklusif It’s So Good, ciptaan pemuzik Inggeris Jamie xx, setiap helaian COCO CRUSH menyerlahkan dirinya dengan cara yang unik.

COCO CRUSH

Menjelang Januari 2025, koleksi ini dilengkapi dengan pelbagai rekaan baharu: rantai leher, subang, gelang dan cincin dalam 18K BEIGE GOLD, emas putih, emas kuning dan berlian. Setiap satu daripadanya memperluaskan lagi definisi gaya moden CHANEL.

Ekspresi Gaya Tanpa Batas

Keindahan sebenar COCO CRUSH ialah kebebasan untuk dipakai dengan cara tersendiri. Cincin boleh disusun mengikut saiz, gelang dipadankan dalam pelbagai warna emas, manakala anting-anting boleh digayakan solo atau dijadikan earcuff. Ia adalah perhiasan yang meraikan individualiti, sama seperti Gabrielle Chanel yang hidup tanpa mengikut arus.

Akhirnya, COCO CRUSH bukan sekadar koleksi perhiasan. Ia adalah sebuah manifesto gaya mengekalkan warisan CHANEL sambil memberi ruang untuk setiap wanita menulis kisahnya sendiri. Kilauannya bukan hanya pada emas dan batu permata, tetapi pada keyakinan yang terpancar daripada si pemakai.

See also
Ini Tanda Cinta Tyga Buat Avril Lavigne

Artikel berkaitan: 4 Personaliti Buat Kempen Chanel Eyewear Musim Bunga-Panas 2025

Farhana Fuad merupakan Pengurus Kanan Kandungan di GLAM Malaysia. Menggabungkan kepakaran dalam penulisan editorial dan strategi SEO, Farhana menerajui kandungan semasa dan gaya hidup.