Jung Kook Kembali Mempersonakan Dunia Fesyen Bersama Calvin Klein - Glam Malaysia

Jung Kook Kembali Mempersonakan Dunia Fesyen Bersama Calvin Klein

Kempen denim terbaharu Calvin Klein menampilkan Jung Kook dengan aura baharu yang meraikan gabungan gaya urban, keyakinan dan pesona global dalam sentuhan moden yang berani.

Calvin Klein kembali mencipta detik ikonik dengan pelancaran kempen denim terbaharunya yang menampilkan Jung Kook dari kumpulan fenomena global BTS. Kempen ini menandakan penyatuan semula dua kuasa besar dalam dunia fesyen dan budaya pop, menonjolkan gaya penuh keyakinan serta karisma yang menjadikan Jung Kook simbol generasi masa kini. Dirakam oleh jurugambar tersohor Mert Alas, visual kempen ini menampilkan sisi baharu artis kelahiran Korea Selatan itu yang tampil dengan pesona tenang namun berkuasa di tengah-tengah latar bandar New York yang penuh karakter.

Gaya Jung Kook, Semangat Calvin Klein

Video kempen ini menghidupkan semangat kebebasan dan pergerakan, diserikan dengan irama rancak “Block Rockin’ Beats” daripada The Chemical Brothers. Jung Kook dilihat menakluki kota dengan gaya penuh yakin, mengenakan koleksi denim terkini Calvin Klein yang menggabungkan elemen klasik dan kontemporari. Setiap helaian menyerlahkan ketelitian rekaan dan keanggunan tersendiri, daripada padanan denim penuh sehingga jaket kulit dengan kemasan bulu lembut yang memberi sentuhan mewah pada gaya urban. Energi visual dan muzik bersatu mencipta naratif yang menegaskan hubungan antara kekuatan diri dan ekspresi gaya.

See also
Dreaming Is Here

Dalam kenyataannya, Jung Kook mengakui keterujaannya untuk kembali bersama jenama yang menjadi sebahagian daripada perjalanan fesyennya. Beliau menyifatkan suasana di set penggambaran Calvin Klein sentiasa mengujakan serta menginspirasikan, menjadikan pengalaman ini satu momen yang dinantikan peminat di seluruh dunia. Kempen ini bukan sekadar memperlihatkan penampilan baharu, tetapi juga merakam semangat individu yang berani bereksperimen dan terus berkembang dengan gaya tersendiri.

Koleksi denim Calvin Klein musim ini mengangkat semula estetika santai era 90-an dengan pendekatan moden yang lebih segar. Corak CK Emblem baharu menafsir semula monogram ikonik jenama ini ke dalam rekaan bercetak menyeluruh pada jaket dan seluar, menambah elemen grafik yang menarik. Reka bentuk Darted Carpenter Jean dengan jahitan kontras memberi siluet utilitarian yang berpadu sempurna bersama Darted Workwear Jacket, manakala Barrel Jean tampil dengan potongan longgar dan pinggang rendah untuk gaya kasual yang selesa. Pilihan klasik seperti 90s Straight Jean pula diperbaharui dengan cucian vintaj dan gelap yang mudah digayakan untuk pelbagai suasana.

See also
Lima Wanita ‘ORIGINAL’ & Ragam Karakter Merai Hari Wanita Antarabangsa Bersama Calvin Klein

Kempen ini dilancarkan secara rasmi pada 28 Oktober dan akan terus diperkenalkan melalui saluran media sosial rasmi Calvin Klein sepanjang minggu, membawa penonton menghayati dunia Calvin Klein yang berani, moden dan penuh keyakinan melalui pesona Jung Kook yang tidak pernah pudar.

Artikel berkaitan: Stail Raya Bersama Ceraian Cool Calvin Klein

Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.