Memaksa Diri Untuk Positif Boleh Memudaratkan Kesihatan Mental? - Glam Malaysia
Memaksa Diri Untuk Positif Boleh Memudaratkan Kesihatan Mental?

Memaksa Diri Untuk Positif Boleh Memudaratkan Kesihatan Mental?

Walaupun bersikap positif itu bagus untuk kesihatan mental, usah abaikan emosi negatif hanya untuk berada sebaris dengan teman yang ‘nampak’ bahagia di media sosial . GLAM berkongsi cara menangani emosi negatif anda dengan lebih baik.

Anda biasa dicurah dengan kata-kata positif saat diri dilanda dugaan yang paling dalam. Antara cabaran yang sering kita dengar mungkin bila ditinggalkan kekasih, badan semakin ‘menebal’ walau sudah mencuba bermacam helah pelangsingan badan. Atau yang terkini, bila terpaksa menjaga kesihatan mental dan meneruskan kehidupan di kala wabak jahat sedang berleluasa.

Ada kalanya memaksa diri untuk menjadi positif adalah sesuatu yang mudah diluah namun sukar sekali dilakukan. Ia boleh menyakitkan untuk jangka masa panjang. Yang sering saya kongsikan kepada rakan dan keluarga kala sudah tidak tertanggung lagi perasaan yang memberatkan ini adalah buat temu janji dan berjumpalah dengan pakar untuk mendapatkan nasihat kesihatan dengan kadar segera. Usah malu untuk bercerita tentang kesihatan mental bila kita memerlukannya kerana ia adalah tunjang kepada segala-galanya.

See also
Nama Unik Pilihan Scarlett Johansson & Suami Buat Cahaya Mata Pertama

Dan apabila kedatangan pandemik melanda dunia, di mana ada antara kita yang kehilangan pekerjaan, kehilangan nyawa insan tersayang dan resah menanti berita dari hari ke sehari. Apatah lagi bila anda terpaksa berkeseorangan sepanjang PKP atau lebih tragis bila terpaksa kuarantin seorang diri jika virus hinggap di tubuh. Bencana emosi ini akan makin kencang jika anda sering berdepan dengan keresahan. Maka emosi akan cepat terjejas dan hadirlah emosi negatif seperti kemurungan, kegelisahan, bimbang dan semua ini boleh terarah kepada kejadian bunuh diri dek kerana kurangnya interaksi sosial dan rasa terasing.

Ya, ini bukan suatu yang mudah untuk mereka yang mempunyai masalah mental. Ada kala kita menganggap mereka mengada-ngada atau cuma dahagakan perhatian. Maka, kita sering nasihatkan yang bukan-bukan kerana sebetulnya kita kurang arif tentang hal kesihatan mental. Ia bukan perkara yang boleh dibuat main jadi usah pandai-pandai memberi nasihat kepada mereka untuk kekal positif tanpa mengambil pusing kepada apa yang benar-benar dialami individu ini.

See also
“Saya Telah Lama Menanggung Rasa Malu” - Amy Schumer & Trikotilomania

Jika anda salah seorang dari mereka yang sering memujuk diri untuk sentiasa positif. Ini cadangan GLAM agar dapat menerima emosi negatif sebaiknya.

Memberi masa pada diri sendiri dan rawat kesihatan mental dengan berjumpa pakar

Ketahui apa yang anda rasakan dan cuba selami apa puncanya

Terima diri anda sebaiknya dan apa jua emosi yang anda alami ketika itu

Berkomunikasi dengan teman atau keluarga tentang apa yang anda mahu

Cuba alihkan perhatian apabila emosi sudah terlalu menganggu fikiran

Pautan berkaitan: Endometriosis & Kesihatan Mental – Jangan Menderita Dalam Kesunyian!

Foto oleh Luis Galvez di Unsplash