Kisah Inspirasi Tiga Adik-Beradik Bangunkan Calaqisya

Bukan Sekadar Fesyen, Ini Rahsia Kejayaan Jenama Calaqisya!

Kesetiaan pelanggan Calaqisya yang turut membesar bersama jenama ini adalah momen yang paling dihargai oleh tiga adik-beradik ini.

Dalam dunia fesyen yang sentiasa berubah, tiga adik beradik iaitu Farah Ilyana, Farah Mislina dan Farah Azlina telah menubuhkan jenama Calaqisya pada 2010. Dikenali dengan rekaan yang selesa dan berkualiti, mereka menggabungkan kreativiti dan keaslian dalam setiap koleksi. Dengan latar belakang yang berbeza tetapi visi yang sama, mereka memberi inspirasi kepada generasi muda untuk mengejar impian mereka dalam industri ini. Lebih membanggakan, Calaqisya kini dibuka di pusat beli-belah The Exchange TRX, KL East Mall, I-City Mall dan mempunyai butik di beberapa buah negeri antaranya di Johor Bahru, Johor dan di Ipoh, Perak.

Kekal Harmoni Hadapi Cabaran

Berkongsi tentang cabaran bekerjasama dengan adik beradik dalam menguruskan perniagaan, Farah Mislina atau lebih mesra disapa Farah lebih memilih untuk bekerja dengan adik-beradiknya kerana lebih mudah untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi. “Adik-beradik macam mana bergaduh sekalipun pasti akan baik semula.” Tambah Azrina, hubungan mereka yang sangat rapat sejak kecil dan didikan ibu mereka menjadikan mereka saling mengambil berat walaupun dalam situasi yang sukar. Bagi mereka, ikatan keluarga adalah pegangan utama yang membantu mengatasi sebarang masalah.

Dalam dunia perniagaan, semestinya mempunyai tekanan, dan cara mereka untuk mengatasinya adalah dengan berusaha tidak mencampur adukkan masalah kerja dengan kehidupan peribadi. Memandangkan mereka tinggal bersebelahan dan anak-anak membesar bersama, Farah menekankan sifat untuk tidak berasa dominan, saling memahami dan meletakkan batas masing-masing demi menjaga keharmonian hubungan adik-beradik. “Saya dah kenal adik-beradik saya sejak kecil, jadi saya tahu bila nak berundur dan bila mereka nak push saya,” ujar Azrina.

Memiliki latar belakang pendidikan yang berbeza, pada awalnya mereka mendapat tentangan daripada bapa mereka. Farah mendedahkan bapanya tidak setuju dengan pilihan mereka untuk terjun ke dunia perniagaan kerana beliau lebih mengharapkan mereka mengikuti bidang akademik seperti kejuruteraan atau kimia. Namun, setelah melihat keseriusan dan kemampuan anak-anaknya dalam menguruskan perniagaan, bapa mereka akhirnya menerima keputusan tersebut dan menyatakan rasa bangga secara diam-diam. Kata Azrina, bapanya sentiasa bersedia untuk memberi bantuan ketika diperlukan. “Bila kami memerlukan bantuan, dia sanggup tawarkan pertolongan dari segi nasihat tentang perihal kerja. Dia bukan sejenis yang lepas tangan. Sokongan keluarga itu sangat penting bukan dari wang ringgit tapi emosi dan nasihat”. Manakala ibu mereka memberikan sokongan yang penuh, walaupun bimbang dengan masa depan anak-anaknya.

See also
TUMI Perkenalkan Semula Bagasi Voyageur, Menggunakan Bahan Kitar Semula

Sokongan daripada suami juga memberikan impak yang besar dalam kelangsungan jenama Calaqisya yang bukan hanya membantu dalam perniagaan, malah dalam melakukan kerja-kerja rumah. Menurut Farah, suami mereka turut berkongsi kepakaran dalam membangunkan jenama ini bersama-sama dalam bidang pemasaran, operasi dan teknologi maklumat. “Dari segi rumah tangga, Alhamdulillah suami-suami kami sangat membantu dan rajin. Mereka tak ada konsep berkira buat kerja rumah. Bila ada bantuan sebegini, kita tak rasa tertekan soal rumah selepas balik dari kerja,” kongsi Farah.

Visi & Strategi Calaqisya

Tidak terkecuali, Calaqisya juga mempunyai impian jangka masa panjang sebagai sebuah perniagaan keluarga iaitu memberi fokus kepada ketersediaan produk dan memastikan kebajikan pekerja terjaga. Mereka mahu memastikan produk bestseller mereka sentiasa ada stok menerusi pembelian online mahupun di kedai mereka supaya pelanggan dapat membelinya. Untuk mencapai matlamat ini, mereka berusaha untuk merancang aliran tunai dengan lebih baik. Dari segi persekitaran kerja, mereka ingin membina budaya kerja yang positif dan berstruktur sehingga membuatkan pekerja berasa rugi untuk meninggalkan Calaqisya selain menjadi pilihan utama untuk orang ramai mencari peluang pekerjaan.

Sudah menembusi pasaran di Singapura, Calaqisya kini merancang untuk memperkenalkan jenama mereka di Indonesia. “Macam Indonesia, kami nak masuk tapi mereka sangat kuat dengan barang lokal mereka. Kami kena bekerja keras dan ambil masa sedikit. Untuk negara lain susah sedikit sebab mereka ada empat musim, jadi itu perancangan yang lain. Buat masa sekarang, perancangan 5 tahun lagi adalah Indonesia dulu.”

Sebagai salah satu jenama pertama yang mencipta tudung stetoskop, Calaqisya terus berinovasi dengan memperkenalkan produk baru. Mereka kini menawarkan anak tudung dan telekung oderless dan anti-bakteria yang tidak perlu dicuci setiap minggu, serta mampu bertahan antara tiga minggu hingga sebulan bergantung kepada individu. Selain itu, mereka akan melancarkan koleksi sportswear dengan teknologi penghalau nyamuk yang sesuai dipakai untuk aktiviti luar seperti hiking. Dengan tagline “as comfy as clothes can get”, Calaqisya sentiasa memastikan keselesaan pengguna mereka.

See also
LUSH Malaysia Anjur Program Penuh Makna Bersama Club Med Bintan

Selain mengutamakan keselesaan, Calaqisya memberi perhatian kepada kesesuaian potongan pakaian agar dapat dipakai oleh semua tanpa mengira bentuk badan. “Contohnya bila time fitting, kami akan minta staff kami yang different sizes untuk cuba.” Tujuan ini bagi memastikan rekaan baju Calaqisya sesuai untuk tubuh yang berbeza, termasuk plus size dan petite. Menurut Farah,  pakaian itu adalah untuk melengkapi penampilan individu, bukannya sebaliknya. Walaupun rekaan mereka longgar dan plain, menghasilkan pakaian yang simple adalah lebih sukar dan merupakan salah satu cabaran buat mereka.

Bagi mengekalkan sesebuah perniagaan untuk kekal relevan bukan sesuatu perkara yang mudah dan Calaqisya menggunakan pendekatan inovatif dalam pemasaran dan rekaan. Terinspirasi dengan drama Korea, Calaqisya antara jenama yang pertama menggunakan 3D untuk video pemasaran mereka. Selain itu, Azrina memberitahu mereka tidak pernah berhenti melakukan penyelidikan untuk memperbaiki konsep dan produk mereka. Dengan usaha ini, mereka berjaya menarik perhatian pelanggan dan membina jenama yang kuat dalam industri. “Orang tengok Calaqisya bukan sekadar jual baju tapi mereka boleh nampak sisi kreatif kami,” ujar Yana.

Mengetengahkan fesyen modest, Calaqisya mempunyai cabarannya tersendiri. Jelas Yana, tidak semua orang boleh menerima rekaan pakaian yang longgar dan berasa kurang yakin menggayakannya. “Selalunya apa yang salah adalah pemilihan kasut dan tudung. Sebab tudung nak padankan dengan baju yang paling susah. Kalau you pandai padankan, baju itu besar pun you akan nampak cantik.” Tambah Azrina, fesyen modest sering kali disifatkan sebagai tidak bergaya, dan untuk seimbangkan antara kesederhanaan dan gaya menjadi satu cabaran terutama kepada mereka yang tidak suka bersiap.

Calaqisya sentiasa mengambil kira maklum balas daripada pelanggan, namun tetap berpegang teguh kepada identiti dan arah tujuan mereka. Yana percaya bahawa tidak semua cadangan sesuai dengan konsep Calaqisya. Mereka juga mengutamakan fungsi dalam rekaan, seperti poket pada skirt serta crotch yang besar pada seluar dirasakan sangat penting bagi wanita. Oleh itu, mereka memastikan bahawa feedback dari pelanggan tidak mengubah identiti Calaqisya, sebaliknya mengambil berat terhadap keselesaan dan fungsi. “Kadang-kadang saya jujur sahaja yang Calaqisya tidak macam itu dan saya akan suggest-kan brand tempatan yang lain,” kata Azrina.

See also
Tommy Hilfiger & Shawn Mendes Hadirkan Koleksi Berteraskan Kelestarian

Kesepakatan Dalam Kreativiti

Walaupun bergabung tiga idea dan mempunyai citarasa yang berbeza, mereka tetap berpegang kepada konsep utama Calaqisya. Yana berkata, ketiga-tiga mereka juga memberi perhatian kepada feedback daripada pelanggan bagi memastikan produk mereka sesuai dan boleh diterima oleh pasaran di Malaysia. Dengan mendengar antara satu sama lain dan mempertimbangkan keperluan pelanggan, mereka dapat menemukan jalan tengah yang efektif dalam proses membuat sesuatu keputusan. “Kadang-kadang salah seorang akan setuju sahaja dengan idea masing-masing. Kalau saya nak buat sesuatu saya akan push it sampai dapat. Adakalanya saya biarkan mereka pula buat keputusan,” ujar Farah.

Sepanjang 14 tahun bersama Calaqisya, momen terindah adik-beradik ini adalah semasa acara preloved party dan warehouse sales yang diadakan untuk meraikan ulang tahun kelapan jenama ini. Pelanggan yang datang bersama anak-anak mengingatkan mereka tentang sokongan yang telah diberikan sejak hari pertama mereka beroperasi. Ada juga yang membawa ibu mereka membeli-belah dan memuji tentang keselesaan pakaian Calaqisya. Mereka turut terharu melihat pelanggan yang berkenalan sejak zaman universiti kini membawa pasangan dan anak-anak mereka. Lebih bermakna apabila melihat anak-anak remaja pelanggan kini mula memakai rekaan mereka. Tambah Yana, terdapat juga pelanggan yang sentiasa berkongsi gambar-gambar mereka mengenakan pakaian Calaqisya. “ Ada juga yang kongsi gambar mereka melalui DM pakai Calaqisya sebab tak ada masa nak post di Instagram, jadi mereka update sahaja kepada kami.”

Setiap perniagaan pasti ada pasang surutnya, namun Farah menekankan pentingnya belajar daripada kesilapan dan tidak mudah berputus asa meskipun badai melanda. Menurut Yana, kesalahan yang dilakukan sebenarnya menjadikan mereka lebih kuat dan membantu mereka memahami pengurusan syarikat dengan lebih baik. Dalam pada itu, Azrina pula berkongsi strategi menghadapi masalah besar dengan tidak membuat keputusan secara melulu dan perlu bertenang. “You kena dengar, tengok dan baca situasi dahulu lepas itu baru buat keputusan.” Mereka semua bersetuju bahawa pengalaman ini, walaupun mencabar, akan menjadi kenangan yang memberi pengajaran dan bukan sesuatu yang menakutkan.

Artikel Berkaitan: CalaQisya, Jenama Merai Fesyen Lebih Sopan