Retorik - Ketagih Viral Wujudkan Minda Picisan - Glam Malaysia

Retorik – Ketagih Viral Wujudkan Minda Picisan

Di zaman moden ini, secara resamnya kita pasti ada suatu tanggapan yang berasakan masyarakat juga akan sama maju pemikirannya setaraf dengan teknologi. Bila sudah terlalu maju, mestilah rakyat juga otak tahap intelektual. Namun tatkala menganalisis secara rambang, sangkaan ini nyata agak meleset atau tidak relevan sama sekali. Sebelum kita mendabik dada kata kita kaum bijaksana, buka telefon pintar masing-masing, scroll dan saksikan sendiri kebodohan masyarakat kita pasca moden. Entah mengapa orang kita memang ketagih pada isu viral berbanding topik ilmiah.

Apakah sudah sebati dengan darah daging orang Melayu yang sinonim dengan tabiat mengumpat, cuma bezanya kini bukan lagi digelar geng tingkap tetapi kini terma ‘membawang’ pula muncul di dada-dada laman sosial. Banggakah kita dengan kerja trolling, memporak-perandakan hidup orang lain yang tidak kita kenali? Kemudian buat kesimpulan sendiri yang tidak menguntungkan malah mencipta fitnah berantai. Apabila siang malam pagi petang disua dengan perkara yang pointless dan tiada faedah, tanpa sedar secara tidak langsung kita mulai menerima segala macam topik dangkal dan ketawa pada lawak bodoh yang tiada hujung atau pangkalnya. Dan kita mampu mengaku diri bagus, walhalnya buku pun tidak pernah bersentuh cuma sibukkan baca headline sebaris pada status blog-blog viral dan hiburan.

See also
3 Kempen Fesyen Musim Bunga 2023 Wajib Anda Kenali

Itulah bahan ilmiah yang ditelan setiap hari. Bayangkan pula bagaimana generasi selepas kita mahu menghadam informasi apabila ibu bapa sendiri memiliki mindset sekian rupa. Sudah berapa banyak kes di Malaysia apabila hal rumah tangga nobody, dipaparkan secara umum di media sosial – dari gambar yang kurang manis sampailah ke mesej-mesej peribadi yang memualkan. Tidak perlu saya sebut nama sebab kita semua pasti sudah sedia maklum. Walau kita tidak mahu ambil tahu, walau sudah banyak kali tekan butang hide, berita-berita tiada nilai itu pasti lalu di timeline. Secara tidak semena, kita semua kenal siapa isteri, siapa suami dan apa masalah dalam kain mereka.

Almaklum bila sudah kontroversi, pihak yang dianiaya menjadi terlalu popular sehingga kisahnya dibincangkan seolah-olah ia masalah negara. Saya amat pelik dengan tabiat sebilangan besar rakyat Malaysia yang ambil hati dengan masalah orang lain dan sungguh emosi walau ia tiada kena mengena pun dengan mereka. Penyakit apakah ini? Bila tuan punya badan mula kumpul sympathisers maka naiklah bilangan pengikut di Instagram. Contoh paling lazim bila status isteri bertukar janda. Mula ligat atur permainan di media sosial. Jual produk, buat status-status provokasi yang mencetus kasihan serta publisiti murahan.

See also
Datin X: Risau Anak Perempuan Tak Laku-Laku

Selepas itu mulalah ada program televisyen dan stesen radio undang jadi tetamu, mahu berbincang hal remeh seperti ribut rumah tangga yang sudah bertahun lama selesai. Umur masih hijau, sudah diberi tiket untuk beri nasihat keluarga bahagia dan masyarakat kebanyakan pun ambil iktibar seolah-olah mereka semua itu tidak tahu apa. Mengapa orang kita mudah benar disogok dengan perkara yang tiada manfaat?

Di sebaliknya pula, situasi inilah yang mencetus rezeki yang mengalir tanpa henti. Memandangkan warga net mudah termakan dan percaya pada golongan Instafamous ini, maka ramailah pemilik produk sanggup membayar upah pada mereka agar membuat review terhadap barangan yang dijual. Putaran transaksi jual beli ternyata mudah tanpa perlu ada sewa lot kedai atau bayar iklan di papan-papan tanda. Mungkin kerana pengaruh hebat influencer membuatkan orang kita tidak lagi ambil kira isu keselamatan atau kredibiliti.

Pernyataan di media sosial tidak disokong dengan kelulusan badan bertanggungjawab. Jual suplemen untuk kulit putih, tetapi adakah anda benar-benar percaya yang empunya produk tidak berkunjung ke klinik kulit saban bulan untuk suntikan? Jual bengkung dengan menjual idea yang badan akan bertukar rupa bak kerengga ala Kardashian dalam masa beberapa bulan, padahalnya tukang jual bengkung sendiri ke klinik estetik untuk kikis badan atau lebih ekstrem, rib removal. Bunyinya mengerikan, namun percayalah yang ramai orang mampu buat kerja gila untuk memenuhi acuan cantik semasa.

See also
Megxit: USA Tidak Akan Bayar, They Must Pay!

Bila membuat kemunculan semua, testimoni kononnya datang dari produk yang diguna, pakai, makan atau minum. Sekali lagi saya ingin mempersoal tahap pemikiran sesetengah manusia. Dangkal sangatkah umum sampai sanggup termakan dengan bual kosong kaki viral? Inilah realiti warga net di Malaysia. Tinggi engagement dan ramainya pengikut bukan kerana kualiti tetapi separuh dari itu cuma busy body dan suku dari itu pula membenci. Trend sebegini menyuburkan sifat negatif dalam diri – riak, iri, dengki – yang kesemuanya memakan diri. Internet itu suatu gelanggang yang menyalurkan informasi, lalu gunalah dengan sebaiknya untuk mengembangkan minda.

SUZIE ADNAN MEMBERI ULASAN MENGENAI SENARIO WARGA NET YANG BAKAL MENCETUS SEBUAH GENERASI BERMINDA KECIL.