Sangeeta Krishnasamy, Changing The Face of Malaysian Cinema

Aktres Terbaik: Sangeeta Krishnasamy, Changing The Face of Malaysian Cinema

Sangeeta Krishnasamy tidak pernah bermimpi menjadi anak seni. Graduan undang-undang ini melarikan diri dari dunia korporat dan secara tidak sengaja terjun ke dunia seni. Tuah menyambar dirinya apabila dinobatkan Pelakon Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke 29. GLAM mendasari jiwa pelakon berkarisma ini.

 

Sangeeta Krishnasamy, 32, mampu membuat sesiapapun terpesona dengan kecantikannya. Beraut wajah India yakni mata bundar, hidung mancung dan gigi putih bak barisan mutiara. Kulit hitam manis menambahkan pesona dirinya. Pada 2017, Sangeeta menjadi perbualan ramai apabila dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia (FFM29), lewat filem ‘Adiwiraku’. Dan saingannya bukanlah calang-calang, Sangeeta berjaya mengetepikan nama-nama gah industri perfileman negara seperti Izara Aishah, June Lojong, Sharifah Amani dan Yeo Yann Yann untuk memenangi anugerah tersebut. Watak Cikgu Cheryl Ann Fernando ternyata meninggalkan kesan yang mendalam pada setiap jiwa yang menonton filem ini. Sejak itu, Sangeeta sudah memenangi hati rakyat Malaysia.

 

Graduan undang-undang dari University of London (kampus Malaysia) ini mula menjinak-jinakkan diri dalam bidang seni sejak 2011 lagi. Sangeeta langsung tidak menyangka yang dia akan memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik, sebaliknya dia berharap tercalon sebagai pelakon harapan. Tetapi dia yakin Filem ‘Adiwira’ akan menggondol anugerah filem terbaik, kerana mesej penceritaan yang disampaikan mengenai kisah pengorbanan guru yang cuba mengajar dan berbakti kepada anak-anak kampung ini terlalu hebat. “Sewaktu diumumkan sebagai Pelakon Terbaik, saya sungguh tidak percaya. Sebaik menerima anugerah itu, saya bukan letakkan diri saya yang mengambil anugerah itu, sebaliknya Cikgu Cheryl yang mengambil anugerah.”

 

Anak jati Kuala Lumpur ini asalnya tidak pernah terniat untuk ceburkan diri dalam dunia lakonan. Pada awalnya dia mahu menekuni bidang perubatan tetapi kerana belanja pembelajaran yang terlalu tinggi, Sangeeta mendengar nasihat mendiang bapanya meneruskan pengajian dalam bidang undang-undang. Kata Sangeeta, bapanya selalu nampak yang dia boleh menjadi Majistreet Negara, kerana itu dia bertegas mahu anaknya belajar undang-undang. Pun begitu Sangeeta tidak bekerja dalam bidang undang-undang tetapi dia tidak nafikan yang dia suka belajar undang-undang. Mengkaji sejarah negara dan belajar hak-hak asasi manusia dan sebagainya adalah satu pengetahuan yang amat berharga. Tamat pengajian, anak kedua daripada empat beradik ini cuba mengorak langkah untuk menjadi diplomat, dalam pada itu entah bagaimana dia ternampak papan tanda di ibu kota mengenai kursus teater selama 10 minggu. Hatinya terdetik untuk mencuba, dan daripada situlah dia berjumpa dengan Pengasas Teater Malaysia Joe Hasyam dan Faridah Merican di KLPac. “Dalam 10 minggu itu, terlalu banyak yang saya pelajari. Pada mulanya saya menyesal kerana azabnya mahu berlakon dan dalam masa yang sama perlu bertentang mata untuk menghafal dialog lagi. Nampak senang tetapi realitinya bukan mudah. Kerana dari cara tenungan mata itu akan menghidupkan watak yang di bawa. I definitely rebuilt my character, I gained more confidence as I have always have this self-conscious issue. Saya ini pemalu orangnya. Jadi selepas tamat kursus selama 10 minggu, saya menjadi lebih yakin dan berani. Dan daripada situ juga putik-putik cinta pada bidang lakonan mekar berkembang”, beritahu Sangeeta panjang lebar.

See also
Hubungan Kylie Jenner dan Kendall Jenner Sebenarnya Renggang?

 

DAMBAKAN FILEM WOMEN EMPOWERMENT Bagi Sangeeta, industri perfileman Malaysia sudah boleh membuka mata selepas kemenangan Filem ‘Adiwira’ sebuah karya yang kaya dengan nilai kemasyarakatan. Sangeeta berharap pengarah-pengarah filem selepas ini mampu mencipta filem yang memberi impak kepada masyarakat. “I am very picky when it comes to script. Apabila Eric Ong datang kepada saya dan menunjukkan skrip itu, I immediately say yes! Let’s do it! I have a very good feeling about this movie. Dan tak sangka naluri saya betul,” jelasnya lagi.

 

Sangeeta senang untuk menghayati wataknya sebagai cikgu Cheryl kerana sifat cikgu Cheryl seakan sama dengan dirinya. Dan dia berbangga dengan cikgu Cheryl yang sebenar yang sanggup tinggalkan dunia korporat untuk mengubah mentaliti anak-anak kampung dan bantu mereka mencapai tahap pendidikan setaraf pendidikan di bandar. “Ayah saya sangat fasih dalam bahasa Inggeris. Di rumah kami sekeluarga bertutur dalam bahasa Inggeris. Jadi ramai jiran-jiran mahu saya mengajar anak-anak mereka bertutur dalam bahasa inggeris. And I am happy to teach those kids. Kerana itu sebaik mendapat skrip ‘Adiwira’ ini, saya sangat teruja untuk jayakan filem ini.”

 

Sangeeta akui selepas kemenangannya dia dibanjiri dengan tawaran lakonan, tetapi seperti yang dikatakan dirinya sangat selektif dalam pemilihan skrip. Kriteria filem dambaannya adalah filem yang mempunyai jalan cerita women empowerment agar bisa memberi inspirasi kepada wanita di Malaysia untuk berjaya. Terbaru dia menerima lamaran daripada Ghaz Abu Bakar untuk menggandingkannya dengan Bront Palarae, hero Malaya yang menjadi impiannya untuk berlakon bersama. Butiran lanjut mengenai filem ini masih dirahsiakan. Mungkin ramai yang tidak tahu, Sangeeta tidak pernah menonton filem yang dilakonkannya. Dia terlalu malu untuk melihat kembali filem lakonannya baik di kaca tv atau panggung wayang. “Saya percaya pengarah filem ambil saya bekerja dengannya kerana dia yakin saya boleh menjiwai watak yang diberikan.If he corrects me, I will redo my acting, but I still won’t play back my scene even on set. Jika ada temuramah di radio, saya dengar saja suara di radio cepat-cepat saya tukar saluran lain. Saya ingat saya seorang sahaja begini, rupa-rupanya Johnny Depp jugak tidak menonton filemnya dan saya dapat tahu Bront Palarae juga lakukan benda yang sama. Jadi saya tidak peliklah!” Kata Sangeeta setiap kali di set penggambaran dia sepertikan diterbangkan ke dunia lain, dia seakan lupa ada kamera di depannya yang sedang merakam. Sangeeta bagaikan hanyut menjiwai watak dan benar-benar berasa dirinya adalah watak yang diberikan. Itulah rahsia Sangeeta nampak begitu telus dan natural di depan lensa.

See also
Inspirasi Perkahwinan Amal Alamuddin

 

KESEDERHANAAN PILIHAN SANGEETA Biarpun kemasyhuran baru menyambar dirinya, dia masih selesa menjadi dirinya. Sangeeta sedikitpun tidak terkesan dengan tumpuan yang diberikan kepadanya kebelakangan ini. Saya dapat rasai yang empunya diri sangat merendah diri sepanjang berbual dengannya. Jauh sekali ada sifat diva seperti segelintir pelakon baru popular yang lain. “I never come to this industry to be famous and break the record of this and that. Saya belakon dengan harapan watak yang saya lakonkan itu dapat menyampaikan mesej dan nilai-nilai murni kepada masyarakat sejagat.”

 

Sangeeta menyifatkan dirinya sebagai seorang yang suka membabitkan diri dalam projek-projek sukarelawan seperti melakukan kerja-kerja kebajikan. Dia telah menyertai UN (United Nation) untuk teruskan minatnya membantu orang yang memerlukan. “Saya warisi sifat ini daripada mendiang bapa saya. Waktu saya kecil di dalam dompet ayah hanya ada RM5, dia berikan kepada pengemis. Saya menyoal ayah kenapa ayah beri duit itu semua, ayah menjawab, “He needs money more than I do, we can always find money.” Sejak hari itu sampailah sekarang, saya kalau ada duit, saya bagi pada orang yang memerlukan. Itu membuatkan saya berasa seronok sangat dan puas. Ayah juga selalu beritahu kepada kami adik-beradik jangan mengikat diri dengan kebendaan. Never have attachment in life. You will be happy when you are not attached with your things. Kalau barang hilang, anggap kita sudah menyenangkan hidup orang lain yang memiliki barang kita. Tak perlu marah atau sakit hati. Senangkan hidup? Jangan terlalu sayangkan benda-benda yang mahal kita beli dunia ini bukannya kita boleh bawa mati pun.”

See also
Memo Cantik: Strobing VS Contouring

 

Saban tahun dia akan ke Australia untuk melawat abang sulungnya yang menetap di sana. Kata Sangeeta, selain ayah, abang juga memberi pengaruh besar dalam hidupnya untuk membuat kerja-kerja sosial. Abangnya di Australia juga bekerja untuk kerja-kerja sosial. Sangeeta berterus terang yang dia tidak ada meletakkan misi dalam hidup kerana itu hanya memberi lebih tekanan dalam hidup. “Saya tidak pernah berkata pada diri apabila cecah usia sekian saya mesti ada kereta sendiri, kemudian apabila berusia sekian saya kena beli rumah, kahwin ada anak dan seterusnya. Sebaliknya saya hargai apa yang saya ada, tanpa mengharapkan sesuatu yang besar. Jika ada, adalah, kalau tak ada, tak adalah, I enjoy every journey in my life,” sambungnya lagi.

 

Berbeza dengan selebriti lain, rutin kecantikan Sangeeta adalah tidak bersolek pada setiap hari. Dia mahu bebaskan wajahnya daripada sebarang bahan kimia. Dan Sangeeta mengamalkan diet ‘vegan’ yang merupakan pengamal makanan yang sepenuhnya berasaskan tanaman seperti biji-bijian, buah-buahan, sayuran, dan kekacang dan mengecualikan produk daripada haiwan. Selepas menukar dietnya, dia dapat lihat kulit wajahnya mulus dan tiada jerawat. “Tip cantik saya mudah sahaja, anda kena berasa bahagia dengan hidup anda dan hindari stress. Kerana stress sekarang antara penyebab kanser. Sejujurnya saya menjadi pelakon bukan sebab glamor. Jadi buat kuku ke, rambut ke, shopping baju ke bukanlah saya. Kalau nak tahu saya jarang bawa tas tangan pun. Semua saya letak di poket seluar sahaja. Sepatu sukan adalah teman baik saya ke mana pun saya pergi.”

 

Sebelum pulang sempat saya bertanyakan empunya diri sama ada dirinya sudah berpunya ataupun belum. Dia tersenyum lebar mendengar soalan saya. Ya, ternyata hati wanita yang berjiwa murni ini sudah dicuri. Sangeeta mengenali kekasih hatinya sejak tujuh tahun yang lalu. Dalam perhubungan cintanya, dia dan pasangan percaya kepada rukun mempercayai satu sama lain dan beri kebebasan kepada pasangan untuk menggapai impian masing-masing. Semoga Sangeeta terus mewarnai layar perak tanah air dengan menyampaikan mesej yang murni terutama buat wanita agar menjadi pemangkin semangat buat semua wanita.

 

Dipetik daripada GLAM Malaysia Isu Januari 2018