GLAM Mendekati Barisan Pereka Fesyen Generasi Kreatif Kini
Masyadi Mansoor

1. Apakah detik pertama dalam hidup yang membuatkan anda sedar bahawa fesyen menjadi matlamat dan kerjaya yang dipilih?
Ketika menghasilkan jaket pertama pada semester kedua di era universiti, saya langsung tidak memiliki pengetahuan teknikal. Namun, perasaan teruja yang hadir begitu luar biasa. Melihat rekaan itu terbentuk di depan mata membuatkan saya semakin bersemangat untuk mendalami dunia fesyen, dan saat itulah saya sedar inilah jalan yang ingin saya teruskan.
2. Apakah kekuatan buat identiti jenama yang cukup anda banggakan?
Kekuatan utama jenama saya terletak pada keberanian bereksperimen dengan siluet, bermain dengan bentuk dan struktur dalam menghasilkan rekaan yang segar serta tidak dijangka. Pada masa yang sama, saya menggabungkan sentuhan avant-garde streetwear dengan penceritaan yang kuat sehingga terbentuk identiti yang benar-benar membanggakan.

3. Sebagai seorang pereka fesyen generasi kini, apa perkara paling ingin anda cabar dalam naratif industri hari ini?
Hari ini ramai masih melihat fesyen dari satu sudut seolah-olah semuanya harus kelihatan sama atau mengikut aturan tertentu. Saya ingin mencabar cara fikir itu dan menunjukkan bahawa fesyen boleh bersifat terbuka, inklusif dan tanpa batas.

4. Siapakah muse atau ikon yang anda impikan untuk memakai rekaan dan mengapa?
Saya mengimpikan figura seperti Billie Eilish menggayakan rekaan saya kerana penyanyi ini melambangkan keaslian dan tidak gentar mengekspresikan diri melalui siluet berani, sesuatu yang begitu seiring dengan falsafah jenama saya. Namun pada akhirnya, setiap orang adalah muse saya kerana MSYD dicipta untuk semua.
5. Fesyen adalah …
Fesyen adalah bahasa tanpa kata, satu bentuk komunikasi yang membolehkan saya berhubung dengan orang lain dan pada masa yang sama, ia memberi ruang untuk mereka menyelami cerita yang saya sampaikan melalui setiap rekaan.

Syahirah Hussain
Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.

