BELLA ASTILLAH HARGAI BAHAGIA YANG SEDERHANA

GLAM menelusuri relung jiwa seorang figura yang cukup ampuh mendepani gelora kehidupan sebagai anak seni. Bella Astillah, hari ini hadir sebagai wanita yang lebih matang, lebih tenang dan menemukan bahagia dalam makna yang paling sederhana.

Disebalik wajah lembut yang sering dihiasi senyuman manis itu, tersimpan sebuah jiwa yang pernah melalui pelbagai musim kehidupan. Ada luka yang dipendam dalam diam, ada air mata yang gugur tanpa pengetahuan dunia dan ada kekuatan yang lahir perlahan-lahan daripada segala ujian yang pernah singgah dalam hidupnya. Namun itulah Bella Astillah. Seorang wanita yang memilih untuk tetap berdiri dengan kelembutan, meskipun dunia sering memaksanya menjadi lebih keras.

Nama Bella Astillah bukan lagi asing dalam industri hiburan tanah air. Anak kelahiran Sabah ini membesar di hadapan lensa masyarakat sejak usia muda. Dilahirkan pada tahun 1994 dan dibesarkan dalam keluarga yang begitu dekat dengan dunia seni, Bella mula mengenali pentas hiburan seawal usia kanak-kanak. Bakat nyanyian dan lakonannya yang semula jadi menjadikan dirinya mudah disenangi ramai, sebelum perlahan-lahan membina nama sebagai antara figura seni wanita paling relevan dalam industri hiburan tempatan hari ini.

Perjalanan seninya tidak pernah hadir dengan jalan yang mudah. Namun mungkin kerana itulah Bella dilihat begitu dekat di hati masyarakat. Dia bukan sekadar selebriti yang hadir dengan populariti semata-mata, tetapi seorang wanita yang membiarkan manusia melihat sisi paling jujur tentang dirinya. Dari pentas nyanyian, drama televisyen sehinggalah ke media sosial, Bella hadir sebagai seorang insan yang tidak pernah berhenti belajar tentang kehidupan.

Lagu-lagu seperti Tenang dan Tapi Bukan Denganmu memperlihatkan sisi emosional Bella yang penuh rasa. Ada kelembutan dalam setiap bait yang dinyanyikan, seolah-olah setiap lirik lahir daripada perjalanan hidupnya sendiri. Hari ini, selain aktif dalam dunia nyanyian dan lakonan, Bella turut menjadi wajah pilihan pelbagai kempen dan kolaborasi digital yang menjadikan dirinya terus relevan dalam arus dunia moden yang sentiasa bergerak pantas.

Namun di sebalik segala pencapaian dan perhatian yang diterima, Bella mengakui menjadi selebriti pada hari ini hadir bersama sebuah amanah yang jauh lebih besar daripada dahulu.

“Dunia sekarang sangat berbeza berbanding dulu. Dahulu, selebriti dikenali melalui karya, majalah atau televisyen sahaja. Hari ini orang boleh melihat hampir setiap sisi kehidupan kita melalui media sosial,” ujarnya lembut.

Media sosial menjadikan jurang antara selebriti dan peminat semakin dekat. Bella sendiri mengakui dia bersyukur kerana dapat berkongsi perjalanan karier, kehidupan dan perkembangan dirinya secara terus kepada mereka yang sentiasa menyokongnya sejak awal pembabitan dalam industri seni.

Namun dalam keterbukaan itu, hadir juga sebuah tanggungjawab yang tidak kecil.

“Setiap butir kata dan gerak geri Bella akan diperhatikan. Ada yang menjadikan kita inspirasi dan ada juga yang memilih untuk mencemuh. Kadang-kadang bila kita diam pun, boleh menjadi pelbagai spekulasi.”

Bella berhenti seketika sebelum tersenyum kecil.

“Jadi bagi Bella, menjadi selebriti hari ini bukan sekadar tentang populariti. Ia tentang bagaimana untuk kekal waras, jujur dengan diri sendiri dan terus membawa diri dengan baik walau dalam apa jua keadaan.”

Dalam dunia hiburan yang sering dipengaruhi hierarki dan populariti, Bella memilih untuk melihat kehidupan dengan hati yang lebih sederhana. Baginya, segala yang dimiliki hari ini hanyalah pinjaman sementara dan kehidupan sentiasa berputar seperti roda.

“Kita mungkin mendapat layanan istimewa atau tawaran yang lebih besar kerana populariti atau kedudukan kita. Tetapi hidup ini seperti roda. Selebriti yang disanjung hari ini mungkin esok berada di titik paling rendah.”

Mungkin kerana terlalu memahami naik turunnya kehidupan, Bella tidak lagi melihat populariti sebagai sesuatu yang perlu dikejar secara berlebihan. Apa yang lebih penting buat dirinya adalah memberi sepenuh hati terhadap setiap amanah yang diterima.

“Bagi Bella, kita hanya perlu memberikan komitmen terbaik untuk setiap kerja yang kita terima. Berkarya sepenuh jiwa dan selebihnya biarlah Allah SWT yang menentukan.”

Tatkala dunia digital bergerak terlalu pantas, Bella juga tidak menafikan masyarakat hari ini terlalu cepat menghukum. Pelbagai spekulasi mudah tercetus hanya berdasarkan apa yang dilihat di permukaan.

“Sejujurnya Bella faham, mungkin mereka menilai berdasarkan apa yang mereka tahu. Tetapi kebanyakannya bukanlah perkara sebenar yang berlaku.”

Ada ketenangan dalam setiap tutur katanya, seolah-olah wanita ini sudah terlalu banyak belajar tentang cara menerima manusia seadanya.

“Sebagai public figure, Bella belajar tidak semua perkara perlu dijelaskan dan tidak semua perkara perlu diyakinkan kepada orang. Ada masa kita perlu bersuara dan ada masa kita hanya perlu diam.”

Baginya, diam juga adalah sebuah bentuk kekuatan.

“Yang penting Bella tidak mahu membalas luka dengan luka.”

Bergelar ibu kepada dua cahaya mata, Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna, menjadikan hidup Bella hari ini lebih lengkap daripada sebelumnya. Dalam dunia glamor yang tidak pernah sunyi daripada perhatian, Bella tetap seorang ibu yang mahu memberikan kehidupan paling indah buat anak-anaknya.

Nada suaranya berubah lebih lembut apabila berbicara tentang Ayden dan Ara.

“Bella sendiri banyak berkongsi telatah anak-anak di media sosial sebab momen itu sangat manis untuk dikenang. Tetapi sebagai ibu, Bella tetap meletakkan batas.”

Baginya, tidak semua perkara perlu dikongsi kepada dunia.

“Ada momen yang Bella simpan hanya untuk keluarga. Bella mahu mereka membesar dengan selamat dan tidak sentiasa berada di bawah perhatian ramai. Rumah adalah tempat paling bahagia buat kami.”

Di sebalik jadual kerja yang padat dan tuntutan dunia seni yang tidak pernah berhenti, Bella sentiasa cuba menjadi ibu yang hadir sepenuhnya buat anak-anak.

“My biggest fear adalah Bella takut anak-anak membesar dengan ingatan bahawa Bella hanya seorang ibu yang sibuk bekerja.”

Disebabkan itu, setiap kali mempunyai ruang dan waktu, Bella akan memilih untuk menghabiskannya bersama mereka.

“Bila ada kelapangan, Bella akan all out bersama anak-anak. Bella mahu mereka sentiasa rasa disayangi. Bella peluk mereka, tidur bersama mereka dan dengar apa sahaja yang mereka mahu luahkan.”

Sebagai ibu, Bella mengakui rasa bersalah meninggalkan anak-anak demi tuntutan kerja sentiasa hadir dalam dirinya. Namun dia percaya setiap pengorbanan dilakukan demi memberikan kehidupan terbaik buat mereka.

“Ada masa kalau ada kesempatan, Bella akan bawa anak-anak sekali ke tempat kerja. Sebagai ibu, Bella juga manusia biasa. Ada hari Bella kuat, ada hari Bella lemah. Tetapi itu bukan alasan untuk Bella abaikan mereka.”

Melihat Ara yang semakin petah dan lincah menari sering mencuri perhatian ramai, Bella hanya tersenyum kecil apabila ditanya sama ada mahu anak-anaknya mengikut jejak langkah dalam dunia seni.

“Bella sentiasa menyokong apa sahaja minat anak-anak. Bella sendiri bermula menyanyi dan berlakon sejak kecil. Tetapi kalau boleh, Bella mahu Ara fokus pada pelajaran dahulu.”

Apa yang lebih utama buat dirinya adalah memastikan anak-anak membesar dengan nilai kasih sayang, adab dan rasa hormat terhadap orang lain.

“Bella mahu anak-anak belajar tentang kasih sayang, hormat orang tua dan menghargai orang di sekeliling.”

Dalam diam, wanita ini sebenarnya telah banyak berubah. Jika dahulu Bella merasakan dirinya perlu menjelaskan segala-galanya kepada dunia, hari ini dia memilih untuk lebih berdamai dengan dirinya sendiri.

“Dulu Bella rasa sangat perlu untuk orang memahami hati dan niat Bella. Tetapi perlahan-lahan Bella belajar, tidak semua orang melihat kita dengan niat yang sama.”

Hari ini Bella memilih untuk melepaskan segala penilaian luar yang tidak mampu dikawalnya.

“Yang penting Allah SWT dan keluarga tahu siapa diri Bella yang sebenar.”

Sebagai wanita yang membesar dalam perhatian masyarakat, Bella juga semakin belajar tentang pentingnya menjaga emosi dan kesihatan mental.

“Sekarang Bella lebih menjaga emosi. Bella tapis komen-komen yang Bella baca. Dulu Bella baca semuanya dan ia tidak bagus untuk mental Bella.”

Baginya, ketenangan hidup hari ini jauh lebih penting daripada cuba memuaskan hati semua orang.

“Kadang-kadang menjaga hati sendiri juga penting.”

Sebagai anak Sabah, Bella tidak pernah melupakan akar yang membentuk dirinya menjadi wanita seperti hari ini. Di rumah, bahasa Sabah masih menjadi bahasa pertuturan harian dan lagu-lagu negeri kelahirannya masih dekat di hati.

“Sabah adalah sebahagian besar daripada identiti Bella. Orang Sabah ini sangat ikhlas, penyayang dan mempunyai hubungan kekeluargaan yang sangat kuat.”

Membesar di negeri di bawah bayu itu banyak mengajar dirinya tentang kesabaran dan ketabahan dalam menjalani kehidupan.

“Anak Sabah banyak mengajar Bella tentang erti sabar, tentang kuatnya hati dalam diam dan tentang bagaimana kasih sayang itu sentiasa menjadi tempat untuk pulang.”

Dan mungkin, di situlah terletaknya definisi bahagia seorang Bella Astillah hari ini. Bahagia yang tidak lagi diukur pada kesempurnaan hidup di mata manusia, tetapi pada ketenangan hati yang lahir daripada penerimaan.

“Bahagia buat Bella sekarang sangat sederhana. Tenang, dapat bersama keluarga dan tidur malam tanpa rasa berat di hati itu sudah cukup besar maknanya.”

Bella mengakui dirinya kini lebih menghargai perkara-perkara kecil yang dahulu sering terlepas pandang.

“Bahagia bukan lagi tentang nampak sempurna di mata orang, tetapi apabila hati rasa cukup walaupun hidup sedang diuji.”

Jika dahulu Bella mencari bahagia pada perkara yang terlihat indah di mata dunia, hari ini dia belajar bahawa bahagia juga hadir melalui penerimaan terhadap apa yang tidak menjadi seperti yang dirancang.

“Dulu mungkin Bella fikir bahagia itu apabila semua yang kita rancang menjadi. Tetapi hari ini Bella sedar, bahagia juga boleh hadir apabila kita belajar menerima bahawa tidak semua perkara akan berjalan seperti yang kita mahukan.”

Dalam perjalanan yang penuh jatuh bangun ini, Bella hadir sebagai seorang wanita yang semakin matang memahami kehidupan. Seorang anak seni yang belajar menerima luka dengan tenang, seorang ibu yang sentiasa meletakkan anak-anak sebagai keutamaan dan seorang wanita yang memilih untuk terus berjalan meskipun dunia tidak pernah berhenti berbicara tentang dirinya.

Kerana akhirnya, kekuatan sebenar seorang wanita bukan terletak pada sekeras mana dia mampu bertahan, tetapi pada kelembutan yang masih mampu dipelihara setelah melalui begitu banyak kehilangan.

Credits

Pengarah Kreatif Aizat Aidid
Pengarah Seni Aizat Aidid
Pengarah Visual Aizat Aidid

Covers