Koleksi Longchamp Musim Dingin Dengan Dualiti Seni
MUSIM DINGIN SELALUNYA MENGHADIRKAN DUA KEINGINAN YANG BERTENTANGAN: MENCARI KETENANGAN DI ALAM SEMULA JADI, ATAU MERAIKAN DENYUT KOTA YANG TIDAK PERNAH TIDUR. KOLEKSI MUSIM SALJU 2025 LONGCHAMP MENANGKAP DUALITI ITU DENGAN PENUH SENI.
Bayangkan kabus halus yang menyelimuti bukit-bukit Cotswolds. Di sinilah, Sang Parisienne yakni wanita Longchamp yang penuh intuisi menemukan sisi paling intim dirinya. Kot shearling dengan kolar hangat, dress kait yang memeluk tubuh, dan blaus plaid yang diperbaharui, seolah-olah menyatu dengan lanskap desa yang romantis. Warna-warna bumi seperti hijau pucuk, teh ros, marmalade telah membentuk harmoni yang lembut, memberi nafas baru kepada palet musim salju yang biasanya berat. Ini adalah fesyen buat mereka yang mencari keindahan dalam kesunyian, tetapi tetap enggan mengalah pada gaya.

Duffle-coat, dress kait, but tinggi dan beg Le Roseau dengan Le Pliage Xtra key ring longchamp.
Namun, tiada Parisienne yang benar-benar lengkap tanpa sisi yang penuh kejutan. Saat menjejakkan kaki ke Paddington, dia berubah menjadi lebih berani, lebih provokatif. London, dengan sejarah punk dan tailoring Savile Row, membisikkan inspirasi buat mencampuradukkan yang mustahil. Miniskirt kulit paten, trench hijau yang segar, gaun satin hitam pekat atau merah flamboyan. Semuanya dihidupkan dengan eyeliner yang tajam dan keyakinan tanpa kompromi. Di kota ini, fesyen bukan sekadar pakaian, tetapi penegasan identiti kreatif mereka.

Dress, stole alpaga dan beg Le Roseau XS Bucket Longchamp.
“Musim ini, kami mahu menangkap keseimbangan antara ketenangan desa Inggeris dan tenaga luar biasa kota London. Kedua-duanya mencerminkan semangat Longchamp yakni elegan, tetapi sentiasa berani untuk bereksperimen,” ujar Sophie Delafontaine, Pengarah Kreatif Longchamp. Seperti gaun yang ditambah dengan butang berbentuk Le Roseau, satu item yang cukup ikonik buat Longchamp.

Kemeja, seluar dan skarf sutera bersama beg tote Le Roseau dan key ring bentuk kuda, Longchamp.
Musim dingin ini turut mencatat detik bersejarah: kolaborasi Longchamp dengan Gloverall. Bayangkan duffle-coat klasik Inggeris bertemu dengan sentuhan chic Paris. Hasilnya, sebuah karya yang menggabungkan warisan dengan moderniti. Potongan luas, hud dramatik, dan toggle kayu maple memberi penghormatan pada sejarah, sambil menolak ke hadapan dengan garis reka bentuk kontemporari. Le Roseau, tas ikonik Longchamp, turut diberi nafas baru. Lantas membuktikan bahawa legenda boleh berkembang tanpa kehilangan jiwa.

Dress dan beg Le Roseau bersama tali rantai Longchamp.
Koleksi Longchamp musim ini tidak menawarkan jawapan tunggal. Ia lebih seperti sebuah kanvas di mana setiap wanita boleh melukis dirinya, sama ada dengan sapuan lembut kait kasmir buat malam tenang, atau percikan dramatik kulit berkilat bagi pesta penuh tenaga. Inilah fesyen yang tidak membatasi, tetapi membebaskan; tidak membeku pada tradisi, tetapi merayakan transformasi.

Duffle-coat, dress kait, but tinggi dan beg Le Roseau dengan Le Pliage Xtra key ring longchamp.
Layari laman web atau singgah ke butik Longchamp untuk melihat koleksi musim luruh 2025!
Artikel Berkaitan: Longchamp Beach Club: Musim Panas Bergaya Di Bawah Mentari Tuscan
Aizat Aidid
Aizat Aidid, Pengarah Kreatif GLAM Malaysia, mengemudi dengan cita rasa mewah dan kandungan dinamik yang mengangkat nadi gaya aspirasi sekarang. Visinya nan elegan dan progresif terus mendefinisikan wajah baharu generasi semasa.

