Michael Kors SS26 Membuka Tirai Minggu Fesyen New York
Menjelang kembali Minggu Fesyen New York untuk tahun ini, Michael Kors SS26 menandai pertunjukan yang menyingkap harmoni antara tropika dan metropolitan, sebuah ode fesyen untuk jiwa pengembara moden di tengah kota.
Pada minggu pertama Minggu Fesyen New York, ruang sebuah terminal penghantaran berusia seabad di Chelsea bertukar menjadi pentas yang menyulam antara bumi dan langit. Michael Kors, maestro yang tidak pernah jemu menafsirkan gaya hidup kota dengan sentuhan global, meluncurkan koleksi Musim Bunga/Musim Panas 2026 sebagai sebuah puisi perjalanan. Nada warna tanah, dari rona coklat hangat hingga putih yang menawa, menjadi latar bagi helaian yang menyalin rasa mengembara. Helaian busana seperti kaftan longgar, seluar santai serta potongan yang bernafas sofistikated, seakan menjemput penonton menghirup udara tropika meski berada di tengah kota Manhattan.

#NYFW Michael Kors SS26: Keanggunan Santai Bertemu Ritma Kota
Tetamu istimewa seperti Anna Wintour, Suki Waterhouse, Law Roach dan Gwyneth Paltrow antara yang menyaksikan naratif ini berkembang, seolah-olah Kors menjemput mereka dalam sebuah odyssey peribadi. Inspirasi beliau hadir daripada destinasi eksotik seperti Indonesia dan Polinesia Perancis, di mana penduduknya mengajar erti keanggunan tropika dalam kesederhanaan. Koleksi kali ini mencari cara bagaimana pakaian yang lahir daripada panas tropika dan hembusan angin laut boleh diterjemah menjadi gaya kota moden. Hasilnya adalah gabungan antara kepraktisan metropolitan dan kelembutan alam, lantas menjadi sebuah keseimbangan fesyen yang segar dan penuh makna.

Barisan model seperti Amelia Gray Hamlin dan Alex Consani memperagakan pertunjukan dalam helaian berona coklat, dan hitam, dihidupkan dengan kilauan perhiasan dramatik yang membangkitkan semangat musim panas. Di tangan Kors, neutral bukan sekadar palet selamat, tetapi kanvas untuk eksperimen baharu. Baginya, rona hitam, kelabu dan coklat seperti warna yang menenangkan bagi jiwa yang sibuk, namun sentiasa bergerak dari satu kota ke kota lain, dari satu benua ke benua lain.

Dalam koleksi ini, Michael Kors menginjek elemen antara bumi dan keanggunan. Kedua-duanya boleh berdansa serentak dalam harmoni yang mengalir seperti perjalanan itu sendiri. Koleksi RTW Michael Kors ini adalah surat cinta kepada pengembara moden, buat mereka yang merindui laut namun hidup di kota, mereka yang mendambakan kebebasan tetapi masih ingin kelihatan rapi di hadapan dunia.

Artikel berkaitan: Panduan Fesyen Musim Luruh 2023, Dari Coach ke Michael Kors
Syahirah Hussain
Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.

