Korner Mak Datin: Luluh Hati Datin Dicaci Sahabat Yang Kini Anak Tirinya

Korner Mak Datin

Korner Mak Datin: Luluh Hati Datin Dicaci Sahabat Yang Kini Anak Tirinya

770

suzana9Gambar: Arkib GLAM

 
Pada suatu malam nan sunyi, Dura senyap-senyap melangkah masuk ke ruang tamu. Sangat berhati-hati kerana bimbang seisi rumah terjaga. Ketika itu Datin Suraya baru datang dari arah dapur. Dia membawa segelas air buat suami yang sedang menanti di atas. Apa salahnya dia menegur Dura yang kebetulan terpacul di depan muka. Sudahnya dia diherdik kasar. Tegur salah tak tegur pun salah.
 
Entah angin taufan mana singgah, Dura melenting tiba-tiba. Bukannya Datin Suraya marah Dura pun, walaupun angka jam menunjukkan pukul empat pagi. Tak nak balik langsung pun tak apa. Dura sudah besar panjang. Umur pun nak masuk 28 tahun. Bukan Datin Suraya tak pernah single. Dia cukup faham dengan muda mudi masa kini. Dia pun tidaklah setua mana. Tolonglah!
 
Perangai siapa entah Dura ikut. Datuk Jefri tidaklah cengir seperti itu, malah lelaki itu sungguh romantik. Datuk Jefri lelaki budiman yang begitu cermat menjaga hatinya. Segala keperluan hidup Datin Suraya dipenuhi. Walhal dia bukan jenis wanita meminta-minta. Mereka berkahwin atas dasar cinta. Bukan kerana harta benda.
 
“Jangan nak busybody,” herdik Dura kasar. “I tak cakap apa-apa pun.” “Jangan nak tipu, I boleh nampaklah.” “Dura, you tahu tak you bercakap dengan siapa? Anger, it’s a paralyzing emotion. You can’t get anything done…” “Jangan nak ceramah pagi-pagi buta boleh tak?”
 
Dura melangkah dua anak tangga sekali menuju ke kamarnya. Nasib-nasib je dia tak tergolek di situ. Datin Suraya mengurut dada. Nak kata sebab hormon remaja, dah tua bangka. Sabar sahaja mampu dia lakukan. Datin Suraya teringat kembali tujuan dia turun. Suami sedang menanti untuk minum. Haus pula cik abang. Mengenangkan sang suami wajah Datin Suraya kembali berseri-seri.
 
Kalau boleh dia enggan mengadu domba mengenai Dura kepada suami. Nanti kelihatan janggal terutama di mata Dura. Semestinya anak dara itu makin melenting marah. Dia tak kuasa hendak melayan. Anak terlebih dimanjakan begitulah gamaknya.
 
Sudah puas Datin Suraya cuba membeli jiwa Dura. Macam-macam cara mahu dilembutkan hatinya tetapi Dura sangat keras hatinya. Setiap kali dia menghulurkan kasih sayang, setiap kali itu jua dibalas Dura dengan penuh kebencian. Mereka tidak boleh bertembung, pasti ada-ada sahaja perkara berbangkit. Datin Suraya sudah mati akal. Dia pasrah menempuh segala.
 
Dura berlari menghempas pintunya agak kuat. Pasti sahaja dentuman pintu itu sampai ke telinga Datuk. Hm, bergaduh lagi lah tu, degus hati Datuk Jefri. Tak habis-habis mereka berdua. Ada-ada sahaja isu berbangkit tetapi kebanyakannya remeh temeh sahaja. Datuk Jefri sebenarnya habis ikhtiar mahu memulihkan hubungan Datin Suraya dan Dura. Semestinya dia bersimpati lebih kepada Suraya kerana diperlakukan begitu rupa.
 
Dura sejak kecil dihantar ke sekolah berasrama penuh di luar negara. Tradisi keluarga. Kakaknya Nuri pun belajar di tempat sama. Dura yang ringan mulut mahu ke Australia mengikut jejak si kakak. Ketika itu usianya baru sahaja 12 tahun. Bangga pun ada kerana anak mahu hidup berdikari. Tetapi nampaknya, mereka semakin menjauh. Ada jurang yang memisahkan mereka anak beranak.
 
Nuri sudahlah jarang pulang ke bumi Malaysia. Setiap tahun pun Datuk Jefri akan terbang ke sana. Mereka pasti berkumpul di Australia jadi tak ada isu bagi anak-anaknya. Kata mereka asalkan sudah bertemu abah, di mana-mana pun sama. Hanya dia bimbang semakin jauh budaya Malaysia ditinggalkan. Dura pula baru kali ini pulang setelah lama merajuk, pulang dengan muka kelat dan perangainya semakin menjadi-jadi. Sebelum Dura keluar tadi mereka sempat bertikam lidah.
 
“Kalau balik dengan hati tak ikhlas, baik tak usah balik Dura,” tegur Datuk Jefri bersahaja. Anaknya ketika itu baru turun selangkah akhir dari tangga. Tersentak Dura mendengar kata-kata si ayah. Sampai hati seorang bapa sanggup berkata begitu.
 
“Abah seperti hendak halau saya. Dah benci tengok muka saya dan Kak Nuri? Patutlah Kak Nuri tak balik-balik.” “Sepatah abah cakap, bertubi-tubi bentak kamu. Abah tak suka. Kurang ajar bercakap seperti itu,” tegur Datuk Jefri walaupun dia sedar agak terlambat mahu menegur si anak. Mereka ini terlalu lama tinggal berjauhan. Sifat berdikari mereka telah mematangkan fikiran lebih pantas. Sebab itu anak-anak terlebih bijak, ada-ada sahaja hendak dipusing cerita.
 
“Duduklah di rumah, luangkan waktu bersama adik-adik. Mereka jarang sekali dapat bertemu Dura,” ujar Datuk dalam nada lebih lembut seperti memujuk. Memang Dura terlalu banyak menghabiskan waktu di luar negara dan jarang sekali bertemu Aril, 4 tahun, dan Aidil, 2 tahun. Sudahnya dua adik lelakinya memandang Dura seolah-olah seperti orang asing.
 
“Abah nak saya bermain dengan budak-budak?” soal Dura seraya ketawa besar dan berlalu. Ligat kepala Datuk Jefri berfikir perihal isteri dan anak-anak. Ketika itulah terpacul Datin Suraya di pintu kamar. Lemah lembut sang isteri menghampirinya membawa segelas air. Sejuk hatinya memandang Suraya. Memang dia tak salah pilih isteri.
 
“Kenapa dengan Dura tu?” soalnya kepada Suraya. Sengaja dia mahu tengok reaksi Datin Suraya. Isterinya itu tak pernah mengadu domba segala perbuatan Dura. Memang payah mahu mendengar keburukan si anak dari bibirnya. “Tak adalah. Penat tu baru balik jumpa kawan-kawan. Dia kan dah lama tak balik,” ujar Datin masih mahu mempertahankan Dura.
 
“Esok abang akan tegur dia. Sudah menjadi-jadi perangainya.” “Tak usah. Nanti dia semakin memberontak. Dah lah dia bencikan saya. Nanti bertambah-tambah dendamnya,” bantah Datin. Dia sudah dapat mengagak apakah risiko mendatang jikalau Datuk mula bersuara.
 
“Tapi dia sudah melampaui batas. Dia tak hormat you langsung,” tegas Datuk Jefri sangat kesal dengan perangai ditunjukkan Dura. Sebanyak mana dia cuba memahami jiwa remaja, kelakuan Dura itu padanya sangat kurang ajar.
 
Manakala di kamar Dura, dia baru selesai membersihkan diri. Dengan hanya melilit jubah tuala, dia duduk di pinggir katil. Wajahnya masih mencuka. Rasa sebal di dalam hati setiap kali pulang ke rumah. Setiap kali melihat Datin Suraya, seluruh tubuh dirasakan menggigil akibat rasa diri dikhianati.
 
Biarpun enam tahun berlalu tetapi dirasakan baru semalam peristiwa itu berlaku. Alangkah hancur hatinya apabila mengetahui abah berkahwin dengan sahabat baiknya sendiri. Teman baik yang bukan sehari dua dia kenal. Rasanya mereka saling mengenali seumur hidupnya. Sejak dibangku sekolah rendah hingga meningkat remaja. Dura sering membawa Suraya pulang ke rumah dan mereka akan berkurung di kamar berceloteh mengenai perihal remaja terutama soal lelaki. Apabila dia mengambil keputusan belajar di luar negara, ikatan persahabatan mereka tak pernah putus. Zaman teknologi tidak menyukarkan hubungan dua hala. Ada kalanya Suraya akan ke Australia mengunjunginya.
 
Cuma entah bila hubungan intim di antara Suraya dan abah terjalin. Dura tahu abah sunyi pabila ibu meninggalkan rumah. Mereka berpisah secara baik lebih 10 tahun. Seingat Dura pernah abah mengunjungi dia dan Kak Nuri dengan Suraya. Ketika itu tiada langsung syak wasangka mengenai hubungan mereka. Seingat-ingatnya abah anggap Suraya seperti anaknya sendiri. Sementelah mereka sebaya.
 
Aduh! Apa sudah jadi dengan Suraya memilih abah sebagai suami. Mereka kini punya dua anak lelaki yang dia langsung tak mampu hendak memandang mereka. Benar, budak-budak itu tidak bersalah tetapi bencinya terhadap Suraya meluap-luap. Dendamnya masih membara. Suraya mengatakan perkahwinan mereka atas dasar cinta. Jijik sekali Dura mendengarnya.
 
Minggu ini Dura balik ke Kuala Lumpur pun kerana terpaksa. Kebetulan dia ada urusan kerja di sini selama beberapa minggu. Sementelah dia memang rindu dengan bumi Malaysia. Kebanyakan teman-temannya pun sudah pulang ke tanah air. Sebab itu dia tak putus-putus berpesta. Ada-ada sahaja rancangan teman-temannya. Selain teman universiti di Australia, dia juga bertemu teman-teman sejak kecil. Mereka ini kebanyakannya juga kelompok yang mengenali Suraya. Pada awal-awal perkahwinan abah dan Suraya, malu muka dia hendak berdepan mereka ini.
 
“Kau tak ajak Suraya sekali? Eh, Datin Suraya,” ujar Sofea sedikit menempelak. Sofea tahu benar perasaan benci Dura terhadap Datin Suraya. Sengaja dia menambah minyak dalam bara api. Ketika pulang ke rumah jam empat pagi, bertembung pula Suraya empat mata. Hatinya ketika itu sudah tak terkawal. Terkenang pula kata-kata si abah siangnya. Apabila Suraya menegur cuba berbaik-baik, memang silaplah. Ada hati pula nak ceramah aku, bentak Dura dalam hati.
 
Ketika itu juga Datin Suraya tidak dapat melelapkan mata. Dia termenung panjang di kamar anak-anak. Datuk Jefri sudah lama berdengkur. Hajat di hati hendak jenguk dua anak kecilnya. Sudahnya dia berlabuh di sofa yang terletak di sisi katil Aidil. Entah mengapa hatinya terpaut dengan Datuk Jefri. Perasaan itu mengatasi segala-galanya. Dia juga tidak memikirkan langsung risiko persahabatan dia dengan Dura.
 
Hubungan mereka terjalin secara tidak sengaja. Cinta hadir secara semula jadi tanpa boleh dielak lagi. Setiap kali Datuk Jefri akan berangkat ke Australia, Dura akan mengirim macam-macam barang keperluan melalui Datin Suraya. Semua barang-barang yang tak mungkin boleh didapati di Australia tetapi kebanyakannya buatan Malaysia _ majalah tempatan, novel, kain songket dan batik untuk dihadiahkan kepada teman-teman sekuliah dari seluruh negara dan macam-macam lagi.
 
Ada ketika Datuk Jefri menemani Datin Suraya membeli-belah untuk Dura. Lama-kelamaan mereka jadi semakin intim. Ketika mereka sama-sama ke Australia dahulu, sebenarnya hubungan mereka sudah serius dan merancang untuk berkahwin. Namun Datin Suraya yang masih teragak-agak untuk memberitahu perihal sebenar kepada Dura dan Nuri. Sangat berat hatinya. Memang tak salah lagi kerana sebaik sahaja Dura mengetahui hubungan mereka, Dura menuduhnya macam-macam.
 
Apa dikesalkan sangat apabila Dura menuduhnya mengambil kesempatan di atas kesunyian Datuk Jefri dan status abahnya. Semua tuduhan itu tidak benar dan dia mati akal mahu membuktikan hatinya benar-benar jujur menikahi Datuk Jefri. Dia juga kasihkan Nuri dan Dura tetapi Nuri langsung enggan memandang mukanya. Dura pula lebih banyak menyakitkan hati.
 
Jauh di sudut hati Datin Suraya berdoa agar kemesraan keluarga mereka bercantum kembali. Dia kasihan dengan Datuk yang renggang dengan anak-anak kerana dirinya. Dua anak lelakinya pula tak langsung mengenali kakak-kakak kandung mereka. Selebihnya dia sangat merindukan sahabat baiknya Dura. Semoga hari esok membawa bahagia berpanjangan.
 
 

Your email address will not be published. Required fields are marked *