Longchamp Lancar Platform Personalisasi My Pliage Signature! - Glam Malaysia

Longchamp Lancar Platform Personalisasi My Pliage Signature!

Terokai My Pliage Signature oleh Longchamp, platform dalam talian yang meraikan seni personalisasi beg dengan sentuhan moden, lestari dan cerminan kreativiti yang peribadi.

Dalam dunia fesyen yang semakin menghargai keaslian dan ekspresi diri, Longchamp kini memperkenalkan dimensi baharu keindahan peribadi melalui pelancaran My Pliage Signature. Ia sebuah platform eksklusif dalam talian yang mentakrifkan semula seni personalisasi dalam dunia fesyen. Dicipta sebagai ruang kreatif untuk para pencinta gaya, platform ini memberi kebebasan kepada setiap individu untuk mereka bentuk beg mengikut cita rasa dan keperibadian mereka sendiri. Lantas, ia menjadi sebuah pengalaman membeli-belah serta satu bentuk ekspresi diri, yang mana setiap pilihan warna, bentuk dan perincian menjadi cerminan keunikan yang nyata peribadi.

Seni Personalisasi Yang Eksklusif, Dengan My Pliage Signature Oleh Longchamp

Melalui My Pliage Signature, pelanggan boleh memilih daripada pelbagai format beg, daripada beg perjalanan hingga tote, beg mini hingga ke sarung komputer riba. Setiap reka bentuk boleh diserlahkan dengan palet warna yang luas, merangkumi rona klasik hingga tona musim semasa. Motif eksklusif seperti jalur dan hati menambah sentuhan playful pada setiap rekaan. Perincian kecil turut boleh disesuaikan seperti butiran huruf awal nama dalam pelbagai gaya tipografi, potongan kulit, hingga kemasan logam yang menambah elemen sofistikated. Bahagian flap menonjolkan kehalusan seni kulit Longchamp melalui teknik hot-stamping, manakala mesej peribadi seperti “Always with you” atau “Dare to dream” dicetak di bahagian dalam sebagai sentuhan istimewa yang bersifat sentimental.

See also
Keseruan Acara Eksklusif Emporio Armani Bersama Tetamu VIP

Menjunjung nilai kelestarian, setiap beg My Pliage Signature dihasilkan mengikut tempahan di bengkel Longchamp di Segré, Perancis, menggunakan poliester 100% kitar semula daripada botol plastik terpakai. Teknologi cetakan sublimasi yang digunakan bukan sahaja mesra alam tetapi juga memastikan warna kekal terang dan motif kekal jelas, mencerminkan komitmen jenama yang berasal dari Paris ini terhadap inovasi lestari.

Dilahirkan pada tahun 1993 oleh Philippe Cassegrain, Le Pliage telah lama menjadi ikon global Longchamp yang diinspirasikan oleh seni lipatan origami Jepun. Beg yang ringan, boleh dilipat dan serba guna ini terus berevolusi dari satu generasi ke generasi seterusnya tanpa kehilangan identitinya. Melalui My Pliage Signature, warisan itu diterjemahkan ke arah yang lebih moden, peribadi, berani dan lestari. Longchamp bukan hanya menginjek nada kreativiti, tetapi menegaskan semangat individualiti yang menjadikan setiap beg lebih sekadar aksesori, sebaliknya satu karya yang lebih sentimental kerana dapat dicipta oleh dan untuk pemiliknya sendiri. Rasai pengalaman peribadi ini di laman web rasmi Longchamp My Pliage Signature.

See also
Kemaruk Front Row!

Artikel berkaitan: Jejak Anggun Longchamp, Koleksi Kasut Terkini Untuk Diterokai

Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.