Retorik - Pendapatan Isteri Melebihi Suami - Glam Malaysia

Retorik – Pendapatan Isteri Melebihi Suami

Kadangkala kita lupa perbezaan antara budaya dan agama, kita katakan mana mungkin perigi mencari timba kerana mestilah si lelaki yang masuk meminang, lengkap dengan dulang hantaran dan tema warna baju rombongan. Kita pun kata lagi kaum perempuan dalam mencari suami carilah yang kaya, yang lebih berumur dan berkerjaya, senang nanti dia boleh jaga keluarga, walhal kita lupa Siti Khatijah yang meminang Nabi Muhammad S.A.W yang jauh lebih muda daripadanya dan Siti Khatijah merupakan seorang usahawan yang kaya lagi berjaya. Sesungguhnya seorang lelaki yang baik seperti baginda Rasulullah S.A.W dapat melihat ketika itu bahawasanya wanita yang hebat ini pasti mampu menjadi pasangan hidup yang amat bernilai buat dirinya di dunia dan di akhirat.

Oleh itu saya kurang faham akan isu sesetengah pihak, ada yang datang daripada kaum lelaki yang barangkali cetek sungguh pemikiran kejantanannya dan lebih menyedihkan ada juga yang datang dari kaum wanita, terutama kaum ibu-ibu yang begitu risau akan anak lelaki mereka berkahwin dengan wanita yang berjaya, berkerjaya dan berpendapatan tinggi…queen control katanya! Realiti di Malaysia hari ini ialah jumlah graduan wanita adalah jauh lebih tinggi daripada kaum lelaki.

Graduan-graduan ini bakal mengisi kekosongan di sektor korporat dan kerajaan dan sudah pasti bagi mereka yang cemerlang bakal mengisi perjawatan di pihak pengurusan seterusnya menjadi bos kepada pekerja di bawah mereka. Kita juga melihat pada hari ini akan kemunculan tokoh-tokoh wanita dalam dunia politik, perniagaan dan sukan. Kalau kita sebagai masyarakat tidak memberikan ruang untuk seseorang wanita itu, tidak kiralah yang bujang atau sudah berumah tangga untuk merealisasikan kemampuan mereka secara sepenuhnya, sudah pasti ia akan merencatkan kemampuan kita untuk mencapai status negara maju.

See also
Retorik: Ketelusan Dalam Kewartawanan - oleh Fiza Sabjahan

Sememangnya lelaki itu dianggap sebagai pemegang amanah kepada keluarga, tetapi amanah itu datang dalam pelbagai bentuk dan hanya mereka yang dangkal sahaja yang menzahirkan tanggungjawab ini dalam bentuk wang ringgit semata-mata. Amanah dalam memastikan anak-anak membesar menjadi insan yang soleh dan solehah, menjaga kebajikan dan keperluan isteri daripada segi zahir dan batin serta menjadi pembimbing dan contoh yang baik buat keluarga merangkumi keseluruhan tanggungjawab seorang suami dan ayah. Apa guna suami yang berpendapatan tinggi tetapi cukup lokek meluangkan masa dan jiwanya buat isteri dan anak-anak?

Bukankah itu mengabaikan tanggungjawab juga? Nilai seorang laki-laki itu haruslah diukur lebih daripada iman dan amanah sifatnya dan kurangkanlah mengukur pada jenis kenderaan yang dipandu. Turut sedih juga melihatkan apabila ada kaum wanita yang berpendidikan tinggi dan bekerjaya dihalang untuk berkahwin dengan lelaki yang baik hanya kerana kaum keluarga pihak perempuan merasakan lelaki itu tidak sama tarafnya. Sering alasan yang diberikan kepada si perempuan bahawa kalau dia itu doktor kalau mahu kahwin biarlah kahwin dengan doktor juga, tapi cubalah kalau itu anak lelaki, tiada pula masalah untuk berkahwin dengan selebriti atau model.

See also
Dari Alicia Vikander Hingga Ke Lady Gaga, Lihat Karpet Merah Di Oscar 2016

Saya juga melihat dan mendengar kisah si isteri yang berpendapatan tinggi lebih daripada suami, berpangkat lebih kanan dan mempunyai kerjaya yang cemerlang, diminta berhenti kerja oleh suami atas alasan untuk menjaga anak-anak. Bayangkan betapa ruginya negara apabila seorang wanita yang mendapat biasiswa ratusan ribu untuk belajar ke luar negeri akhirnya pulang ke Malaysia hanya sekadar menjadi suri rumah tangga sepenuh masa, graduan profesional ijazah tinggi disuruh berniaga jual kuih-muih melalui Instagram kerana suaminya tak suka isterinya lebih berjaya. Di zaman serba moden ini dengan pelbagai kemudahan yang disediakan dalam membantu kita membesarkan anak-anak tidak sewajarnya ada alasan yang tidak munasabah untuk mana-mana wanita yang telah berumah tangga untuk mempunyai kerjaya yang cemerlang.

AZRINAZ MAZHAR HAKIM ADALAH PENULIS BEBAS, HARI INI DIA MENGULAS PERIHAL WANITA YANG BERJAYA DAN BERPENDAPATAN TINGGI DARIPADA PASANGAN.

Sesungguhnya tidak ada alasan yang berakal bahawa satu-satu rumah tangga itu pasti bergolak hanya kerana isterinya berpendapatan lebih tinggi. Namun kita juga harus akui bahawa dalam hal ehwal rumah tangga ini, yang menjayakan dan membahagiakannya bukanlah bergantung kepada pendapatan suami atau isteri, tetapi lebih kepada sifat dan kelakuan kedua-dua insan ini. Isteri yang bergaji lebih tinggi daripada suami bukanlah mempunyai lesen untuk tidak menghormati si suami sebagaimana suami yang menjadi sumber pendapatan utama tidak boleh menidakkan hakhak isterinya selain daripada harta dan keperluan.

See also
GLAM Exposé: The Ugly Truth Of Instagram

Janganlah kita terlalu taksub dengan adat dan budaya atau terlalu terperangkap dengan pemikiran apa nanti orang kata. Tak usahlah kita meletakkan terlalu banyak syarat dalam mencari kebahagiaan, daripada mas kahwin yang merepek tingginya hinggalah ke seribu satu pantang larang dalam mencari pasangan. Sesungguhnya yang berkahwin dan melalui segala ujian dalam rumah tangga bukanlah orang luar tetapi si suami dan isteri, jadi pilihlah pasangan yang berkenan di hati dan buatlah keputusan berdasarkan kebijaksanaan yang ada di dalam diri kita. Biarlah gajinya lebih kecil atau umurlah lebih muda, kalau itulah yang kita rasakan mampu membimbing kita ke jalan yang lebih baik, apa salahnya, dan kalau-kalau ada makcik pakcik yang membawang kata perigi mencari timba, ingatkanlah mereka dengan kisah cinta agung antara Rasulullah S.A.W dan Siti Khatijah.