La Famiglia: Era Demna Di Gucci Bermula - Glam Malaysia

La Famiglia: Era Demna Di Gucci Bermula

La Famiglia menandakan era baharu Gucci di bawah naungan Demna, esen seksi, berani dan penuh karisma yang menginjek warisan, glamor dan pelbagai persona disatukan dalam satu naratif fesyen kontemporari.

Gucci mengejutkan dunia fesyen dengan pelancaran sebuah lookbook dan koleksi khas bertajuk ‘La Famiglia’. Koleksi ini hadir sebagai pengenalan rasmi kepada era baharu Gucci di bawah arahan kreatif Demna, pereka yang selama sedekad berada di Balenciaga. Kini, telah membentuk definisi baharu tentang bagaimana kemewahan boleh dipakai dan diraikan. Dari siluet yang diperbesar ke tahap dramatik, gabungan budaya pop dengan haute couture, hinggalah interaksi segar dengan himpunan busana mewah, Demna telah membuktikan bahawa fesyen ke arah lebih tinggi sambil mengekalkan identitinya. La Famiglia lantas menyalurkan DNA tersebut dengan elemen ekstravaganza yang seksi, berani dan glamor, menyuntik sentuhan sofistikasi yang menandakan landasan untuk perjalanan Gucci seterusnya.

Gucci La Famiglia: Legasi, Gaya & Naratif Baharu Oleh Demna

Koleksi ini digarap sebagai sebuah kajian tentang “Gucciness”, suatu bahasa estetik yang memancarkan karisma keluarga besar Gucci. Potret karakter imajinatif mengisi helaian lookbook, daripada sosok Miss Aperitivo memadukan gaun mini labuci perak yang hanya ingin berseronok, hinggalah Primadonna glamor dalam kaftan bercetak monogram dengan trim bulu dan tas kristal berhias logo “GG”. Terselit juga figur Sciura moden, wanita matang yang anggun lagi effortless, lengkap dalam mantel merah vintaj bersama versi baharu tas Bamboo hasil tafsiran Demna. Ada pula sapaan kepada era Tom Ford di Gucci seperti skirt mini material kulit buaya hitam, turtleneck dan but paras lutut yang penuh sensualiti serta bentuk siluet ikonik Demna seperti kot biru kaya dengan bahu berlapis bulu atau gaun flora yang beralun dramatik yang tampil dihimpunkan ke dalam koleksi secara harmoni.

See also
Koleksi Balenciaga Fall 25 Menyingkap Sisi Estetika Fesyen Yang Berani

Namun, di sebalik flamboyan dan keterujaan visual, La Famiglia bukan sekadar permainan citra. Ia adalah refleksi halus tentang akar Gucci yang sentiasa menyeimbangkan warisan dengan keseronokan. Demna memasukkan nada cheekiness yang membuatkan kemewahan terasa ringan, tetapi tetap menjaga keanggunan yang terperinci. Di sinilah letaknya keistimewaan koleksi ini yang mana, keupayaan untuk memikat kelompok pelanggan yang luas, daripada La Contessa hingga Principessa, tanpa mengorbankan karakter mewah yang menjadi asas rumah fesyen ini sejak awal.

Akhirnya, La Famiglia menjadi bukan sahaja sebuah koleksi see-now-buy-now yang bakal tersedia di butik global Gucci mulai 25 September, tetapi juga sebuah manifesto tentang masa depan rumah fesyen ini. Demna mengingatkan kita bahawa kemewahan tidak semestinya kaku atau serius, ia juga boleh menghiburkan, mengundang senyuman serta merangkul pelbagai persona dalam satu naratif besar. Dan di tengah-tengah naratif itu, Gucci kembali menegaskan identitinya sebagai rumah fesyen yang berakar pada klasik, tetapi sentiasa berani mencipta semula, membina keluarga fesyen yang kontemporari dan terus berkembang untuk generasi seterusnya.

See also
Gucci Orgasmique

Artikel berkaitan: Gucci & Warisan Horsebit: Ikon Yang Sentiasa Hidup

Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.