Perjalanan Cinta Julie Anne Kang dan Fadlan Hazim - Glam Malaysia

Perjalanan Cinta Julie Anne Kang dan Fadlan Hazim

Nama Julie Anne Kang tidaklah terlalu asing kerana gadis ini merupakan pengasas bersama buat jenama kasut yang semakin mendapat perhatian yakni Kulet manakala pasangannya Fadlan Hazim tidak asing lagi dikaca televisyen tanah air. Pasangan yang saling mengenali sejak zaman persekolahan lagi ternyata sentiasa nampak romantis biarpun di set penggambaran. Mereka begitu bersahaja dan mesra dari saat melangkah masuk ke ruang studio kami petang itu. Perkara pertama yang saya sedari adalah betapa keduanya begitu merendah diri biarpun ia merupakan kali pertama kami berjumpa. Fadlan yang merupakan seorang pelakon memulakan kerjayanya di kaca televisyen melalui drama bersiri Jodoh 2 yang mana saya turut menyaksikan lakonannya bersama Janna Nick. Tanpa saya sedari drama bersiri yang telah berusia lebih lima tahun itu menemukan saya dengan salah seorang pelakonnya hari ini.

Perhubungan yang menjangkau usia 14 tahun sebenarnya hanyalah teman biasa ketika di waktu persekolahan dulu. Cuma beberapa tahun kebelakangan ini mereka menjadi semakin rapat dan memilih untuk menjalinkan hubungan yang lebih istimewa. Sememangnya persoalan mengenai perkahwinan adalah sesuatu yang sering meniti di bibir apatah lagi dengan pasangan yang merupakan seorang selebriti. Jika dahulu banyak artis yang memilih untuk menyimpan bahagian peribadi ini dari tatapan khalayak umum, berbeza dengan era media sosial ini ramai yang bersifat lebih terbuka. Begitu juga buat pasangan ini yang tidak lokek berkisah mengenai perhubungan namun mereka memilih untuk meletakkan batas-batas tertentu untuk tidak menyinggung perasaaan pihak-pihak lain seperti ahli keluarga dan teman rapat.

 

JAM TANGAN LONGINES HYDROCONQUEST L37814966 MENYERLAHKAN GAYA SI JEJAKA. KOT TWEED GUCCI RONA HIJAU BUAT JULIE BERSAMA JAKET TRENCH LINEN SERTA KEMEJA BIRU LEMBUT UNTUK FADLAN JENAMA COS.

Membuka topik mengenai perkahwinan Julie percaya bahawa sebagai persediaan untuknya menuju ke gerbang perkahwinan
adalah untuk saling mengenali antara satu dengan lain dan dalam masa yang sama bekerja untuk meningkatkan lagi diri sendiri selain menjadi insan yang matang dalam menghadapi segala isu. “Kejujuran dalam perhubungan merupakan perkara yang sentiasa perlu diberi perhatian. Ini kerana untuk membina kepercayaan, kejujuran adalah tiang utama. Jujur dalam komunikasi antara pasangan adalah kunci kepada kekuatan sesuatu perhubungan itu. Kami sering berbicara mengenai perkara yang perlu berbanding memendamkannya. Biarpun pada masa ini kami menganuti agama yang berbeza kami sangat bertuah kerana kurangnya masalah dari luar yang menganggu perjalanan perhubungan ini. Kedua ibu bapa dan ahli keluarga menerima pilihan kami ini dengan tangan terbuka. Perkahwinan antara budaya bukanlah sesuatu yang asing lagi dewasa ini. Awal tahun ini juga menyaksikan Fadlan turut bersama-sama meraikan sambutan Tahun Baru Cina bersama ahli keluarga saya di kampung halaman kami. Ia merupakan satu memori indah yang akan kami simpan dalam perhubungan ini. Selain itu, kami berdua mempunyai sifat emosional yang agak tinggi, kebanyakkan isu yang pernah timbul adalah kerana tersalah pertuturan ataupun terasa hati dengan tindakan pasangan. Pada penghujung hari kami kembali berpegang kepada falsafah bahawa
isu yang timbul adalah untuk kami selesaikan. We always try to remember that it’s us against the problem not me versus you.”

See also
Bella Hadid Wanita Tercantik Di Dunia?

Tidak hairanlah bagi keduanya apabila ditanya apakah ciri-ciri yang menarik perhatian keduanya terhadap pasangan ini sesama mereka adalah sifat mereka yang tersendiri. “Saya melihat Julie sebagai seorang wanita yang bebas dan tidak bergantung kepada insan lain. Dia sentiasa menyokong saya dalam apa sahaja yang ingin saya lakukan baik dalam kerjaya mahupun tindakan peribadi.” Sambil tersenyum Julie turut berkongsi pula mengenai Fadlan. “Sebenarnya Fadlan merupakan seorang yang pendiam dan banyak menyimpan hal peribadi pada dirinya sendiri. Tetapi ia berbeza apabila bersama dengan saya dia lebih terbuka untuk berkongsi kisahnya. Ciri ini mencipta misteri pada personalitinya dan itulah tarikan yang mendapat perhatian saya. Tambahan pula saya mengagumi disiplin dan keazaman yang dimilikinya. Kerjayanya sebagai seorang pelakon sememangnya menuntut kedua ciri ini untuk berjaya dan kekal dalam industri hiburan. Secara tidak langsung ia juga memberikan inspirasi dan kayu ukur buat saya untuk mengikut jejak langkah sifat ini selain pemangkin yang boleh saya aplikasi dalam kehidupan seharian dan perniagaan.” Mereka berdua melihat perancangan mendirikan rumah tangga menjadikan mereka mahu bekerja lebih keras lagi sesudahnya segalanya dimeterai nanti. Kerana mereka merasakan tanggungjawab yang digalas sudah semakin menebal selain adanya sistem sokongan yang lebih besar dan kelebihan mempunyai insan yang sentiasa menemani anda di sisi saat susah mahupun senang. Biarpun memegang status sebagai seorang selebriti, Fadlan tidak menjadikan ianya sebagai kesukaran dalam menjalani urusan perhubungan. Baginya sama
ada selebriti atau tidak, perhubungan haruslah dijaga sebaiknya kerana pahit dan manisnya setiap perhubungan itu tetap akan terjadi. Menurut Julie, baginya kesukaran yang dihadapi lebih menjurus kepada komitmen masa terhadap tanggungjawab tugas yang digalas oleh Fadlan. Jika dilihat dari aspek lain, dia sependapat dengan pasangannya bahawa hubungan mereka
normal seperti pasangan bercinta yang lain.

UNTUK YANG MENGGEMARI GAYA KLASIK SELEKSI THE LONGINES MASTER COLLECTION – BLUE EDITION MODEL L27934976 SEMESTINYA INDAH MENGHIASI PERGELANGAN TANGAN. MANAKALA UNTUK SI WANITA, BOLEH CUBA JAM TANGAN LONGINES RECORD COLLECTION INI DALAM SELEKSI MODEL L23210876 INDAH BERHIAS BERLIAN PADA DAILNYA

Semestinya pada setiap perhubungan mereka akan tahu bilakah masanya hubungan itu bersedia menuju ke tahap seterusnya. Menganggap setiap perhubungan adalah berbeza mereka tidak mahu tergopoh gapah membawa perhubungan ke tahap selanjutnya jika kedua mereka belum betul-betul bersedia. Segalanya haruslah hadir secara semulajadi dan mereka selesa memilih untuk ia bergerak dengan perlahan. Andai sudah ditakdirkan bahawa jodoh mereka sudah tertulis untuk bersama, pastinya apabila tiba masanya kelak ia tetap akan terjadi.“Kami masih mahu mempelajari dan mengenali antara satu sama lain biarpun sudah mengenali antara satu sama lain selama 14 tahun. Untuk itu penting buat kami menikmati perjalanan perhubungan ini selain menikmati saat indah yang pastinya mempunyai nilai yang tersendiri juga sebagai satu platform persediaan dan memahami satu sama lain.” Tidak asing lagi buat pasangan yang bercinta untuk mereka mempunyai impian yang di simpan terhadap hari bahagia mereka. Oleh itu saya kemukakan persoalan andai mereka mempunyai pereka impian yang mungkin berada di dalam senarai untuk digayakan pada hari bahagia kelak. Buat Fadlan sentuhan dari pereka antarabangsa, Tom Ford menjadi pilihannya. Rekaan yang sajak selain ringkas namun kekal klasik merupakan pilihan ideal untuk gaya yang malar segar. Berbeza dengan Julie dia memasang impian untuk menggayakan karya pereka tempatan dan salah seorang darinya adalah Hani Mokhta. Ini kerana dia merasakan sentuhan pereka ini bisa menterjemahkan personaliti setiap pengantin dengan begitu tepat sekali. “It goes like the saying ‘wear clothes, don’t let the clothes wear you.” Manakala
apabila menyentuh mengenai majlis yang bakal dijalankan, kedua mereka bersetuju mahukan sesuatu majlis yang ringkas.

PADANAN BUAT PASANGAN BERCINTA SEMESTINYA JAM TANGAN YANG HADIR DALAM SET YANG SAMA. LONGINES HYDROCONQUEST JUGA HADIR EDISI WANITA DENGAN MODEL L32844966 MANAKALA BUAT SI JEJAKA MODEL L37814966 JUGA DARI RANGKAIAN HYDROCONQUEST. JAKET TRENCH CORAK GENGGANG ILHAM RUMAH FESYEN BALLY.

Tidak mahu keterlaluan namun mereka mahu menyediakan pilihan juadah dan hidangan yang benar-benar lazat dan membangkit selera tetamu yang hadir. Bagi mereka elemen paling penting untuk majlis resepsi semestinya kehadiran insan penting seperti ahli keluarga dan teman rapat yang sentiasa berada di samping mereka selama ini. Tidak mahu perbualan ini berbunyi terlalu serius sengaja saya tanyakan mengenai kesibukkan kerjaya yang sedang dijalani oleh kedua mereka. Oleh kerana lapangan yang berbeza pastinya mereka melalui fasa pekerjaan yang berbeza. Fadlan yang telah melebarkan sayapnya berjinak-jinak ke layar perak meneruskan minatnya dengan baru sahaja menempatkan penggambaran buat sebuah filem yang diberi judul ‘Sangkar’ dan dijangka bakal menemui rakyat Malaysia sekitar Ogos tahun ini. Manakala semestinya buat dunia fesyen tempatan, persediaan menghadapi Aidilfitri yang bakal menjelang telah bermula lebih awal lagi khusus buat jenama-jenama fesyen termasuklah Kulet. Julie menyatakan betapa dia teruja menantikan hasil buah tangan oleh Kulet untuk musim raya kali ini. Tanpa memberikan sebarang pembayang dia membiarkan saya terus meneka-neka apakah konsep ataupun kelainan yang bakal dibawa oleh jenama ini. Tertanya juga saya adakah Fadlan membantu secara langsung dalam perjalanan perniagaan atau tidak langsung dalam mempromosikan jenama milik Julie dan teman perniagannya, Aina Syahirah. “Dalam situasi kami, saya percaya dia ada membantu kepada perkembangan jenama ini secara langsung dan tidak langsung. Sepertikan pasangan lain dia sentiasa membakar semangat saya untuk merancakkan lagi perniagaan dan menyokong perkembangan bisnes ini. Dia juga tidak lokek untuk membantu jika kami memerlukan bantuan tambahan apabila menjalankan kerja-kerja luar.” Tidak saya nafikan jika melewati paparan media sosial, kadang kala terlihat juga kehadiran Fadlan saat Kulet mengadakan promosi luar talian seperti kolaborasi bersama jenama aksesori Wanderlust & Co yang berlangsung tidak berapa lama dahulu.

See also
GLAM Cantik: Item Must Have Pilihan Editor

Menutup bicara sempat saya selitkan persoalan mengenai masa dan pilihan jam tangan yang dirasakan ideal buat pasangan ini. Buat Fadlan dia sentiasa menggemari jam tangan yang direka dalam gaya klasik seperti yang dipilih daripada jenama Longines yang digayakan untuk penggambaran ini. Berbeza dengan Julie, jam tangan yang dimilikinya mempunyai nilai sentimental yang tinggi kerana ianya merupakan pemberian oleh kedua orang tuanya. Mereka merupakan individu yang memperkenalkan saya kepada nilai apabila memiliki sebuah jam tangan mewah. “Bagi kami, apabila memiliki masa untuk bersama kami cuba untuk benar-benar fokus terhadap satu sama lain dan mengelakkan untuk berfikir atau berbincang mengenai pekerjaan atau perniagaan. We can really be anywhere and do anything together, because with the right person it’s always time well spent.”

Teks & Penyelaras SHAHRIL HADI HALIM Arahan Seni MAHIRAH NADZLIM Gambar KEENKY YONG/BLUINC STUDIO Solekan & Dandanan AYANG KAMELL