GLAM Exposé: Rich Kids of Malaysia - Glam Malaysia

GLAM Exposé: Rich Kids of Malaysia

Tentunya menjadi anak orang berada merupakan impian semua. Celik sahaja mata semuanya sudah dihidangkan di hadapan mata. Seperti kata pepatah lahir di dalam dulang emas. Masalah kewangan tidak pernah terbit di benak fikiran anak-anak ini, hanya sebut apa yang mereka mahu semuanya akan dikotakan. Meninjau corak kehidupan anak orang kaya, mereka ini berpaksikan siapa lebih berduit dialah yang paling ramai teman. Semenjak zaman sekolah lagi mereka dikelilingi oleh teman-teman yang asalnya daripada keluarga berduit.  Faham-faham sajalah kalau yuran sekolah pun RM100,000 setahun masakan mereka berkawan dengan kumpulan anak orang biasa-biasa. Sudah tentu teman-teman mereka di sekolah setaraf dengan mereka.

Saya kira anda semua sudah biasa menjamu mata dengan hashtag #richkidsofinstagram dan lebih popular #richkidsofdubai yang mempertontonkan kemewahan anak-anak muda. Kehidupan yang mereka jalani luar biasa mewah dan kadang-kadang  amat keterlaluan misalnya menayangkan kereta mewah, percutian eksotik dan barangan aksesori mewah seperti tas tangan, jam tangan yang menelan harga ratusan ribu ringgit! Tahukah anda, di United Kingdom ada program  memaparkan rancangan realiti “Rich Kids of Instagram”.

Di situlah kita dapat melihat kehidupan anak-anak hartawan. Begitu besar impak media sosial pada masa sekarang. Sebaik saya membuat siasatan mengenai topik panas ini, saya tahu bukan anak hartawan luar negara saja yang dimandikan kemewahan. Anak-anak orang kaya di Malaysia pula apa kurangnya! Kerana di Malaysia juga wujudnya akaun Instagram Rich Kids of Malaysia walaupun akaun ini sudah beberapa kali dilenyapkan atas sebab pencerobohan privasi. They live an affluent lifestyle they’re accustomed to. Dari sekolah tadika lagi sudah dihantar oleh chauffer! Ibu bapa menghambakan duit menyediakan kelengkapan khusus untuk keselesaan anak-anak, dan ini bukan hanya terjadi pada golongan elit sahaja malah ia sudah dijangkiti oleh ramai selebriti tanah air. Lihatlah betapa mewah perbelanjaan untuk anak-anak mereka. Anak baru berusia setahun jagung sudah bimbit beg tangan Dior untuk dipadankan dengan beg tangan si ibu kala di majlis. Masih belajar tetapi diberikan kereta mewah. Begitulah anak-anak sekarang dimanjakan.

Mungkin dengan adanya medium media sosial pada hari ini membuatkan masing-masing berlumba-lumba menunjukkan kekayaan yang dimiliki termasuklah menayangkan betapa bertuahnya anak-anak mereka mempunyai mereka sebagai ibu bapa. Dari jenama baju, barang kemas pada si kecil hinggalah ke parti hari jadi yang belanjanya sudah boleh buat kenduri kahwin. I mean, they have it alland that seems to be the problem. Bimbang si anak yang sudah terlalu bermandikan wang ringgit, hidupnya hanya pandang ke langit sahaja. These parents celebrate life too much hingga lupa kemewahan melulu mampu memberi nilai negatif pada anak. Lupa pula tentang berita yang kecoh diperdebatkan para netizen dan kisah ini juga turut disiarkan di The Star Online yang memaparkan kisah remaja berusia 19 tahun yang mendapat darjah kebesaran Datuk. Kalau sudah bergelar Datuk, walaupun baru berusia belasan, anda bayangkanlah kekayaan yang dipapar di akaun Instagram dan Facebook miliknya!

See also
We Can't Travel Now, But We Can Dream of Future 'Ultra Luxe' Vacations

Petikan artikel “The Problem With Rich Kid” melalui laman portal Psychology Today, anak-anak orang kaya mudah terjebak dalam masalah sosial dan emosi terganggu. Kerana khuatir dengan segala kemewahan yang diberikan termasuklah sistem pendidikan terbaik di dunia yang disediakan ibu bapa mereka dan ditambah pula dengan kelas tuisyen peribadi, mereka akan gagal memenuhi kriteria ibu bapa yakni meneruskan legasi sebagai anak bangsawan yang terkenal dan berpendidikan tinggi. Kenyataan ini disokong kuat profesor psikologi, Suniya Luthar dari universiti Columbia yang mendapati bahawa pelajar dari kelas atasan mempunyai pencapaian akademik yang lemah, kerana tekanan psikologi yakni keresahan sekiranya gagal menjadi yang terbaik.

Kisah satu-satunya anak hartawan ternama yang bernikah di kota London secara tertutup cukup membuatkan saya terkedu. Keluarga terdekat dan teman rapat diterbangkan ke Kota London menginap di Bvlgari Hotel, London. Hyde Park menjadi destinasi garden wedding. Udara nyaman di taman pada musim bunga, angsa girang berenang di tasik menyaksikan betapa meriah majlis tertutup yang dihadiri 200 jemputan ini. Taman Hyde Park menjadi saksi pertukaran hantaran kedua mempelai ini yakni salah satu hantaran berupa kunci kereta Aston Martin! Dan di sebelah malam pula pengantin diraikan di hotel terkemuka Bvlgari, London. Semua impian si anak dikotakan termasuklah dress kahwin Elie Saab yang menelan belanja puluhan ribu ringgit!

Kisah mogul usahawan ini seringkali dipaparkan di akhbar begitu juga dengan ahli keluarga. Kalau sambutan hari jadi keluarganya mereka akan menggesa pekerja perhubungan awam di syarikat mereka untuk merayu-rayu membuat liputan majlis yang diadakan. Lagi-lagi dari majalah berprestij tanah air.  Sudah menjadi tradisi setiap anak yang mencecah usia 16 tahun akan dihadiahkan kereta Ferrari. Empat tahun lepas abang sulung mendapat kereta Ferrari dan sekarang giliran si adik perempuan pula menyambut ulang tahun sweet sixteen maka sebuah lagi kereta Ferrari dihadiahkan kepada anaknya. Majlis juga diadakan di hotel bertaraf lima bintang. Ucapan si ayah pada majlis itu yang dihadiri teman-teman anaknya berbunyi, “Whoever wants to drive a Ferrari you are welcome to our house!” Ucapannya disambut bingit dengan sorakan teman-teman si anak.

See also
Gara-gara Covid-19, Met Gala 2020 Ditunda!

Rentetan kisah kereta mewah ini, mengingatkan saya pada tragedi yang terjadi pada Datuk Seri di mana anaknya terlibat dengan nahas jalan raya sehingga meragut nyawanya. Anak yang baru berusia 17 tahun itu memandu kereta berkuasa tinggi dan menurut laporan mungkin kerana kurang pengalaman membuatkan pemanduannya hilang kawalan dan lalu terbabas dek kerana kereta memecut terlalu laju. Kes ini juga terjadi pada anak penyanyi popular Indonesia. Di usia 13 tahun anaknya bebas memandu kereta dan terlibat dalam kemalangan hingga meragut tujuh nyawa!

Datuk dan Datin menyokong keputusan anaknya untuk tidak melanjutkan pelajaran selepas tamat SPM. Si anak sudah boleh meneruskan perniagaan mereka dan selok-belok perniagaan sudah di dalam tangan anaknya kerana sejak kecil lagi dia sudah didedahkan bagaimana operasi perniagaannya. Aduhai…alangkah bertuahnya si anak. Kota London  bagi anak ibarat rumah kedua dan kini saban tahun si anak akan ke Dubai dua atau tiga kali.  Setiap kali ke sana dia akan menghabiskan masa sebulan! You guys know how much Dubai cost!

Keputusan cemerlang SPM, anak sulung sosialit ini dihadiahkan jam Patek Philippe yang berharga satu juta. Kedengarannya seperti kisah dongeng, tetapi percayalah rakyat Malaysia ramai yang kaya raya! Kata si ibu jam itu sebagai investment, dan boleh disimpan turun-temurun. Puas dia menerangkan kepada teman-temannya yang hadiah itu bukan satu pembaziran yang melampau.

Sosialit yang satu ini memang berasal daripada salasilah keturunan kaya-raya. Bagi keluarganya balik kampung menaiki helikopter itu satu perkara biasa. Malah kadang-kadang hanya sekadar mahu makan asam pedas di Melaka, dia mengajak teman-teman menaiki helikopter miliknya hadiah pemberian bapa di ulang tahun ke-25. Bayangkan kos penerbangan RM15,000 satu jam!

Saya diceritakan oleh teman mengenai lelaki dambaan semua wanita kota. Anak kepada usahawan yang sangat berpengaruh di tanah air. Usia 40-an dan masih membujang. Dia meluahkan rasa kekosongan pada teman baiknya. Setiap apa yang dia mahu dia akan dapat.  Sejak kecil dia dimandikan dengan harta dan menggunakan wang untuk menjadi berkuasa. Ia seakan-akan senjata perisai buatnya. Pernah pada satu ketika dia meniduri wanita seperti menyalin pakaian. Dan perbuatan itu membuatkan rasa cinta tidak pernah wujud kerana dirinya seakan kenyang dengan nikmat dunia yang dilimpahi padanya sehinggalah pada satu hari dia berasa amat sunyi dan kosong, dia tidak menginginkan apa-apa lagi selain keluarga. Dan dia mengalami masalah kemurungan selama bertahun-tahun. Masalah yang dihadapi lelaki ini adalah perkara normal untuk anak-anak bangsawan. Menurut Sanjay Chugh, pakar psikiatri di Delhi, setiap hari tiga atau empat pesakitnya adalah anak muda daripada keluarga kaya raya menghidapi kemurungan yang serius. Ini kerana ibu bapa tidak mahu anak meraka merasai kesusahan. Kerana itu jiwa mereka seakan kosong dan tercari-cari apa yang kurang dalam kehidupan.

See also
It's Here! Gucci Beauty Store Bakal Tiba Di Malaysia

Itulah beberapa pendedahan Expose mengenai gaya hidup anak orang kaya di Malaysia. The issue that is at hand is that “Is it wrong to be born with a silver spoon in your mouth?” Kalau ditanya pada saya tidak sama sekali. Apa yang paling penting adalah didikan ibu bapa. Si anak bisa menjadi seorang penderma tegar sekiranya diasuh dari kecil berkongsi rezeki pada yang kurang bernasib baik. Saya tertarik dengan pengakuan Yen Kuok, 27, anak kepada lelaki terkaya di Malaysia, Robert Kuok yang memiliki harta lebih RM40 puluh bilion. Ternyata didikan Robert yang mengajar anaknya hidup bersederhana membuatkan Yen berani mengeluarkan kenyataan “My Friends Had More Pocket Money Than Me”.

Saya juga mengenali beberapa sosialit kota yang berjaya mendapat pendidikan tinggi dari universiti ternama dan membina empayar di tanah air sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara. Mereka juga mempunyai rumah kebajikan sendiri. Dan mereka ini tidak pula gila mengejar status sosial sebaliknya lebih bersifat privasi dan tidak menunjuk kekayaan di media sosial juga wajah anak-anak mereka atas faktor keselamatan. Saya beri pujian pada orang tua mereka yang berjaya  mengasuh dan mendidik anak dengan sahsiah cemerlang as these young millionaires are down-to-earth and gives the youths of today an inspiration. Tetapi bohonglah jika saya tidak risau dengan perangai anak orang kaya yang memiliki sindrom narcissistic kleptomaniac apabila dewasa kelak. Mereka lebih kepada syok sendiri dan dahagakan perhatian daripada orang ramai sehingga nilai-nilai perikemanusian tidak diendahkan kerana mereka rasa mereka ada segala-galanya.

Teks: Tengku Ashley Hassan

Dipetik daripada GLAM Malaysia Isu Jun 2017