COVID-19: Kerajaan Keluarkan Perintah Kawalan Pergerakan - Glam Malaysia

COVID-19: Kerajaan Keluarkan Perintah Kawalan Pergerakan

Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai Rabu (18 Mac) hingga 31 Mac 2020, di seluruh negara.

Tambahnya lagi, perintah kawalan selama 14 hari itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967. Perintah kawalan pergerakan ini membabitkan pertamanya larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Antara inti pati perutusan khas oleh Perdana Menteri ialah:

Pertama, larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. Untuk menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Khusus untuk umat Islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac 2020.

See also
GLAM Exposé: Kemaruk Sekolah Swasta, Sosialit Sanggup Dibelit Hutang

Kedua, sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara. Bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (atau self quarantine) selama 14 hari;

Ketiga, sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara;

Keempat, penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti;

Kelima, penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara; dan

Keenam, penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan, boleh menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara di talian hotline 03-88882010 bermula jam 12 tengah hari esok.

See also
Bijak Dan Menawan, Kenali Charmaine Chew Gadis Kelahiran Kedah Wakili Malaysia Di Miss International 2019

Di Malaysia, telah berlaku peningkatan kes Covid-19 secara mendadak, iaitu 190 kes semalam (15 Mac 2020), disusuli 125 kes baharu hari ini (16 Mac 2020), menjadikan jumlah keseluruhan individu yang dijangkiti wabak ini adalah sebanyak 553 orang. Daripada jumlah tersebut, seramai 511 orang sedang dirawat di hospital, manakala 42 orang telah pun pulih.