Melania Bakal Memberikan Wajah Baru White House

Projek Terbaru Trump

Teks : Shahril Hadi Halim

Khabarnya Wanita Pertama Amerika Syarikat, Melania Trump dalam perancangan untuk melakukan ubah suai pada kediaman rasmi, Rumah Putih yang didiaminya kini. Menurut Us Weekly, dia telah melantik pereka hiasan dalaman yang bakal menerajui projek ini. Insan bertuah yang terpilih untuk memegang tanggungjawab ini adalah pereka yang berpangkalan di kota New York, Tham Kannalikham.

 

Menurut Penasihat Kanan kepada wanita pertama ini, Stephanie Winston Wolkoff, “Mrs Trump mempunyai apresiasi mendalam terhadap elemen sejarah yang dimiliki oleh Rumah Putih. Apabila diadun bersama sentuhan rekaan tradisional juga kepakaran pereka yang dilantik dalam menggabungkan elemen keselesaan dan elegan terhadap ruang yang bakal didiami oleh Wanita Pertama ini bersama anak lelakinya, Barron menjadikan kediaman yang ideal untuk mereka luangkan masa bersama ahli keluarga lain.”

 

Kamar Oval Kuning

Pereka berdarah Laos-Amerika ini memulakan kerjaya rekaannya di Ralph Lauren Home dan kini memiliki firma rekaan yang dinamakan Kannalikham Designs. Sebelum ini, dia lebih dikenali dalam menghasilkan projek untuk klien persendirian dari seluruh pelusuk dunia dan memilih untuk tidak mewar-warkannya. Lebih menarik lagi, laman sesawang milik syarikatnya itu hanya boleh diakses oleh klien dan tidak memaparkan sebarang fotografi. Begitu juga di media sosial dia memilih untuk memiliki akaun yang tertutup.

 

Buat masa ini, Wanita Pertama masih lagi menetap di kediamannya yang terletak di Menara Trump, New York. Namun mereka dalam perancangan untuk berpindah ke Rumah Putih pada penghujung penggal persekolahan tahun ini dan dalam rangka mengatur jadualnya antara Washington dan New York. Fokus utama projek ubah suai ini adalah untuk memastikan ia mempunyai ruang yang sesuai buat anak lelakinya, Barron yang kini berusia 10 tahun.

 

Kamar Beradu Lincoln

Ruang lain yang turut menerima perancangan wajah baru termasuklah Kamar Beradu Lincoln, Ruang Makan Presiden, Anjung Truman, Kamar Oval Kuning serta Kamar Perjanjian yang terletak di aras dua. Namun dipercayai sesetengah kamar seperti Kamar Beradu Lincoln dan Ruang Makan Persekutuan adalah tertakluk di bawah undang-undang yang melarang ubah suai kerana memiliki nilai-nilai sejarah tertentu. Untuk itu, mereka perlu mendapat kebenaran dari Badan Pemuliharaan Rumah Putih sebelum meneruskan projek ini.

Sumber teks : elledecor.com

KONGSI DI Share on FacebookTweet about this on TwitterPin on PinterestShare on Google+Email this to someone