Mimi Lana Mulakan Lembaran Baharu
Bintang yang tidak hanya bersinar di layar perak tetapi juga tampil penuh keyakinan dalam kehidupan peribadinya, Mimi Lana kini melangkah ke fasa baru yang lebih matang dan berani.
pengarah kreatif AIZAT AIDID pengarah seni kanan KHAIRANI RAMLI pengarah seni AMIRUL ARIFFIN gambar EDMUND LEE/HEXA STUDIO solekan KF BONG dandanan CKAY LIOW MENGGUNAKAN KÉRASTASE penyelaras SYAHIRAH HUSSAIN & ZAHIRAH ZULKHAIRI teks MAYA KUSUMA pelatih amali MAIRA IKHZUL & BATRISYIA FAIZAL
Dengan lengguk penuh yakin dan senyuman yang menawan, Mimi Lana melangkah masuk ke dalam studio bagi sesi penggambaran majalah GLAM edisi Januari/Februari 2025. Mimi yang hadir bersama pembantu peribadinya, hanya mengenakan pakaian serba ringkas, baju knitwear dan berskirt pendek. Wanita tinggi lampai ini bukan sahaja menyerikan suasana, tetapi juga terserlah aura dan keperibadiannya yang mesra. Hal ini jelas sekali menunjukkan sifat rendah dirinya di luar layar kaca apabila dia terlebih dahulu menyapa dan menghulurkan tangan untuk salam kami semua.
Pesona Mimi Lana
Sesi penggambaran itu berlangsung dengan penuh keseronokan dan kekaguman. Setiap kali gambar diambil, tenaga yang dibawanya dapat dirasai. Gaya yang penuh pesona, dia berjaya mencuri perhatian saya dan semua yang berada di situ. Ketika berlangsungnya penggambaran, Mimi sempat membuat permintaan untuk memainkan lagu Moonlight Floor (Kiss Me) nyanyian Lisa Blackpink buat meningkatkan mood dan menciptakan suasana yang tepat bagi beraksi di hadapan kamera.
Walaupun telah menggayakan beberapa set pakaian yang berbeza, dedikasi dan komitmen Mimi terhadap setiap gambar tidak dapat disangkal. Namun, apa yang lebih mencuri perhatian saya adalah sifat beraninya dan tidak takut dalam mencuba sesuatu yang baru. “Saya rasa saya seorang yang berani kerana sentiasa mempertahankan diri,” ujarnya dengan tegas. Menurut Mimi, sifat berani ini juga membantunya dalam menghadapi cabaran. “Saya lebih suka bertindak dahulu dan fikir kemudian. Saya juga tidak takut untuk mencuba perkara baru,” tambahnya, menunjukkan semangat yang tidak pernah gentar untuk meneroka segala kemungkinan.
Tahun 2025 pastinya menjadi fasa yang baru buat Mimi yang kini semakin tenang menjalani kehidupan dan memperkasakan kariernya. Pada usia 29 tahun, dia merasakan dirinya lebih matang dan bersedia untuk mengharungi cabaran akan datang. “Umur 29 tahun ni saya nampak kematangan seorang Mimi Lana meskipun belum masuk umur 30 tahun lagi. Banyak benda yang berbeza iaitu cara pemikiran, keputusan yang dibuat, saya boleh katakan lebih matang dan berfikir panjang,” ujarnya dengan penuh rasa syukur. “Sekarang lebih rileks, lebih chill, Alhamdulillah.”
Selain berlakon, Mimi kini bersedia untuk melangkah ke dunia perniagaan. Di penghujung Januari 2025, dia bakal melancarkan produk kecantikan yang diberi nama Mims iaitu produk semburan badan jenama miliknya. “Sebenarnya saya suka sangat minyak wangi tapi sebagai permulaan saya cuba body mist dahulu dan perlahan-lahan mengembangkan rangkaian produk,” jelasnya. Walaupun sebelum ini terima banyak tawaran untuk bekerjasama dengannya, Mimi akui dia tidak mahu gopoh untuk menceburi bidang baru. “Terdahulu banyak dapat tawaran orang mahu bekerjasama dengan saya tetapi saya ingin buat perniagaan itu dalam keadaan yang bersedia dan tidak terburu-buru. Saya pun sibuk dengan penggambaran dan terdapat perkara lain yang perlu diberi fokus,” katanya. Namun pada usia yang hampir mencecah 30 tahun telah memberinya ruang lebih fokus dan yakin dalam membuat keputusan. “Sekarang ni lebih relaks, banyak benda yang saya yakin untuk buat,” tambahnya.
Di dunia lakonan, Mimi terus mempersembahkan pelbagai watak yang mencabar dirinya. Menurutnya dia tidak mahu terperangkap dalam karakter yang sama. “Saya ada insecurities bila saya berlakon dan dapat karakter yang sama, saya tak boleh duduk diam. Saya tidak mahu ambil karakter yang sama sebab kalau boleh ingin pengalaman lakonan yang berbeza,” ujarnya. “Kalau boleh saya impikan membawa pelbagai jenis karakter. Sebab dalam pekerjaan ni kita tidak mahu cepat bosan, bukan? Kalau kita buat benda yang sama dan kita tak berkembang, kita akan cepat lupa akan kenikmatannya.”
Salah satu pengalaman lakonan yang memberi kesan mendalam kepada Mimi adalah wataknya dalam Perempuan Itu, yang banyak mengajarnya tentang hak seorang wanita dalam rumah tangga dan kehidupan. “Perempuan Itu banyak ajar saya pasal hak-hak seorang perempuan, bukan sahaja dalam rumah tangga tapi juga sebagai seorang wanita.” Lain pula karakternya dalam Andai Tiada Dia, Mimi memikul watak Intan, orang ketiga yang merosakkan rumah tangga keluarga sendiri, memberikan cabaran berbeza. Mimi menjelaskan, “Saya mahu penonton melihat karakter yang saya lakonkan dan rasa benci terhadapnya, kerana itu menggambarkan betapa buruknya seseorang yang merosakkan rumah tangga orang lain. Itu yang saya nak orang ramai dan penyondol-penyondol dekat luar sana nampak perspektif saya terhadap penyondol tu,” ujarnya yang menegaskan bahawa dia berusaha untuk menyampaikan mesej melalui watak itu.
Namun, ada kalanya, Mimi akui karakter Intan mencabar nilai-nilai peribadinya. Salah satu kebimbangannya adalah apabila wataknya menyentuh isu-isu yang mencabar Tuhan. “Takut. Sebab karakter itu bermain dengan perkataan-perkataan yang mencabar Tuhan juga jadi saya lebih takut bab itu,” katanya. “Kadang-kadang bila naik hilang pertimbangan masa berlakon, tiba-tiba berkait pula dengan kehidupan peribadi, tapi buat masa ini kita tapis benda itu dekat set, kalau kita rasa benda ini macam berlebihan, kita buang.” Walau bagaimanapun, dia bersyukur kerana penonton menerima lakonannya dengan baik, meskipun ada yang terbawa-bawa emosi dengan karakter yang dimainkannya.
Selain mempunyai cita-cita mengembangkan sayap ke luar negara, Mimi juga berhasrat untuk mengangkat martabat bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa. Dia mendedahkan ada menerima tawaran untuk berlakon di Indonesia. “Sebelum ini ada dapat tawaran di Indonesia tapi saya tak dapat buat sebab tarikh bertembung dengan projek di Kuala Lumpur. Sebenarnya saya teringin sangat nak tengok orang Indonesia datang Malaysia bercakap bahasa kita,” katanya. Seperti angan-angan menjadi kenyataan, Mimi teruja untuk berkongsi projek filem terbarunya, dimana dia akan berlakon dengan pelakon terkenal dari Indonesia, Adipati Dolken yang akan berdialog dalam bahasa Melayu. “Ini pertama kali seorang pelakon Indonesia datang ke Malaysia dan bercakap bahasa Melayu,” ujar Mimi dengan penuh rasa bangga.
Beralih pula kepada pertanyaan fesyen, Mimi menggambarkan dirinya sebagai seseorang yang lebih memilih kesederhanaan namun tetap kelihatan menawan. “Less is more, glitter, and simple,” katanya dengan ringkas. Untuk pemakaian seharian, Mimi lebih selesa mengenakan pakaian yang praktikal dan selesa. “Saya suka pakai jeans, baju-T, seluar pendek dan baju panas. Helaian kait dan hoodie adalah kesukaan saya sebab badan cepat sejuk,” tambahnya. Baginya, keselesaan adalah perkara yang utama.
Meskipun sederhana dalam gaya fesyennya, Mimi percaya sesuatu pakaian itu nampak lebih menarik dengan mengenakan aksesori seperti anting-anting dan cermin mata hitam. “Pada saya, anting-anting simple boleh buatkan pakaian awak nampak menarik dan juga cermin mata hitam sebab saya rasa ‘stylo’,” kata Mimi yang merasakan pemakaian cermin mata membuatkan seseorang tampak lebih cool dan bijak. Selain itu, Mimi menyukai gaya-gaya fesyen ikonik seperti Bella Hadid, Rihanna, dan Angelina Jolie, yang disifatkannya sebagai wanita yang memiliki gaya dan aura sempurna. “Saya suka Bella Hadid dengan gaya cowboy-nya. Rihanna pula, dia tidak terlalu feminin atau boyish sangat. Angelina Jolie, dia seperti manusia yang sempurna. Pakai apa pun, simple pun nampak cantik.”
Bercakap tentang kecantikan, Mimi menyenaraikan tiga produk yang dia tidak boleh hidup tanpanya iaitu lipbalm, pencuci muka, dan sunscreen. Bagi Mimi, menjaga kulit adalah aspek penting dalam hidupnya, terutama kerana tuntutan kerja sebagai pelakon yang memerlukan dia mengenakan solekan dalam jangka masa panjang. “Benda ni tak boleh nak elak, awak jaga macam mana sekalipun, bila dah mula penggambaran, dia memang akan naik juga,” jelasnya. Namun begitu, Mimi mengutamakan penghidratan kulit dengan minum banyak air dan melakukan rutin kecantikan yang asas. “Walau penat macam mana pun, balik pukul 5 pagi sekalipun, saya tetap cuci solekan dulu sebelum tidur,” katanya.
Seperti yang diketahui umum, pada dua tahun lalu satu Malaysia dikejutkan dengan berita putus cinta antara Mimi dan pelakon Syafiq Kyle dan mereka membatalkan perkahwinan di saat akhir. Namun, apa yang saya kagum adalah tentang bagaimana mereka masih mengekalkan hubungan yang baik dan masih bersahabat selepas apa yang berlaku. Bimbang akan membawanya mengimbau kepada masa silam, saya meminta izin terlebih dahulu untuk mengajukan soalan tentang pengalaman yang sukar itu…
Baca kisah penuh Putri Marino dengan mendapatkan majalah GLAM isu Disember 2024 di pasaran sekarang atau langgan secara online menerusi magzter.com.