Dikhabar Telah Bertunang, Ini Nilai Cincin Berlian Pear Di Jari Manis Adele - Glam Malaysia
Dikhabar Telah Bertunang, Ini Nilai Cincin Berlian Pear Di Jari Manis Adele

Dikhabar Telah Bertunang, Ini Nilai Cincin Berlian Pear Di Jari Manis Adele

Berita pertunangan Adele kembali hangat diperkatakan setelah penyanyi itu dirakam menyarung sebentuk cincin berlian mewah di jari manisnya ketika membuat persembahan di Las Vegas baru-baru ini.

Laman gosip Deuxmoi yang sering mendedahkan rahsia percintaan selebriti mengesahkan perkara itu dan mendakwa dia mendapat berita mengenai pertunangan Adele dan teman lelaki, Rich Paul daripada sumber terdekat. Malah pasangan yang telah menjalin hubungan selama lebih dua tahun itu dilaporkan sedang sibuk membuat persiapan majlis perkahwinan yang bakal berlangsung pada musim panas tahun ini.

Foto: Instagram Deuxmoi

Adele

Foto: Instagram Deuxmoi

Bagaimanapun ini bukanlah kali pertama cincin itu diperlihatkan kepada umum. Adele dirakam menyarungnya buat kali pertama ketika menghadiri Brit Awards pada Februari 2022 sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa pasangan itu telah pun bertunang sejak tahun lalu.

Cincin Lorraine Schwartz yang memukau mata itu menampilkan sebutir berlian 10 karat berbentuk pear yang dianggarkan bernilai sekitar RM4.5 juta.

adele

Foto: WireImage

Walaupun cenderung untuk tidak mendedahkan kehidupan peribadinya kepada umum, bintang berusia 35 tahun itu tidak menyembunyikan rasa cintanya terhadap Rich, ejen sukan tersohor bertaraf jutawan. Pasangan itu bertemu buat kali pertama di sebuah parti ulang tahun kelahiran tiga tahun lalu dan mula menjalin hubungan romantis pada 2021.

See also
Courteney Cox Dedah Penyesalan Melakukan Pembedahan Plastik

Dalam temu bual eksklusif bersama Elle pada bulan Ogos 2022, Adele meluahkan rasa cintanya terhadap Rich dan rancangan masa hadapan mereka. “Saya tidak pernah merasai cinta seperti ini. Saya obses dengannya.”

Pada bulan Disember, dia memberi penghormatan kepada Paul dengan mendedikasikan lagu ulang tahun kelahiran sewaktu membuat persembahan di Las Vegas. Katanya kepada penonton, “Saya menyayanginya lebih daripada kehidupan saya sendiri, jadi bolehkah kita semua mengucapkan selamat hari lahir kepadanya? Namanya adalah Rich!”.

Pasangan itu menyambut ulang tahun pertama percintaan mereka tahun lalu dengan membeli rumah agam di Beverly Hills yang sebelum ini dimiliki oleh aktor Sylvester Stallone, di mana mereka bercadang untuk tinggal bersama anak masing-masing sebagai sebuah keluarga besar.

Foto: Getty Images

 

Foto: Getty Images(2)

Baca: Ukiran Mesej Istimewa Pada Cincin Pertunangan Jennifer Lopez