Fesyen ‘Rich and Famous’ Di Minggu Fesyen Paris 2024
Minggu Fesyen Paris menyaksikan kehadiran bintang ternama dalam gaya tersendiri.
Pertunjukan pentas yang bermula pada 26 Februari lalu memperlihatkan koleksi pakaian wanita daripada jenama tersohor seperti Valentino, Stella McCartney dan Dior. Ia berakhir pada 5 Mac 2024.
Dan dari awal hingga akhir, senarai bintang terkenal muncul dalam persalinan memukau mata. Antaranya Anna Wintour, Kim Kardashian dan David Beckham.
Lihat gaya mereka di Minggu Fesyen Paris yang lalu
Kim Kardashian
Bintang realiti dan usahawan ini menggayakan trend mob-wife kala menghadiri pameran Margiela. Fesyen popular di TikTok ini kebiasaannya termasuk kot besar berperincian bulu, aksesori hitam dan cetakan harimau bintang dalam apa jua bentuk untuk kelihatan mewah dan bergaya. Nampaknya Kim berjaya menggayakan trend ini.
Naomi Campbell
Supermodel ini menyarung persalinan Roger Vivier yang menampilkan skirt suede, baju mesh dan kot trench stail tuksedo. Bagaimanapun aksesori Naomi yang benar-benar menarik perhatian. Dia menyarung kasut tumit tinggi bertatah kristal, anting-anting berlian dan jam tangan mewah — simbol status pada tahun 2024.
David Beckham
Wristlet atau klac dengan tali halus yang dipakai di pergelangan tangan popular pada tahun 2010-an. Dan ia mungkin membuat kemunculan semula tahun ini dek pengaruh David. Bekas atlet itu dilihat menggayakan wrislet klasik Hermes bersama persalinan kasual kala menghadiri Minggu Fesyen Paris.
Jennifer Lawrence
Aktres ini membuktikan trend quiet luxury akan terus mekar tahun ini. Setiap orang mempunyai versi tersendiri — daripada memakai simbol status popular seperti minyak wangi mewah kepada menyarung pakaian berjenama yang kelihatan lebih kasual daripada biasa, seperti yang dilakukan Jennifer. Ibu kepada seorang cahaya mata ini hadir ke pertunjukan Dior dalam busana tiga-helai rona kelabu bersama cermin mata hitam dan beg tangan jenama itu.
Anna Wintour
Elemen flora tidak akan pupus ditelan zaman, seperti yang dibuktikan Ketua Pengarang Vogue ini. Dia dirakam menggayakan kot suede hijau berperincian bunga pink dan kuning pada beberapa pertunjukan Minggu Fesyen Paris. Namun ia tidak terhenti di situ. Anna turut menyarung gaun cetakan flora yang dipadankan bersama but merah kundang dan cermin mata hitam.
Foto: Getty Images