Anna Jobling: Face of Beauty

Anna Jobling: Face of Beauty

Syukur dengan kejelitaan yang dianugerahkan namun, Anna Jobling mahu diangkat sebagai selebriti yang punya bakat lakonan bermutu.

Ketika kisah ini ditulis, pelakon cantik berketurunan Melayu-Inggeris ini sedang menjalani penggambaran di Bali, Indonesia. Sebulan lamanya dia di sana. Baru menginjak usia 23 tahun, peluang mengejar impiannya terbentang luas. Seandai kerjaya seni lakonan di Indonesia mula meluas dan dia perlu pindah atau berulang alik di antara Jakarta dan Kuala Lumpur? Anna Jobling berwajah ceria menjawab — “Kenapa tidak?”

Malah dia mahu mengembangkan bakat seni berlakon lebih jauh. Dia ikut bangga anak Malaysia seperti Tan Sri Michelle Yeoh mampu bersaing di Hollywood dan meraih anugerah Oscar. Anna percaya impiannya juga mampu direalisasikannya pada suatu hari nanti. Buat masa ini biarlah dia menawan Asia terlebih dahulu. Drama Melur Untuk Firdaus melonjak namanya sehingga menerima undangan promosi di Indonesia juga. Masakan tidak apabila syarikat analitik Nielsen berkongsi drama itu mendapat 823 juta tumpuan, digabung semua platform media sosial. Sejak itu

Anna mendapat perhatian banyak produksi tempatan termasuk dari Indonesia. “Perubahan hidup bertukar 180 darjah. Saya perlu sesuaikan diri. Kalau dahulu tidak kisah keluar selekeh tanpa solekan tetapi sejak itu saya perlu lebih jaga penampilan. Paling tidak perlu kelihatan lebih rapi,” terang Anna. Semakin dikenali, semakin hilang kehidupan privasinya. Namun Anna menerimanya dengan lebih terbuka. Sebuah pengorbanan yang perlu dia lalui bergelar pelakon adalah dikenali ramai. Seramai mana peminat menghargai kita, ada juga suara-suara yang mula berbunyi.

MELETAKKAN NILAI BAKAT LEBIH TINGGI

Anna Jobling

pengarah kreatf AIZAT AIDID pengarah seni AMIRUL ARIFIN dibantu oleh HILMAN HISHAM pengarang fesyen JOHAN KASIM gambar CHEE WEI solekan ADAM DE CRUZ menggunakan ARMANI BEAUTY dandanan JUNO KO teks  MARINI MAT ZAIN

 

Komen berbaur negatif mulai memakan diri. Terkadang orang bagaikan tidak sedar, pelakonjuga punya perasaan. “Ada suara memandang enteng bakat saya. Mereka lebih percaya saya terpilih sebagai pelakon kerana rupa paras dan bukan kerana bakat. Terkadang suara itu sedikit sebanyak mempengaruhi emosi saya.”

See also
Fashionista Paris Menentang Kuasa Alam Dengan Pilihan Fesyen mereka

Persoalan sering bermain di fikiran—Adakah aku layak masuk di dalam industri seni lakonan? Adakah aku layak? Kenapa aku? Namun, akhirnya Anna yakin dia juga berkebolehan. Dia layak bergelar sebagai pelakon berbakat.

Setiap kali dia dinilai cantik kerana kelebihan sebagai anak berdarah campur. Apa salahnya dia dianugerahkan rupa paras cantik. “Kita tidak boleh memilih untuk lahir sebagai siapa. Saya tidak akan menafikan lagi wajah saya berbeza kerana saya anak Melayu campuran Inggeris. Itu adalah rezeki anugerah Ilahi. Saya hargainya dan guna kelebihan itu,” ujar Anna yang tersenarai sebagai 100 wanita tercantik dunia dalam carta TC Candler pada tahun 2022.

Cantik hujung rambut sehingga hujung kaki, apabila diberitahu pengarang, Anna Jobling adalah muka depan majalah GLAM isu kecantikan, memang tepat sekali. Anna memulakan kerjaya sebagai seorang model seawal lima belas tahun, pernah juga menyertai pertandingan ratu cantik. Mula beraksi di hadapan kamera selepas bergelar model iklan. Namun gadis berkulit mulus ini bukan semata-mata bergantung kepada paras rupa. Dia sehabis baik berusaha hadir sebagai pelakon berkualiti. “Pada asalnya saya kurang fasih berbahasa Melayu, dan saya ambil peluang untuk terus mengasah bahasa ini.”

“Bukan tidak tahu langsung berbahasa Melayu. Saya cuma mahu kedengaran lebih lancar. Penting kerana tidak menyusahkan pelakon lain termasuk mereka di balik tabir terutama pengarah. Kini saya sudah tidak punya masalah itu,” ujar Anna tersenyum bangga. Langkah seterusnya adalah meningkatkan kualiti lakonan.

Anna suka bersolek sejak kecil. Dia malah gemar bermain alat solek ibunya. Meningkat remaja dia belajar bersolek menerusi tutorial di YouTube. Sekarang dia banyak disolek Oleh jurusolek terbaik tanah air. “Ada bahayanya juga,” Anna ketawa lucu. Setiap kali jumpa mekap artis, Anna diperkenalkan dengan produk solekan terkini. Bahayanya dia akan pergi cari dan langsung beli. Telah banyak alat solek dikumpulnya.

Anna Jobling

Solekan asas bagi Anna adalah memakai pengilat bibir, maskara dan pemerah pipi. “Paling wajib saya bawa ke mana-mana adalah gincu kerana ia boleh dijadikan pemerah Pipi.” Bagi penjagaan kulit wajah pula dia nasihatkan wanita untuk mencuci wajah menggunakan balm atau minyak. Boleh juga dicampurkan kedua-duanya sekali. Walaupun penat, cucian wajah dua kali ini dilakukan. Selepas itu wajib dia mengoles manja wajah dengan sapuan toner, esen, serum, pelembap, krim mata, face oil dan lip balm. Wajah lebih segar ketika di rumah adalah segala-galanya. Terutama selepas bekerja di lokasi dengan solekan tebal.

See also
Do's & Don'ts Untuk Tampil Lebih Bergaya Pada Tahun Baru Cina

“Pelembap paling wajib pakai setiap hari. Saya rawat sendiri wajah di rumah. Saya suka clay mask yang langsung melekat di wajah. Jadi, saya boleh melakukan aktiviti lain ketika menunggu clay mask kering,” sambung Anna lagi.

Bagi penjagaan rambut, Anna berhati-hati dengan rambutnya yang nipis. Dia tidak pernah warnakan rambutnya. Sebelum membenarkan rambutnya didandan, dia memastikan memakai minyak rambut. Bimbang alat pemanas membuatkan rambut cepat rosak. Selepas dicuci dia akan mengenakan hair mask dan pelembap.

Dari segi penampilan, Anna lebih mementingkan keselesaan. Dia seorang yang ringkas bergaya. Apa sahaja pakaian berona asas seperti hitam dan putih. Asalkan selesa dipakai. Anna suka membeli-belah sendiri dan Pinterest adalah rujukannya. Dia pengumpul kasut dan gemar menyarung sneakers. Melengkapkan gaya, Anna akan mengenakan haruman warm smoky vanilla atau bau bunga tuberose. “Saya gemar bereksperimen dengan mencampur semburan wangian.” Penjagaan dalaman diri pula Anna ada mengambil makanan tambahan, kolagen, ginseng dan vitamin. Setiap kali mendapat tawaran menjadi duta, dia lebih suka mencubanya dahulu. Seandainya produk ternyata baik, barulah dia memberi persetujuan.

Bertanyakan tentang tubuhnya yang ramping, Anna bertuah kerana menurutnya dia tidak berdiet. Namun, dia melakukan senaman di gim bersama jurulatih peribadi. Kerjayanya membuat Anna perlu jaga penampilan diri. Jadi dia perlu rajin menjaga fizikal dirinya. “Tubuh adalah rumah kita. Kalau tak dijaga dengan baik, apa jadi dengan rumah kita? Jadi kita perlu hormat tubuh sendiri.”

See also
Paris Fashion Week SS19: Penampilan Istimewa Selebriti-Selebriti Ternama

FOKUS MENGEMBANGKAN KERJAYA KE ASIA

Anna Jobling

Sebulan penggambaran di Bali, pulang ke Malaysia kelak sudah ada kerja menunggu. Dia akan langsung sambung penggambaran dengan kumpulan produksi di Malaysia pula. Bagi Anna, cuti adalah apabila dia rehat dari bekerja. “Saya tak ingat bila kali akhir saya berehat. Cuti bagi saya adalah tidur di rumah. Selain menghabiskan waktu dengan keluarga dan kucing. Saya sudah jarang bersama kawan-kawan, namun mereka memahami kesibukan saya. Cuti saya banyak di rumah sahaja,” ujarnya ringkas.

Kami sempat mengintai pendapat peribadinya untuk mencari lelaki pilihan. Menurut Anna, lelaki idamannya mestilah lembut percakapan, merendah diri, lucu, hormati orang lain dan seseorang yang boleh mempertikaikan apa-apa sahaja saat bertemu tetapi masih menghormatinya juga. “Anna mencari pasangan hidup yang matang, bermoral tinggi juga mempunyai matlamat hidup. Tetapi sekarang misi saya adalah mengembangkan kerjaya menjadi pelakon yang lebih baik. Soal hati sudah berpunya saya ketepikan.”

Seandai diberi pilihan antara kerjaya model dan berlakon, dia lebih puas dengan dunia lakonan. Penat itu sudah pasti namun melihat hasilnya, Anna lebih puas. Selain memburu kejayaan di luar negara, dia punya perancangan masa depan tersendiri. Mungkin Anna akan terlibat dengan dunia perniagaan. Begitupun dia tidak lanjut merancang. “Mungkin saya terlibat dengan produksi, mungkin juga perniagaan fesyen atau kecantikan. Mungkin boleh saya kongsikan pada masa akan datang?” ujarnya ketawa.

Buat masa ini Anna lebih senang menikmati apa berlaku sekarang. Masih mahu menggapai apa diimpikan dan apa yang belum tercapai pada ketika ini. Sebelum mengakhiri sesi temubual, Anna berpesan kepada pembaca untuk jaga diri dan kekal hidrasi. Menurut Anna, kecantikan bukan sahaja hanya luaran tetapi bermula dari dalam hati. “Apa yang keluar dari mulut anda adalah refleksi diri. Sebagai wanita, kita perlu tahu membawa diri. Kekalkan sempadan hidup dalam menampilkan diri sendiri. Belajarlah untuk menerima dan mencintai diri sendiri,” ujarnya menoktah wawancara.