Chanel Memperkenalkan Wangian Edisi Terhad N°5 L’Eau Drop
N°5 L’Eau Drop adalah wangian edisi terhad daripada Chanel yang mana kelalang digubah bujur seperti titisan wangian.
Marilyn Monroe pernah ditanya apa yang dipakai olehnya tatkala beradu? Jawapannya ringkas “Saya hanya memakai Chanel No. 5”. Terus wangian ini menjadi fenomena dan jualannya cukup memberansangkan. Sejak dari situ wangian klasik Chanel No. 5 menjadi cukup ikonik dan pada 2016 pula, Chanel bersama Olivier Polge tampil berani dengan memperkenalkan siri baharu yakni N°5 L’Eau. Setelah lapan tahun keberadaan wangian ini, Chanel menghadiahkan satu edisi terhad dengan kalalang bentuk bujur terinspirasi daripada titisan wangian dan dinamakan N°5 L’Eau Drop.
Jika sebelum ini semua wangian tampil dengan kelalang berpetak, kali ini Chanel lari dengan memperkenalkan kelalang bujur buat edisi terhad. Bentuk bujur bagaikan semburan wangian ini laksana membawa kisah kehidupan yang lebih organik. Dengan bentuk bujur itu, N°5 L’Eau Drop lebih mudah dibawa kemana sahaja dan semestinya muat apabila diletakkan di dalam beg Chanel kegemaran semua wanita. Lebih romantik lagi apabila kelalang ini bisa digenggam lebih rapi pada tapak tangan, seakan menjaga hati yang cukup rapuh.
Bersempena dengan pelancaran N°5 L’Eau Drop, GLAM terbang ke Hong Kong. Melewati kota metropolitan dengan kesegaran hujan membasahi bumi bersama wangian ikonik ini. Satu pengalaman unik berlangsung di PMQ, Hong Kong dimana lima bilik khas digubah bagi meraikan nombor lima yang ikonik. Bermula dengan bilik yang menebarkan semburan segar ini, bau-bau sitrus memenuhi ruangan. Kemudiannya melangkah pula melepasi birai air, seakan cerminan hujan turun ke bumi.
Ruang seterusnya adalah cermin yang mempunyai wap, dan kami bisa meninggalkan nota-nota pada permukaan cermin. Seterusnya adalah bilik dengan imej-imej kehidupan yang cukup dekat dengan semua. Momen-momen ini dirakam dengan N°5 L’Eau Drop yang setia menemani kehidupan bersama. Akhir sekali bilik interaktif berskrin dengan puluhan titisan air yang apabila disentuh terus terpapar logo N°5 L’Eau.
Wangian edisi terhad N°5 L’Eau Drop hadir dengan tanda harga RM670 buat 50 mililiter.
Artikel Berkaitan: Virginie Viard Meninggalkan Chanel