GLAM Deko Diari – Katalog 2018 IKEA
Seperti kebiasannnya, jenama kelengkapan dan perabot kediaman, IKEA menghidangkan seleksi idea dan produk terbaru untuk menceriakan lagi kediaman untuk tahun akan datang. Dengan merangkumkan trend-trend dekorasi yang dijangka hangat untuk tahun 2018, ia mengangkat tema ‘Wujudkan Ruang Untuk Kehidupan’. Konsep ini menyediakan cara-cara baharu kehidupan di ruang tamu bagi membantu pemilik kediaman mencipta ruang terbaik untuk kediaman.
Melalui katalog IKEA 2018, kami ingin menginspirasikan pengguna Malaysia untuk melangkau kekangan ruang dan memberi tumpuan kepada perkara yang penting dalam kehidupan mereka. Kami sedar bahawa cara kita berjumpa dengan orang lain, bersosial dan menjalani kehidupan seharian telah berubah – terutamanya di ruang tamu. Oleh itu, penyelesaian kami yang direka khusus, mampu milik dan lestari bukan sahaja memenuhi keperluan fungsi tetapi juga kesejahteraan emosi insan,” kata Gerard Jansen, yang bercakap bagi pihak IKEA Malaysia semasa pelancaran.
Teknologi turut menjadi elemen yang mempengaruhi aspek kehidupan dan cara kita bersosial, bekerja dan berehat dewasa ini. Keadaan gaya hidup di rumah sudah banyak berubah namun masih banyak kediaman yang belum berjaya mengadaptasi dengan cara kehidupan baharu ini. Lantas Ikea mengambil peluang ini untuk mengilhamkan idea teknologi di kediaman. Untuk itu katalog kali ini memberi fokus kepada ruang tamu ia turut menjadi nadi aktiviti harian di kediaman serta langkah memenuhi keperluan asas manusia untuk ekspresi diri.
Untuk katalog kali ini, lima perkara yang menjadi keutamaan adalah produk baharu yang menarik, inspirasi segar dan petua daripada pakar selain kolaborasi pereka serta tawaran harga lebih rendah juga seleksi promosi makanan IKEA.