Perkembangan Terkini Kamal Adli & Uqasha Senrose Selepas Insiden Ngeri - Glam Malaysia
Perkembangan Terkini Kamal Adli & Uqasha Senrose Selepas Insiden Ngeri

Perkembangan Terkini Kamal Adli & Uqasha Senrose Selepas Insiden Ngeri

Hampir sebulan Kamal Adli terlibat dalam kejadian diserang lelaki tidak dikenali menggunakan cota besi ketika sesi bertemu peminat di Singapura.

Ramai peminat tertanya-tanya bagaimanakah perkembangan Kamal dan isteri, Uqasha Senrose memandangkan tidak banyak maklumat yang dikongsi mereka terutama aktor itu sendiri di akaun media sosialnya. Bintang Khilaf Asmara, Nelydia Senrose berkongsi keadaan terkini kakak dan abang iparnya sewaktu menghadiri majlis berbuka puasa anjuran pereka fesyen tersohor Rizman Ruzaini baru-baru ini.

Foto: Minaz

Kamal Adli dan Uqasha Senrose Masih Trauma

Menurut Nelydia, kedua-duanya berada dalam keadaan baik namun masih ketakutan kerana insiden itu baru sahaja berlaku. Kamal Adli khususnya berasa risau untuk keluar dan mengambil kesempatan ini untuk berehat bagi memulihkan diri dan semangatnya.

“Mereka perlukan semangat untuk menjalani kehidupan seharian. Kamal dalam keadaan berjaga-jaga kerana kes masih dalam siasatan. Oleh kerana kami tidak tahu motif penyerang, jadi Kamal tidak berani untuk keluar bebas. Mungkin ambil tempoh ini untuk berehat.” Dia menambah, Uqasha kini sudah kembali bekerja dan sering ditemani ke mana-mana. Menerusi perkongsian di Instagram aktres berusia 31 tahun itu dilihat sedang sibuk menjalani penggambaran di set.

See also
Apakah Makna Baharu Kepada ‘Keselamatan’ Dalam Dunia Automotif?

Keluarga Turut Terkesan Dengan Kejadian ‘Berdarah’

Neydia memaklumkan insiden yang berlaku memberi kesan mendalam terhadap mereka sekeluarga kerana turut berada di tempat kejadian.

“Ahli keluarga lain berada di sana ketika itu kecuali saya, emak dan Raysha. Kalau ikutkan saya pun patut pergi tetapi tak berkesempatan kerana ada hal. Saya dan keluarga memang trauma selepas kejadian itu. Sekarang ini jika mahu keluar ke mana-mana kami lebih berhati-hati dan tidak akan berseorangan.”

kamal adli

Foto: The Star

Kejadian malang yang menimpa Kamal Adli berlaku pada 12 Mac lalu sewaktu pasangan suami isteri itu menjayakan acara Hari Raya Mega Sale 2023 di Dewan Ekspo Singapura. Dia mengalami kecederaan di bahagian kepala, wajah, bawah mata serta badan dan telah selamat menjalani pembedahan. Penyerangnya yang merupakan seorang lelaki berusia 34 tahun direman selama dua minggu dan diarahkan menjalani pemeriksaan psikiatri di Institut Kesihatan Mental Singapura.

 

Baca: Penyatuan Rahsia Uqasha Senrose & Kamal Adli