Datin X: Suami Lari Dengan Kawan Baik Anak Sendiri - Glam Malaysia

Datin X: Suami Lari Dengan Kawan Baik Anak Sendiri

Dunia sekarang ni memang sudah terbalik. Lelaki boleh bercinta sesama lelaki, perempuan sesama perempuan, mertua dengan menantu, isteri dengan teman suami… Ah, macam-macam lagilah kes yang tak sanggup kita dengar. Isu kali ini Datin X terpanggil mahu berkongsi cerita mengenai Datin Nur yang Datin X berasa malang sungguh nasibnya.

Datin Nur ini bersuamikan lelaki korporat. Tapi Datin Nur sendiri pun berjawatan tinggi di sebuah institusi kerajaan. Nikmatnya hidup, apalagi dikurniakan anak-anak yang lawa-lawa dan pandai-pandai belaka. Puteri bongsu, Anis baru saja tamat pengajian di universiti, masih melepak di rumah dan kerjanya cuma keluar bersuka ria dengan rakan-rakan yang boleh dikatakan semua ‘hot’ belaka.

Selalulah kawan-kawan Anis bertandang di banglo Datin Nur yang serba lengkap termasuk ada spa dan salun. Datin Nur melayan mereka sepertikan anak sendiri, disuruhnya pembantu rumah masak macam-macam supaya perut kawan-kawan anaknya semua terisi. Dan kerap kali jugalah kawan-kawan Anis yang ranggi dan ramah itu join sekali tengok movie di ruang home theatre rumah mereka. Berenang dan sunbathe di kolam mandi pula sudah jadi perkara biasa. Kawan-kawan Anis memang nampak selesa sangat melayan sembang adik-beradik Anis yang lain termasuk Datuk – bapa Anis yakni suami Datin Nur.

See also
GLAM 101: The Heroin Chic

Rina, teman baik Anis yang nampaknya terlebih selesa bertunggu tangga di rumah Datin Nur. Selalu pula duduk di dalam pejabat Datuk, kononnya setia mendengar ‘ceramah’ Datuk mengenai bisnes dan politik. Malah sering juga dia berlagak seperti PA merangkap setiausaha, bawakan kopi, mengemas pejabat Datuk, menyusun fail di meja dan sebagainya. Dengan bentuk badan seperti biola, bibir terjuih bak Angelina Jolie dan berambut ikal mayang melepasi bahu, kecantikan Rina benar-benar membuatkan Datuk terjatuh hati. Mulanya takut-takut juga Datuk tapi bila Rina melayan, Datuk lega sebab tak bertepuk sebelah tangan.

Datin Nur lurus bendul orangnya. Sama sekali tidak terlintas dalam fikirannya akan hubungan Datuk dengan Rina. Disangkanya kemesraan mereka cuma bagai anak dan bapa. Anis pula gadis bandar yang berfikiran ‘moden’ sampaikan langsung tiada syak wasangka biarpun tahu yang si bapa mengunci diri di pejabat sehingga larut malam dengan cuma bertemankan kawannya, Rina. Hampir lima bulan perkara ini berlarutan, Datuk seakan-akan berbulan madu di rumah sendiri dengan Rina yang usianya baru masuk 20-an.

Tapi, benda buruk, manalah boleh disimpan lama-lama. Datin Nur tiba-tiba terasa hati bila Datuk mula dingin dengannya. Dalam masa yang sama Datuk semakin ligat bergaya, hari-hari mahu ke padang golf saja. Sebagai isteri, Datin perasan perubahan itu, lagipun dek termakan cerita teman-teman, Datin Nur cuba mencari puncanya. Dia ‘menyoal siasat’ isteri-isteri kawan Datuk, sampaikan ke pejabat dia pergi, bertanya kepada staf mengenai jadual suami, sampai ke tahap menyemak akaun syarikat dan peribadi.

See also
Harry & Megan - No More 'His/Her Royal Highness'

Siasat punya siasat, Datin Nur naik pelik bila mendapat tahu yang suaminya baru saja membayar down payment untuk sebuah kondominium mewah yang baru dibina di tengah-tengah Kuala Lumpur. Dirisik-risik nama pemiliknya, berderau darah Datin Nur bila mendengar nama perempuan lain. Sah, nama itu bukan namanya ataupun nama anak-anaknya. Tapi, dalam masa sama dia masih lagi tidak menyangka yang perempuan itu ialah Rina, kawan baik anaknya. Sebaliknya Datin Nur mahu Datuk berterus terang dengannya. Dia mahu tahu siapa perempuan itu dari mulut Datuk sendiri. Hatinya sudah tidak tertahan lagi. Kemarahan pula sudah menguasai diri. Jadi petang itu Datin Nur menanti Datuk di rumah, bersiap mahu berperang. Macam-macam soalan telah disediakan, tunggu jawapan saja. Tapi orang office terlebih dulu warning Datuk, jadi awal-awal lagi terus dia kecut dan tidak mahu pulang ke rumah.

Datin Nur yang tidak keruan mengadu pada anak-anaknya. Anis tersentak mendengar nama perempuan simpanan bapanya. Dia yakin, perempuan itu ialah Rina, kawan baik yang sering dibawanya bertandang ke rumah. Mulalah, dia mengimbas satu persatu kejadian di antara Rina dan bapanya. Apa lagi mengamuklah mereka anak-beranak. Tapi nasi sudah menjadi bubur. Tidak ada apa yang boleh dibuat lagi. Datuk seperti orang gila bayang, jenuh dipujuk tetapi sampai ke hari ini masih enggan pulang. Malah, mana dia tinggal pun Datin Nur dan anak-anak masih tidak tahu. Rina pula terus menghilang, langsung tidak menjawab panggilan Anis. Pernah juga Anis risik-risik dari kawan-kawan lain, tapi semua tidak tahu. Datin Nur jadi buntu, fikirannya semakin tidak menentu. Bila teringatkan Datuk dia hanya menangis tersedu-sedu, terus lesu dan layu.

See also
Ciri Terbaru Instagram Membantu Mencegah Pembulian Siber

Itulah kisah buat peringatan supaya kita sentiasa berpada-pada. Wanita muda sekarang ini bukan lagi seperti gadis dulu-dulu. Kebanyakan mereka berfikiran dan berlagak lebih dewasa. Mereka bijak mengatur strategi, tolak ketepi suami orang ke, tua atau muda. Yang penting, masa depan mereka terjamin dan kehendak material mereka dapat dipenuhi. Jadi, ingatlah walau kawan-kawan anak sekalipun, jangan sesekali naif dan dibiarkan mereka bebas berkeliaran melangkaui batas rumah tangga, sebab air yang tenang jangan disangka tiada buaya.