Barang Kemas Tiffany & Co. Hiasi Filem Frankenstein - Glam Malaysia

Barang Kemas Tiffany & Co. Hiasi Filem Frankenstein

Tiffany & Co. dengan bangganya mengumumkan kolaborasi istimewa bersama Netflix, menandakan gabungan dunia barang perhiasan mewah dan sinema.

Dalam kerjasama ini, Tiffany & Co. akan tampil dalam filem Frankenstein arahan pengarah pemenang Oscar, Guillermo del Toro yang dibintangi oleh Oscar Isaac, Jacob Elordi, Mia Goth dan Christoph Waltz. Filem ini merupakan adaptasi moden daripada karya klasik Mary Shelley dan telah ditayangkan buat pertama kali di Festival Filem Venice. Tayangan di pawagam terpilih akan bermula pada 17 Oktober, manakala tayangan global di Netflix dijadualkan pada 7 November.

Tiffany & Co. hiasi filem Frankenstein

FRANKENSTEIN. Mia Goth as Elizabeth in Frankenstein. Cr. Ken Woroner/Netflix © 2025.

Kolaborasi ini menjadikan Tiffany & Co. sebagai jenama barang perhiasan mewah pertama yang bekerjasama dengan Netflix. Ia menggambarkan semangat inovatif rumah fesyen ikonik itu yang sering menggabungkan keindahan seni kraf dengan dunia penceritaan visual. Tiffany & Co. sememangnya tidak asing dengan dunia perfileman dimana sejak dahulu lagi, jenama ini sering muncul dalam detik-detik istimewa di Hollywood.

See also
Van Gogh & Da Vinci Mengambil Alih Louis Vuitton

Menariknya, Tiffany & Co. turut menerbitkan video eksklusif berdurasi lima minit yang memperlihatkan rakaman di sebalik tabir pembikinan filem Frankenstein. Video ini menampilkan pengarah Guillermo del Toro, pereka kostum Kate Hawley, pelakon Mia Goth, serta wakil Tiffany & Co., Christopher Young. Dalam video tersebut, mereka berkongsi bagaimana koleksi barang perhiasan dan objek bersejarah dari arkib Tiffany & Co. digunakan bagi menghidupkan elemen visual dan suasana era dalam filem tersebut.

Bagi meraikan tayangan perdana filem ini, Tiffany & Co. juga akan mempersembahkan pameran tingkap khas (window display) di butik utama mereka di The Landmark, Fifth Avenue, New York. Direka bersama Guillermo del Toro, pameran ini akan menampilkan lima tingkap utama yang memaparkan babak-babak penting dari filem Frankenstein dengan sentuhan artistik khas Tiffany & Co. Setiap paparan diserikan dengan pencahayaan dramatik, paparan digital serta muzik asal filem oleh Alexandre Desplat, pemenang Anugerah Oscar.

Selain itu, pengunjung boleh mengimbas kod QR di tingkap pameran untuk melihat kandungan eksklusif di sebalik tabir. Di dalam butik pula, pengunjung akan dapat melihat koleksi barang perhiasan sebenar dari Tiffany Archives yang dipakai oleh Mia Goth dalam filem tersebut.

See also
Kempen Fossil Firsts Bersama Ji Chang Wook

Selain itu, kerjasama Tiffany & Co. dan Netflix ini diteruskan di pameran khas bertajuk “Frankenstein: Crafting A Tale Eternal” di The Old Selfridges Hotel, London. Pameran ini membolehkan pengunjung menyelami proses kreatif Guillermo del Toro melalui kostum asal rekaan Kate Hawley, objek bersejarah Tiffany & Co., karya seni dan buku-buku klasik yang memberi penghormatan kepada warisan Mary Shelley.

Paparan tingkap bertemakan Frankenstein ini boleh dilihat di The Landmark bermula 8 Oktober hingga 3 November, manakala pameran di London akan berlangsung dari 17 Oktober hingga 9 November. Untuk makluman, filem Frankenstein ini akan ditayangkan di pawagam terpilih pada 17 Oktober dan secara global di Netflix pada 7 November 2025.

Artikel Berkaitan: Tiffany & Co. Bawa Ikon Bird on a Rock Dalam Gaya Berani

Maya Kusuma merupakan penulis di GLAM Malaysia. Penulisannya menjelajah dunia gaya hidup moden dan mewah, berkongsi kisah personaliti terkenal serta menyentuh aspek fesyen dan kecantikan.