Jenna Ortega Mencuri Tumpuan Memadukan Busana ‘Shedding Skin’
Aktres Jenna Ortega tampil memukau memadukan busana couture ‘Shedding Skin’ dari Ashi Studi di tayangan perdana drama bersiri ‘Wednesday’ untuk musim yang kedua.
Tiga tahun selepas debut fenomenal siri drama ‘Wednesday’, aktres Jenna Ortega kembali menghiasi karpet merah namun kali ini untuk musim kedua siri popular Netflix itu. Terkenal dengan imej gelap, misteri dan eksentrik, Jenna Ortega terus memperkukuh naratif itu, namun dengan pendekatan yang lebih matang dan mempersonakan. Di acara perdana di London, bintang ‘Wednesday’ itu tampil dalam busana couture yang bukan hanya mencuri tumpuan, tetapi turut memancarkan aura menawan di dalam busana ‘shedding skin’ dalam bentuk paling artistik dan bergaya.

Wednesday Kembali, Gaya Jenna Ortega Menyuntik Aura Gerun Namun Memukau
Dress ‘shedding skin’ dari koleksi Ashi Studio Fall 2025 menjadikan pilihan Jenna Ortega yang bukan sekadar busana, namun bagaikan manifestasi visual evolusi dirinya dan watak ‘Wednesday’. Diperbuat daripada lateks rona kuning pucat dengan cetakan menyerupai kulit reptilia, rekaan itu menampilkan korset ketat dengan potongan leher tinggi serta skirt separa lut sinar yang menjuntai dramatik. Teknik distress pada labuhan dan kemasan ‘frayed’ menambahkan elemen sinematik, seolah-olah si pemakai sedang melalui metamorfosis yang anggun namun menggerunkan. Siluet pinggul berstruktur membawa esen berani dan anggun, manakala padanan alis peluntur dan gincu merah kusam melengkapkan penampilan yang creepy yet couture.

Bekerjasama rapat dengan penggaya setia, Enrique Melendez, Ortega menunjukkan kesungguhan dalam menyatukan estetika peribadi dan watak yang telah mendefinisikan kerjayanya. Jika pada musim pertama dahulu dia mengangkat method dressing sebagai bentuk penghormatan kepada watak Wednesday Addams, musim ini memperlihatkan sisi Ortega yang lebih bebas, namun masih dalam jalur estetik yang sama. Gaya gotik tidak ditinggalkan, cuma kini lebih bereksperimen dan membumi. Bahkan, Jenna Ortega mengakui bahawa peranannya dalam ‘Wednesday’ mempengaruhi cita rasanya secara mendalam, lantas menjadikan stail gothic itu sebagai satu kebiasaan dalam penampilan hariannya.

Penampilan Jenna Ortega di acara perdana bukan sekadar menandakan kembalinya watak Wednesday ke layar, tetapi turut mencerminkan evolusi gaya peribadinya yang semakin simbolik dan introspektif. Tidak sabar rasanya menantikan deretan busana dramatik lain yang bakal dipersembahkan sepanjang promosi musim terbaru ini. Ini kerana fesyen adalah medium ekspresi diri paling autentik dan dalam kes Jenna Ortega, ia sememangnya hauntingly beautiful.
Artikel berkaitan: Jenna Ortega Serlah Dalam Persalinan Markgong SS25
Syahirah Hussain
Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.

