Betul Ke Guna Sunscreen Dalam Rumah Penting?
Ramai yang sering tertanya-tanya, adakah pakai sunscreen dalam rumah benar-benar perlu atau sekadar gimik kecantikan? Kita sudah biasa dengan pesanan “jangan lupa sunscreen sebelum keluar rumah”, tetapi bagaimana pula jika seharian berada dalam bilik berhawa dingin atau ruang kerja yang terlindung? Ramai percaya kulit sudah cukup selamat, sedangkan realitinya tidak semudah itu.
Hakikatnya, pakar dermatologi telah lama menegaskan bahawa sinaran UVA mampu menembusi tingkap kaca, bahkan turut memantul dari permukaan tertentu di dalam rumah. Sinaran inilah yang bekerja secara senyap, ia tidak membakar kulit seperti UVB, tetapi merosakkan lapisan kulit yang lebih dalam. Akibatnya, kita mungkin perasan kulit kelihatan kusam, garis halus muncul lebih cepat, dan pigmentasi sukar pudar walaupun rajin merawatnya.
Tambahan pula, rutin hidup kita yang banyak bergantung kepada peranti digital menambah satu lagi punca kerosakan kulit. Skrin komputer, telefon pintar dan tablet memancarkan cahaya biru (blue light). Kajian menunjukkan cahaya ini berpotensi mempercepatkan penuaan kulit, menyebabkan tona tidak sekata dan hiperpigmentasi, terutama pada mereka yang terdedah berjam-jam setiap hari. Jadi, boleh dikatakan sunscreen kini bukan lagi produk untuk ‘luar rumah sahaja’, tetapi juga pelindung penting dalam gaya hidup kita hari ini.
Mengapa Perlu Pakai Sunscreen Dalam Rumah?

Kredit foto: Getty Images
-
Sinar UVA tetap bahaya walaupun di ruang tertutup
Ramai tidak sedar, sinar UVA boleh tembus melalui tingkap dan pintu kaca. Jika anda bekerja dari rumah berhampiran tingkap, kulit masih menerima pendedahan. Kesan jangka panjang termasuk kedutan awal, kulit kendur dan bintik hitam. -
Cahaya biru daripada skrin digital
Kerja di pejabat atau WFH membuatkan kita terikat dengan skrin sepanjang masa. Kajian dermatologi mendapati cahaya biru boleh menembusi lebih dalam berbanding sinaran UV, sekali gus memberi tekanan oksidatif pada sel kulit. Inilah sebab kulit cepat letih dan kusam. -
Langkah pencegahan lebih murah berbanding rawatan
Merawat pigmentasi atau kedutan dalam selalunya menelan belanja besar. Pemakaian sunscreen setiap hari sebenarnya jauh lebih mudah dan kos efektif untuk mengekalkan kulit muda dan sihat.
Bagaimana Memilih Sunscreen Yang Sesuai Untuk Dalam Rumah?

Kredit foto: Getty Images
-
Broad Spectrum Protection: Pastikan sunscreen mempunyai perlindungan UVA dan UVB.
-
SPF 30 atau lebih: Untuk kegunaan harian dalam rumah, SPF 30 sudah mencukupi. Namun, jika rumah anda menerima banyak cahaya matahari masuk, jadi pilih SPF lebih tinggi.
-
Tekstur ringan: Pilih formula yang tidak berminyak atau melekit supaya selesa dipakai sepanjang hari.
-
Tambahan perlindungan anti-blue light: Sesetengah sunscreen kini diformulasi dengan perlindungan khusus daripada cahaya biru.
Tip Rutin Harian Dengan Sunscreen

Kredit foto: Getty Images
Berikut adalah antara tip rutin harian dengan pemakaian sunscreen yang boleh anda amalkan:
-
Sapukan sunscreen pada waktu pagi selepas pelembap, walaupun anda tiada sebarang rancangan untuk keluar rumah.
-
Ulang sapuan jika bekerja di ruang berhampiran tingkap atau selepas beberapa jam.
-
Jangan lupa kawasan leher, telinga dan tangan kerana ia juga terdedah pada cahaya.
-
Jika perlu, gunakan sunscreen dalam bentuk spray atau cushion untuk memudahkan re-apply tanpa ganggu solekan.
Jelaslah bahawa pakai sunscreen dalam rumah bukanlah perkara remeh atau sekadar ikut trend kecantikan. Ia adalah rutin asas yang memberi kesan besar terhadap kesihatan kulit jangka panjang. Sama ada anda bekerja dari rumah, beristirahat sambil menonton drama kegemaran, atau menghabiskan masa melayan telefon pintar, kulit anda masih memerlukan perlindungan.
Sunscreen bukan sahaja pelindung daripada cahaya matahari, tetapi juga perisai kulit terhadap gaya hidup digital masa kini. Konsistensi kecil ini, jika dilakukan setiap hari, mampu membezakan antara kulit yang cepat tua dengan kulit yang kekal sihat, berseri dan awet muda.
Artikel berkaitan: 7 Sunscreen Terbaik Pilihan Untuk Musim Panas
Farhana Fuad
Farhana Fuad merupakan Pengurus Kanan Kandungan di GLAM Malaysia. Menggabungkan kepakaran dalam penulisan editorial dan strategi SEO, Farhana menerajui kandungan semasa dan gaya hidup.

