Fashion Youthquake
Pasaran mewah kini dilanda satu fenomena baru, golongan muda lebih banyak berbelanja berbanding kelompok yang sudah meningkat usia. Maka, tidak salah meletakkan barisan wanita muda sebagai wajah eksklusif buat semua jenama fesyen kerana itu adalah fokus utama mereka.
Gambar: TPGVIP
Ketika sedang berbaris untuk check-in di kaunter Lapangan Terbang Malpensa, Milan, ada dua orang gadis berusia lingkungan awal 20-an turut sedang sabar menanti giliran mereka. Masing-masing mempunyai dua bagasi Louis Vuitton dan beg Goyard elok terletak di bahu. Dari bawah hingga ke topi yang disarung berjenama mahal. Sneakers Gucci, gelang Juste Un Clou berlapis di pergelangan tangan dan topi Kenzo melengkapkan gaya mereka. Dua anak muda berambut perang ini adalah kelompok baru dalam kuasa membeli. Orang berusia lewat 30-an yang sudah bekerjaya bukanlah fokus utama dunia pasaran mewah kerana tumpuan sekarang adalah buat golongan muda remaja yang dambakan barang berjenama mewah dari Alexander Wang hingga ke Zac Posen.
Percaya atau tidak, satu kajian terbaru oleh Harris Poll YouthPulse yang dilakukan pada tahun 2012 menyaksikan pasaran buat golongan muda sekarang bernilai AS$211 bilion. Bukan sahaja tertumpu pada pasaran dunia teknologi yang mahukan the latest smartphone, mereka dambakan ceraian terbaik daripada jenama terkemuka dunia. Perlu tahu yang 40% daripada pendapatan mereka digunakan untuk membeli ceraian baru agar lengkap gerobok fesyen mereka. Dan, mereka yang masih tidak punya kerjaya terus bergantung pada ibu bapa yang juga punya kemampuan untuk berbelanja. Situasi ini terjadi dek kerana pandangan dan pemikiran golongan muda ini lebih segar dan memberi kesan yang paling penting buat orang dewasa.
Orang fesyen yang bijak mengambil peluang juga tahu, untuk mencari the next in things bukan sahaja di permaidani merah. Kadangkala yang terhangat datangnya dari kelas sekolah, melihat anak muda remaja pandai dan berani mencuba sesuatu yang berlainan. Dan, dek kerana pengaruh rakan sebaya juga menjadikan fenomena ini sebagai satu habit yang agak mengejutkan. Tumpuan mereka adalah untuk mendapatkan beg berjenama, lagi bagus jika berlogo.
Selain itu, negara China turut menjadi satu nadi penting buat pasaran mewah. Orang muda di sana adalah antara penyumbang utama dalam keuntungan jenama mewah. Setiap bulan, ada sahaja butik baru dibuka bagi memuaskan permintaan mereka. Pasaran mewah di China dimonopoli oleh orang muda dan mereka ini sudah punya satu aliran baru tidak lagi berfikiran tradisional seperti generasi China yang terdahulu. Malah situasi ini disokong oleh Francois-Henri Pinault, Ketua Pegawai Eksekutif buat Kering yang melihat pasaran mewah bukan lagi di Eropah tetapi dimonopoli oleh Tanah Besar China.