Momen Paling Ikonik Di Minggu Fesyen Milan 2025
Minggu Fesyen Milan 2025 menyatu drama dan sejarah seperti debut baharu Gucci yang mengagumkan, kejutan sinematik di pertunjukan Dolce & Gabbana, keseronokan fesyen di Moschino, The New Versace serta perpisahan penuh sentimental buat Giorgio Armani.
Musim ini, Minggu Fesyen Milan terasa bagai sebuah panggung agung di mana fesyen dan sinema berjalin tanpa batas. Setiap jenama terkemuka tampil bukan sekadar memperlihatkan koleksi, tetapi juga mengarang naratif tentang zaman, kuasa dan memori. Dari kebangkitan era baharu Gucci hingga perpisahan penuh air mata buat Giorgio Armani, kota Milan menjadi saksi kepada detik yang akan terus diingati sebagai musim yang melakar sejarah.
Best Moments Captured Di Minggu Fesyen Milan 2025
1. Filem ‘The Tiger’ Gucci SS26
Debut Demna buat Gucci hadir bukan dalam bentuk pentas peragaan tetapi melalui filem pendek berjudul The Tiger. Disiarkan buat khalayak terpilih sebelum menakluki media sosial, filem ini menampilkan barisan pelakon termasuk Demi Moore, Edward Norton, Kendall Jenner dan ramai lagi sebagai watak dari La Famiglia. Filem arahan Spike Jonze dan Halina Reijn itu menyingkap idea Demna tentang pelbagai arketip pelanggan Gucci yang bebas menafsir gaya mereka sendiri. Koleksi ini menandakan bab baharu untuk rumah fesyen Itali yang ingin kembali menyalakan aura kebesaran setelah diuji perlahan pasca pandemik.
2. Kehadiran Miranda Priestly Di Dolce & Gabbana SS26
Dalam sebuah kejutan yang segera tular, Dolce & Gabbana mengaburkan garis antara realiti dan layar perak. Meryl Streep dan Stanley Tucci hadir ke pertunjukan sebagai Miranda Priestly dan Nigel, watak yang mereka hidupkan dalam The Devil Wears Prada. Kehadiran itu menukar pertunjukan menjadi babak filem, lantas menghidupkan semula keghairahan penonton terhadap kisah fesyen paling ikonik di layar.
3. Butiran Moschino SS26 Yang Menyeronokkan!
Adrian Appiolaza membawa Moschino ke pentas dengan koleksi Niente, di mana falsafah ‘reuse recycle reimagine’ menjadi jiwa. Guni kentang dijahit menjadi blaus, tali dan renda dijadikan hiasan indah manakala beg kulit menyerupai kotak bertanda Fragile menghadirkan humor sinis. Motif ikonik senyum trompe l’œil dan cetakan akhbar kembali dengan nafas baharu. Model bahkan berjalan sambil membawa kuali sebagai aksesori, satu simbol betapa Moschino terus bermain dengan sempadan jenaka namun tetap anggun.
4. Versace Dalam Babak Reset
Debut Dario Vitale di Versace SS26 hadir dengan niat yang jelas, mengatur semula kod rumah ini serta memancing reaksi. Koleksi yang menolak kemewahan tradisional sebaliknya memilih kontras warna berani serta potongan yang menonjolkan siluet tubuh. Walau ada yang terkejut, tujuan akhirnya tercapai kerana seluruh khalayak memperkatakan tentang wajah baharu Versace, sama ada dengan kagum mahupun tanda tanya.
5. Selamat Tinggal Giorgio Armani
Penutup minggu fesyen berlangsung dalam suasana suram. Pemergian Giorgio Armani dan koleksi terakhirnya ditayangkan sebagai penghormatan agung. Dari Richard Gere, Cate Blanchett, Lauren Hutton hingga Dries Van Noten, semua tetamu hadir bagi memberi penghormatan bersama. Koleksi itu menjadi doa dan puisi terakhir seorang maestro yang digelar sebagai raja keanggunan dalam pembuatan busana. Kini, dunia fesyen merasai pemergian seorang lagi pereka fesyen yang terunggul.
Artikel Berkaitan: Segalanya Tentang Pentas Pertunjukan Prada SS26
Syahirah Hussain
Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.

