Datin X: Masam Manis Berkongsi Sugar Daddy

Datin X, Popular

Datin X: Masam Manis Berkongsi Sugar Daddy

1136

Cerita kali ini lain sikit. Pernahkah dengar kisah berkongsi kasih dengan ‘sugar daddy’? Ahh… zaman sekarang apa pun boleh jadi. Semuanya pasal duit. Perempuan yang muda sekarang malas bekerja, tahu nak melawa, tak mahu kerja penat-penat cari duit, semuanya mahu disediakan di depan mata. Formula untuk dapat apa yang dimahukan mudah sahaja – goda lelaki kaya. Ceburi bidang glamor jadi model atau pelakon, automatik saham naik kerja-kerja menyambar ‘ikan paus’ akan jadi lebih senang.

Ideologi perempuan sekarang adalah tidak mahu rasa susah, semuanya mahu instant. Lelaki muda juga lebih kurang begitu perangainya malas bekerja teruk badan sakit-sakit, duduk di rumah sahaja makan dan tidur, ada juga sanggup jadi kaki pengikis, ditangkapnya perempuan kaya, tabur mulut manis dikikisnya harta. Manakala yang muda sudah ada pangkat dan kekayaan selalu jadi anak yang spoil, tahunya berjoli perempuan keliling pinggang. Itulah dunia…

Bertemu dengan Maisara salah seorang temanku yang begitu sukses berniaga secara online barangan kecantikan, sudah mencecah dua tahun juga lamanya, semakin ligat ke sana ke mari, maklumlah seronok cari duit sendiri. Mula-mula hanya kecil-kecilan dan kini dia sudah buka salun kecantikan sendiri. Malah pelanggannya bukan calang-calang orang.

Di suatu petang yang indah, Maisara mahu bertemu aku di Concorde, kebetulan katanya mahu pass barang customer, kebetulan hari itu aku memang free, jadi mengapa tidak bertemu dengannya, sudah tentu ada cerita menarik untuk diceritakan. “Aku lapar betul hari ini, apa yang sedap makan?” kata Maisara sambil menyelak menu, menatap satu persatu senarai menu. Waiter setia memegang pen menunggu, menulis apa yang mahu dipesan. “Bagi saya mi goreng mamak, air asam boi,” kata Maisara sambil menutup menu. Aku yang mendengar terus mencebik. “What? Mi goreng mamak? Come on makan di Concorde tapi order mi goreng mamak, baik makan di kedai mamak saja,” kataku menjeling ke arah waiter yang melemparkan senyuman sinis. “Oh ya, bagi saya bubur nasi yang ini, tengok dalam ini macam tempting sangat,” kataku sambil meneguk air liur. “Kau pandai kata aku, kalau setakat bubur nasi, baik pergi makan di Kampung Baru ada banyak.” Giliran Maisara memerli aku pula.

“Kau tunggu sekejap, aku nak jumpa customer, dia dah sampai di depan lobi, aku pass set facial treatment dengan eyeshadow dari Dubai ni,” kata Maisara bergegas mengeluarkan berkotak-kotak barang dari beg tote Pradanya dan aku sempat juga melihat barang yang menjadi best seller itu. Lebih kurang 15 minit hidangan yang dipesan sampai. Muncul pula Maisara tetapi entah kenapa mukanya ketat. “What’s up? Are you okay?” tanyaku sambil mencungkil kuning telur asin, tabur cili padi ke dalam bubur.

“Ini yang aku malas berdepan dengan customer macam ini. Cantik, muda, drive kereta Fair Lady tetapi beli barang aku yang harga murah pun minta diskaun. Kalau 10 pelanggan perangai cheapskate macam mana bisnes aku nak maju,” leter Maisara sambil dikirai-kirainya mi di pinggan tetapi udang dahulu yang masuk ke dalam mulutnya. “Dahsyat perempuan sekarang muda-muda lagi dah pakai Fair Lady, head-to-toe semua branded. Kerja apa entah dia?” kata Maisara sambil membuka iPadnya menunjukkan gambar pelanggannya yang tadi kepada ku.

“Kau tak tanya?” tanya aku pada Maisara lagi. “Entah aku pun lupa tanya maklumlah tengah panas hati bila dia asyik tanya diskaun. Aku ingat lagi kau cakap, kalau muda, hot sahaja rupanya confirm sama ada dia anak orang berada ataupun ada sugar daddy. Tetapi kalau keluar selekeh, badan berisi muka stres, rambut tak terurus, pakai simple sahaja itu jenis perempuan yang kuat kerja. Tapi kalau dah pakai Herve Leger, kasut Louboutin, sunglasses Gucci petang rembang ini, naik Fair Lady bukankah mengundang pandangan serong,” kata Maisara masih lagi membelek gambar pelanggannya itu di Facebook.

“Huh, spotted! Tengoklah info dia… BFF dengan pelakon dan penyanyi patutlah gambar penyanyi itu banyak di dalam ini. Memang sahlah geng-geng dia ini. No wonder! Kalau kau nak tahu pelakon dan penyanyi ini kongsi sugar daddy dengan pelakon baru yang tengah hot diperkatakan sekarang sebab berlakon drama berantai di TV,” jelas Maisara, yang aku rasakan hari itu dia menjadi stalker yang sangat bagus. “I knew it…aku pun kenal sangat siapa Datuk yang jadi sugar daddy mereka,” jawab aku sambil menyedut ice lemon tea, rasa sejuk dan nyaman ruang rongga tekakku yang kehausan sejak tadi.

Kisah artis itu dengan sugar daddy sudah menjadi bualan mulut Datin-Datin, maklumlah Datuk S duda kaya. Kalau tak silap aku, lebih kurang enam tahun mereka menjalinkan hubungan. Datuk S sudah lapan tahun menduda tetapi dia memang tidak mahu kahwin. Dia memang suka pasang ramai girlfriend maklumlah orang berduit. Katanya dia mahu hidup mengikut jejak langkah pengasas Playboy, Hugh Hefner yang sentiasa dikelilingi wanita-wanita cantik setiap hari.

Datuk S ini memang kaya raya. Di Kuala Lumpur ini ada bisnes oil and gas, setakat tabur duit beribu-ribu tidak menjadi masalah. Perempuan simpanannya si penyanyi tinggal di kondominium, seorang lagi si pelakon tinggal di service apartment di Ascot. Datuk ini lebih lama berkawan dengan penyanyi itu, pelakon itu baru dua tahun sahaja. Ada juga gosip tentang mereka keluar di blog tetapi pelakon itu menafikan, katanya Datuk S itu abang angkatnya sahaja, yang sudah lama dia kenal sebelum jadi artis lagi.

Penyanyi itu pernah tinggalkan Datuk S sekejap gara-gara sudah jatuh hati dengan salesman kacak tetapi putus di pertengahan jalan. Maka berpaling tadahlah si penyanyi itu mengejar cinta Datuk S semula, lagipun salesman itu tidak mampu berikan kekayaan seperti Datuk S berikan kepadanya.

Siapa boleh tahan, lelaki itu tidak semurah hati seperti Datuk S, maklumlah orang biasa, kerjanya salesman, mana mampu untuk memenuhi hasrat dan maintainance si penyanyi yang setiap mencecah RM10 ribu sebulan, kebetulan sewaktu penyanyi itu tinggalkan Datuk S, sugar daddynya pula sudah ‘terjatuh cinta’ dengan si pelakon baru. Kalau tengok betul-betul kedua-duanya ada persamaan dari segi fizikal, tinggi, hitam manis, rambut panjang, mungkin itulah taste Datuk S.

Si penyanyi itu merayu dan cuba rebut kembali hati Datuk S tetapi sudah tentu Datuk S letakkan syarat. “I boleh terima you balik dan support you macam dulu tetapi dengan syarat. You kena terima I dengan si S. Terjadilah cinta tiga segi. Bukan itu sahaja entah apa ilmu yang dipakai Datuk S, kedua-dua artis ini sanggup dan bersetuju mahu berkongsi dirinya. “Ilmu apa lagi kalau bukan ilmu ‘duit’ sahaja yang boleh buat orang sanggup dan tukar fikiran sekelip mata,” kataku lagi, Maisara khusyuk mendengar.

Mereka bertiga pernah duduk semeja, ramai juga mata-mata yang memerhati kerenah mereka yang melepak di La Bodega, Pavilion. Mereka duduk bersama dan hasilnya bersetuju berkongsi kasih, bukan sebagai kekasih tetapi sugar daddy. Si pelakon baru itu katanya tidak kisah asalkan tiap-tiap bulan Datuk S masukkan duit untuknya shopping, jadi duit berlakon dia simpan. Tiap-tiap minggu nampak pelakon ini pergi bershopping.

Lain pula dengan perangai si penyanyi ini, kurang shopping tetapi suka clubbing. Oleh kerana nyanyiannya ala-ala suam kuku, dia jarang keluar hanya keluar waktu malam di kelab menemani sugar daddy. Datuk S akan bergilir-gilir tidur di rumah mereka. Bila pelakon tiada di rumah kerana pergi shooting, Datuk S pergi ke rumah penyanyi itu. Entah sampai bila hidup mereka begitu… Sehingga kini tak faham kenapa Datuk S tidak mahu pilih salah seorang daripada mereka dan kahwin sahaja.

“Suami aku pernah tanya Datuk S, kenapa tidak berkahwin, sebab sudah lama menduda. Kau tahu apa Datuk tu cakap? ‘Betina itu bukan nak I, dia nak duit I. I bagi sahaja duit I, bukan tanggungjawab I. So I tabur sahaja, duit I pun tak habis makan. I pun dah ada anak. Banyak yang I kenal semuanya bimbo, tak ada yang bijak, tahu nak beli beg, kasut, shopping, botox. Kalau nak kahwin I fikir dua tiga kali. I lelaki memang I tak nak lepaskan mereka. Dari awal lagi I dah cakap dengan mereka, I tak mahu berkahwin. Pandai-pandailah mereka fikirkan masa depan.’ Macammana? Class ke tidak statement Datuk S itu?” kataku lagi.

Pernah juga aku tanya pada Datuk S bagaimana reaksi penyanyi itu, tidak cemburukah dia? Nama pun perempuan mana pernah lepas dengan perasaan cemburu. Peliknya, katanya tidak, sebab tak perlu cemburu janji setiap bulan poket penuh. Yalah…mungkin dia muda lagi, tidak fikir, tunggulah bila usia sudah meningkat barulah rasa hidup tidak kesudahan. Barulah waktu itu rasa menyesal tapi masa itu semuanya sudah jadi sia-sia. Datuk S akan bawa mereka pergi bercuti secara bergilir-gilir. Hidup mereka macam bermadu tetapi tidak ada ikatan sah. Bila pergi ke kelab Datuk S akan kepit dua buah hatinya itu di kelab, masing-masing minum sampai mabuk balik rumah tidur bertiga.

Maisara terkebil-kebil melopong mulutnya mendengar cerita itu. “Touch wood, selisih dijauhkanlah. Busuknya perangai macam itu. Takkan mereka tak pernah bergaduh. Mustahil?” celah Maisara tiba-tiba. Pernah sekali bertekak sebab tidak puas hati sebab seorang dapat beg Dior seorang dapat beg Miu Miu. Gara-gara beg, masing-masing pergi check harga kat butik. ‘Berbulu’ si pelakon itu bila dapat tahu harga begnya rendah sedikit dari yang seorang lagi. Mereka sudah macam rival, masing-masing berebut hati Datuk S. Kalau birthday, Datuk S pernah hadiahkan kereta BMW, dan terpaksalah bagi juga BMW kat seorang lagi cuma warna berbeza. Sebulan pakai dah accident hantar ke bengkel, Datuk S yang langsaikan bayaran dan bil tunggakan servis kereta.

Bila masa terluang Datuk S akan membawa mereka pergi minum petang atau tengah hari. Biasalah jika seorang bergaya cantik sikit, yang seorang buat muka sebab rasa panas hati. Macammanalah Datuk S boleh hidup begitu. Tidak peningkah kepala dia? Dia suka dengan cara hidupnya tanpa komitmen tiada rasa tanggungjawab. Selagi boleh ditaburkan duit, ditaburkannya, bukan dia mencari perempuan tetapi perempuan yang datang mencari dia. Apa yang perlu dia risau dan tidak ada yang perlu dia risaukan.

Datuk S pernah juga mengeluh, dua orang buah hatinya, selalu minta duit atas alasan duit habis. Masakan tiada saving? Langsung tak ada sikap jimat cermat. Mereka tidak pernah ada minat berniaga, membeli lagi ada. Mahunya shopping siang dan malam. Padahal Datuk S seorang yang pemurah, kalau dua buah hatinya itu ada otak, sediakan kertas kerja buka perniagaan, sudah tentu dia akan support.

Memanglah hidupnya dikelilingi wanita cantik tetapi ada masa dan ketikanya hidupnya sunyi. Ada kalanya bila urusan perniagaan perlukan teman bicara tetapi untuk diceritakan tentang bisnes pada dua buah hati simpanannya itu sudah tentu tidak ada feedback dan langsung tidak membantu. Mereka hanya tahu mengira warna apa duit yang akan diberikan bila bertemu. Duit rokok pun Datuk S yang tanggung. Sebab itu setiap kali Datuk S pulang dari penerbangan, berkotak-kotak dia belikan rokok untuk mereka, sedangkan Datuk S sudah berhenti merokok atas masalah kesihatan.

Inilah dia, kisah dunia. Sendiri cari masalah, diri sendirilah terima padah. Hakikatnya, kalau dari awal sesuatu yang dilakukan dengan niat yang tidak elok maka yang jadinya juga tidak elok. Hari ini kita tidak nampak kesulitannya, tetapi bila kita jatuh, susah dan ketika itu kita akan renung betapa banyaknya masa telah kita buang dengan perkara yang sia-sia. Sudah habis licin bubur yang aku rasa portionnya untuk dua orang, aku makan. Mi goreng mamak, Maisara pula hanya tinggal kulit dan sesungut udang sahaja. Kepedasan aku masih tidak hilang bergelas-gelas air aku minum tapi rasa pedas dan panas masih belum reda. Pedas dan panas cili padi yang tergigit itu sama panasnya kisah Datuk S dengan buah hati simpanannya itu, entah sampai bila pelakon dan penyanyi itu bermadu tanpa ikatan, hanya berpegang status sugar daddy.

Your email address will not be published. Required fields are marked *