Miss Dior Meraikan Kehidupan Pasca Pandemik
Jika debutnya 74 tahun dulu dicipta sebagai meraikan kehidupan selepas perang dunia kedua, Miss Dior yang baharu ini bagaikan satu keraiaan meraikan kehidupan pasca pandemik kerana sememangnya haruman ini dicipta sebagai penenang jiwa agar berasa lebih gembira.
Dalam sejarah Dior, Miss Dior antara ‘nama’ penting kerana itulah haruman sulung Christian Dior yang menjadi puja-puji Wanita di zaman itu. Tahun 1947 menyaksikan lahirkanya Miss Dior yang cukup menonjol dengan bau hasild aripada himpunan bunga-bungaan terpilih. Miss Dior cukup sinonim sebagai sebuah haruman yang mencambah rasa gembira kerana haruman ini asalnya dicipta oleh Christian Dior dengan niat mahu menghidupkan kembali warna-warni kehidupan selepas dunia diselubungi kegelapan akibat Perang Dunia Kedua . Haruman ini dilihat sebagai lambang pengharapan kepada kehidupan yang lebih baik.
Sejak dari pelancarannya, Miss Dior menjalani pelbagai transformasi, baik dari segi bau mahupun penampilan pada kelalangnya. Ada sahaja idea baharu disuntik untuk terus mengidupkan Haruman ikonik ini. Seiring dengan niat awalnya mahu mencambah kegembiraan, jadi minyak wangi ini haruslah dihembus dengan nafas baharu agar rasa gembira dan seronok itu terus hidup.
Miss Dior Eau De Parfum
‘Wake up for beauty, wake up for love’, itulah tagline untuk kempen terbaru Miss Dior. Masih mengekalkan keharuman aroma bunga-bungaan, namun kali ini lebih banyak haruman digunakan untuk menghasilkan bau yang cukup mewah dan menusuk. Bagi Dior bunga-bungaan bagaikan satu lambang jitu mendefinisi kegembiraan. Bunga sahaja pada baunya, bagi Dior kelopak kuntuman bunga yang beraneka warnanya juga mencambah bahagia.
Miss Dior yang baharu ini masih mendapat sentuhan pakar Haruman Dior Sendiri, Francois Demachy. Bunga rmawar Masih menjadi ‘permaisuri’ dalam komposisi haruman ikonik ini. Bau ros ini diiringi kesegaran kelopak bunga iris dan juga aroma semerbak peoni.
Apa yang menarik tentang bunga ros yang digunakan dalam Miss Dior yang baharu ini ialah ia tidak pernah digunakan sebelum ini. Francois Demachy menamakannya ‘sweet love’. Menurut cerita, Demachy bersama-sama Carole Biancalana (pembekal bunga ros buat Dior) terjumpa bunga ros di taman bunga Dior. Kelopaknya bagaikan baldu, cukup anggun dan kelopak merah samar mutiaranya tidak terlalu rapuh. Dari situ Demachy terilham mahu menghasilkan Miss Dior yang lebih menyerlah, elegan, sedikit sensual namun baunya masih ringan, tidak menusuk-nusuk hidung.
Haruman ini juga ditemani dengan bau-bau kelopak bunga lili, aprikot serta percikan sedikit bau kayu-kayan yang muncul daripada biji tonka, benzoin, kayu cendana dan ada juga percikan bau vanila.
Tambah menarik botol haruman Miss Dior kali ini dihiasi dengan reben couture yang baharu, lebih menyerlah dan cukup feminin. Reben memang begitu sinonim dengan haruman Miss Dior, dan reben baharunya ini mendapat sentuhan daripada Julien Faure. Dior menganggap reben yang menghiasi ‘leher’ botol Miss Dior adalah satu identiti kepada rumah fesyen Paris itu, juga satu lambang sebuah jenama yang berasal dari Perancis, tempat lahirnya terma ‘couture’.
Baca: Rouge Dior & Mono Couleur Couture Edisi Terhad
Miss Dior, Miss Portman
Aktres, Natalie Portman terus menjadi pilihan Dior untuk mewakili Miss Dior di era ini. Keanggunan ‘The Black Swan’ ini terus menjadi igauan dan kesukaan wanita seluruh dunia. Untuk kempen Miss Dior yang baharu ini, Maria Grazia Chiuri menciptakan sebuah gaun khas buat kempen ini. Menurut Maria gaun tersebut diinspirasikan daripada haruman Miss Dior sendiri sebagai haruman sulung Christian Dior, gaun ini diperincikan dengan bunga ‘millefiori’ dalam percikan warna biru terang, merah jambu dan kuning. Menurut cerita gaun tersebut mengambil masa selama 500 jam untuk disiapkan.